JUMAAT, 26 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya penyelidikan yang bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan dalam komuniti dan industri, serta penyelidikan yang mampu membantu memacu perkembangan ekonomi dan pembangunan negara secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, walaupun terdapat sedikit kekangan kewangan terhadap peruntukan universiti, namun peruntukan bagi aktiviti-aktiviti berkaitan penyelidikan akan terus disalurkan bagi menggalakkan para penyelidik untuk melakukan lebih banyak penyelidikan.

“Perkembangan bagi aktiviti penyelidikan pada tahun ini amat memberangsangkan, dengan 30 geran penyelidikan adalah memfokuskan kepada penyelesaian masalah komuniti serta industri.

“Justeru, diharapkan pihak fakulti turut mempergiatkan kerjasama dengan industri khususnya bagi mendapatkan geran penyelidikan dari luar agar lebih banyak aktiviti penyelidikan dapat dilakukan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan oleh universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) 2017 dan Perasmian Penutupan Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta (PEREKA) 2018 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, kelmarin.

Tambah beliau, penganjuran APUMS 2017 dan PEREKA 2018 juga terus dilaksanakan bagi menghargai usaha para penyelidik dan pensyarah terhadap kajian dan penyelidikan yang telah mereka jalankan, serta sebagai platform untuk menggalakkan mereka meneruskan penyelidikan-penyelidikan yang memberi impak kepada sosioekonomi masyarakat dan negara.

Beliau turut mencadangkan agar fakulti menjalankan usaha untuk menjana pendapatan bagi tujuan penyaluran geran dari fakulti sendiri kepada pensyarah, dengan fakulti yang berjaya menyalurkan jumlah geran tertinggi akan diberikan hadiah sebagai penghargaan.

“Ini adalah sebagai usaha untuk membantu penyelidik muda khususnya untuk mendapatkan peruntukan bagi penyelidikan yang mereka usahakan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, APUMS 2017 menyaksikan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) menerima penghargaan bagi skor My Research Assessment (MyRA) tertinggi bagi kategori Institut, manakala kategori Fakulti diberikan kepada Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Penghargaan turut diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang memperoleh sitasi dalam jurnal indeks Scopus, yang menyaksikan mereka memperoleh sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000.

Mereka adalah Dr. Clarence Ongkudon dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Prof. Dr. Charles Shatanaraju A/L Variappan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Prof. D. Rosalam Sarbatly dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Madya Dr. Suzan Benedict dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL).

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang menjadi penulis prolifik jurnal berindeks ISI dan Scopus, dengan sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000 turut diperoleh mereka.

Lima ahli akademik tersebut ialah Dr. Lim Leong Seng dari IPMB, Dr Clarence Ongkudon dari IPB, Dr. Liew Thor Seng dari IBTP, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Dr. Md. Lutfor Rahman dari FSSA.

APUMS 2017 turut memberikan Anugerah Penyelidik Cemerlang dari pelbagai kategori, dengan Dr. Chee Fuie Pien dari FSSA memperoleh anugerah tersebut bagi kategori Penyelidik Muda (Sains), sekali gus membawa pulang sijil anugerah dan geran penyelidikan UMS bernilai RM 20,000.

Turut menerima anugerah adalah Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dan Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag Daud dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) bagi kategori Penyelidik (Sains Sosial), serta Prof. Madya Dr. Vijay Kumar A/L Subbiah dari IPB dan Prof. Madya Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri dari FKJ bagi kategori Penyelidik (Sains).

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah sijil anugerah serta geran penyelidikan UMS bernilai RM30,000.

Pada pertandingan PEREKA pula, sebanyak 168 penyertaan telah diterima merangkumi 9 klasifikasi penyelidikan dan inovasi yang menampilkan 12 penyelidik telah memenangi Anugerah Emas Kategori Penyelidik.

Mereka adalah Khalifa Chekima, Jackson Chang Hian Wui, Dr. Liew Thor Seng, Prof. Dr. Kamaruddin Ahmed, Dr. Md. Jahurul Haque Akanda, Prof. Madya Dr. Jason Teo Tze Wi, Dr, Sujjat Al Azad, Dr. Chee Fuei Pien, Dr. Razak Mohd Ali Lee, Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah, Dr. Joko Sulistyo, dan Prof. Madya Dr. How Siew Eng.

Bagi Kategori Inovasi, tujuh peserta memperoleh Anugerah Emas, iaitu Dr. Jidon @ Adrian Janaun, Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng dengan dua anugerah, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dengan dua anugerah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha, Prof. Madya Dr. Rayner Alfred, Nur Athirah Yusof, dan Prof. Madya Dr. Chong Khim Phin.

Kesemua hadiah dan anugerah disampaikan Prof. Dr Shahril dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

SELASA, 23 OKTOBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa melalui satu jalinan kerjasama bersama Pannasastra University of Cambodia (PUC), sebuah universiti swasta yang terkenal di Kemboja dan juga kelompok akademik di Eropah, Asia Timur, dan Amerika Syarikat.

Hasrat itu dinyatakan dalam satu kunjungan hormat oleh delegasi UMS yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail  ke universiti tersebut baru-baru ini.

Delegasi UMS yang disambut mesra oleh Naib Presiden Hubungan Antarabangsa, Teknologi Maklumat dan Pusat Maklumat PUC, Long Kimheng kemudiannya mengadakan satu mesyuarat bagi perbincangan ke arah suatu hubungan kerjasama yang mantap di antara kedua-dua universiti, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Lojistik dan Kejuruteraan PUC, Justin Dara Op, Penolong Canselor PUC, Victor Theng dan Pengarah Hubungan Antarabangsa PUC,  Sam Sukon Sok.

Mesyuarat tersebut diakhiri dengan satu upacara menandatangani surat niat antara kedua-dua universiti bagi mewujudkan hubungan kerjasama rapat dalam pembangunan pelajar dan kakitangan akademik antara UMS dan PUC.

Dalam pada itu,  Pengarah Program, Amsalie Pisali dalam satu kenyataan berkata, program tersebut dijayakan hasil peruntukan setiap tahun oleh Pusat Pengajian Pascasiswazah kepada Persatuan Pelajar Pascasiswazah di bawah program ”Youth Generation through Cultural Integration 2.0.”.

“Penganjuran program sebegini sekali gus mampu membina hubungan baik antara universiti dan negara amnya menerusi hubungan pelajar-pelajar pascasiswazah di negara yang dilawati.

“Beberapa aktiviti kemasyarakatan turut kita adakan di beberapa buah kampung di sini sepanjang lawatan kerja ini berlangsung,” katanya.

Lawatan itu turut diserikan dengan tarian kebudayaan yang dipersembahkan oleh 11 pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah dari UMS yang juga merupakan EXCO Persatuan Pelajar Pascasiswazah UMS.

ISNIN, 22 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam satu majlis makan malam yang berlangsung baru-baru ini.

Kerjasama itu yang diadakan melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) merangkumi perkongsian kemahiran teknikal dalam bidang meteorologi, klimatologi dan geofizik.

MoU itu juga bakal menyaksikan kerjasama yang meliputi pertukaran kemahiran melalui program sangkutan, penyelidikan secara bersama di samping kerjasama dalam menganjurkan latihan, seminar, bengkel dan persidangan yang berkaitan dengan meteorologi, klimatologi dan geofizik.

Pada upacara menandatangani MoU tersebut, UMS diwakili  Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta dan Pendaftar, No’man Datuk Hj Ahmad.

Manakala MET pula diwakili Ketua Pengarah MET Malaysia, Haji Alui Bahari dan Pengarah Pejabat Meteorologi Sabah, Azemi Daud.

Pemeteraian MoU yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu memperlihatkan memorandum berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2021.

 

JUMAAT, 19 OKTOBER – Seramai 12 pelajar tahun akhir Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terlibat dalam melaksanakan Projek Kelestarian Gotong Royong Pemasangan Paip Graviti Air di Kampung Bongol, Tamparuli baru-baru ini.

Ketua projek tersebut, Verrill Valeryan Victor Wong berkata, beliau bersama 11 pelajar yang mengambil kursus Kejuruteraan Alam Sekitar telah bersama-sama penduduk kampung yang diketuai oleh pengerusi projek, Jaimond Lambun.

“Bagi projek ini, pelaksanaan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu dalam dua fasa pertama pelajar dan penduduk kampung bergotong royong menyiapkan tapak, membina dan memasang paip graviti serta tangki.

“Fasa ketiga pula adalah kerja pemasangan paip agihan serta satu majlis perasmian projek Pembinaan Paip Graviti yang dijangkakan akan dilangsungkan pada bulan November akan datang,” jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah subjek Kejuruteraan Alam Sekitar merangkap penasihat projek usaha sama komuniti, Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong berkata, program ini pastinya memberi manfaat bukan sahaja kepada para pelajar bahkan juga kepada penduduk Kampung Bongol dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka, di samping memahami kehendak masyarakat dalam memastikan pembangunan yang lestari.

“Pelaksanaan projek ini memberikan para pelajar pendedahan terhadap pengalaman praktikal di tapak bina seperti mereka bentuk sistem air di kawasan berbukit, pemasangan paip serta kemahiran memasang dan melepa dinding bata, yang secara tidak langsung melatih mereka agar lebih kompeten apabila menamatkan pengajian kelak.

“Selain itu, pelajar juga dapat merasai keindahan persekitaran dan mendekati keramahan penduduk kampung misalnya melalui aktiviti memalu gong dan program ramah mesra yang turut diadakan dalam program ini,” katanya.

Ujar beliau, projek seperti ini diharap dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana pelaksanaannya mampu membuka minda para pelajar sebagai persediaan memasuki ke alam pekerjaan, selain menggalakkan penglibatan lebih ramai pelajar bukan sahaja di peringkat universiti, malah seluruh Kota Kinabalu dan Sabah amnya untuk turut serta menjayakannya.

 

JUMAAT, 19 OKTOBER - Seramai 37 peserta terlibat dalam menjayakan program Komuniti Generasi Inovasi Sekolah Luar Bandar anjuran pelajar Pascasiswazah Program Ijazah Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran) Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah program, Emylen Shim Nesron berkata, program itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir masa depan berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan merangsang daya pemikiran kreatif dan inovatif peserta dalam melaksanakan aktiviti mereka cipta.

“Program yang disertai pelajar Tingkatan 4 ini dibahagikan kepada dua aktiviti, iaitu aktiviti berkisar tentang perkembangan komputer yang menuntut peserta mencipta sebuah komputer yang lebih canggih dan berteknologi tinggi sesuai dengan keperluan masa hadapan, serta aktiviti mereka cipta jalan raya masa hadapan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serta memenuhi keperluan masyarakat.

“Melalui aktiviti yang dijalankan itu mampu merangsang pemikiran para peserta untuk menangani permasalahan pada masa kini dan mengembangkannya untuk keperluan masa hadapan dengan menggunakan konsep sains yang dipelajari, selain berfikir sejauh mana keperluan masyarakat dipenuhi melalui reka cipta masa hadapan yang dihasilkan,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan temu bual yang diadakan bersama peserta, rata-rata memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program berkenaan.

“Mereka sangat teruja kerana aktiviti yang disediakan dapat mencabar daya pemikiran mereka untuk mengaitkan ciptaan masa depan sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi, ekonomi, tenaga lestari, teknologi hijau dan tuntutan nilai sejagat,” ujar beliau.

Program tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah bagi aktiviti yang dipertandingkan serta penyampaian cenderamata oleh pensyarah kanan FPP, Dr. Sopiah Abdullah, mewakili Dekan FPP, Prof. Dr. Hj. Mohd. Dahlan Hj. A. Malik kepada wakil pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Duil Lakasa.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.