JUMAAT, 5 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi antara enam universiti yang menerima watikah status autonomi daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis yang berlangsung kelmarin.

Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS dalam satu kenyataan menjelaskan, penerimaan watikah tersebut menjadikan UMS sebaris dengan semua 20 universiti awam (UA) di negara ini yang kini berstatus autonomi.

“Penilaian UA untuk tujuan pemberian status autonomi tersebut telah dibuat secara berperingkat sejak tahun 2013, dengan penilaian merujuk kepada empat bidang iaitu tadbir urus institusi atau governan, tadbir urus akademik, kewangan, dan pengurusan sumber manusia. 

“Melalui status autonomi ini, penurunan membuat keputusan adalah daripada Agensi Pusat kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dengan tujuan membolehkan UMS bergerak dengan berkesan bagi mencapai kecemerlangan dan memperkasa Universiti ke peringkat dunia,” jelas kenyataan tersebut. 

Status autonomi tersebut turut membolehkan UMS lebih fleksibel dalam membuat keputusan bagi menentukan hala tuju universiti, dengan pengurusan UMS boleh membuat keputusan di peringkat universiti dalam melaksanakan perkara-perkara tertentu yang telah ditetapkan atau yang diberi penurunan kuasa oleh agensi pusat berkaitan empat bidang yang disenaraikan. 

“Namun demikian, meskipun pengurusan universiti mempunyai kuasa untuk mengurus sumber tanpa perlu merujuk kepada agensi pusat, universiti perlu mematuhi prinsip asas kerana autonomi UA bukan bersifat mutlak dan masih tertakluk kepada peraturan, strategi dan dasar kerajaan serta kementerian.

“Sejajar dengan status autonomi ini, peranan LPU UMS selaku pembuat keputusan akan terus diperkasakan selaras dengan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan sumber universiti ditadbir secara integriti dan akauntabiliti. 

“Autonomi ini ialah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu warga UMS pikul dan tunaikan bersama, dan semua pihak dituntut untuk berusaha keras bagi memastikan UMS sentiasa memenuhi kriteria yang ditetapkan,” demikian menurut kenyataan daripada PPSKK UMS. 

JUMAAT, 5 OKTOBER - Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS baharu berkuat kuasa pada 1 Oktober 2018 sehingga 30 September 2021. 

Pelantikan tersebut adalah untuk menggantikan Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi yang tamat tempoh perkhidmatan.

Dato’ Dr. Mohd Sofi memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan dari University of Strathclyde, Scotland dan berpengalaman luas dalam sektor industri serta aktif dalam perkara berkaitan kerjasama institusi pendidikan-industri. Ketika ini beliau merupakan Pengarah Urusan serta Timbalan Presiden Altera Corporation (M) Sdn. Bhd.

Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah MIMOS Semi Conductor (M) Sdn. Bhd. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP.

Dalam masa yang sama beberapa tokoh juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS baharu. 

Mereka ialah Datuk Haji Hashim Paijan (Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah), Datin Paduka Ir. Siti Hamisah Tapsir (Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM), Datuk Vincent Pung Yee Kiong (Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pinjaman Sabah), Datuk Dr. Christina Rundi (Pengarah Kesihatan Negeri Sabah) dan En. Asgari Mohd Fuad Stephens (Intelligent Capital Sdn. Bhd.)

Warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini dan yakin bahawa Dato’ Dr. Mohd Sofi dan ahli-ahli LPU mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan UMS di persada nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, warga UMS juga  merakamkan setinggi-tinggi  penghargaan dan terima kasih kepada Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan mantan Ahli-ahli Lembaga Pengarah iaitu Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman, Datuk Pengiran Hj. Mohd Hussein bin Datuk Pengiran Hj. Mohd Tahir Nasruddin, Dato’ Prof. Dr. Rujhan Mustafa dan Datuk John Maluda  atas khidmat bakti mereka bersama UMS.

 

PROF. DATUK DR. D KAMARUDIN D MUDIN

Naib Canselor

Universiti Malaysia Sabah

 

RABU, 03 OKTOBER – Hari Kebebasan Kenderaan Kali Ke-2 anjuran Pusat Pengurusan EcoCampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memupuk ke arah komuniti rendah karbon melalui program kesedaran terhadap pencemaran udara yang berpunca daripada bahan api fosil.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kelebihan komuniti rendah karbon adalah lebih kepada mengurangkan impak pelepasan antropogenik akibat aktiviti manusia yang menyumbang kepada perubahan iklim.

“Sebagai contoh, penggunaan tenaga adalah berpunca daripada penjanaan sumber bahan api fosil, seperti kenderaan bermotor.

“Penggunaan sumber ini secara berlebihan akan menyebabkan lebih banyak pelepasan karbon ke atmosfera, seterusnya mewujudkan haba terperangkap, sekali gus menggalakkan pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian sempena program tersebut, yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng di Auditorium Perpustakaan, UMS.

Beliau menambah, pelaksanaan program tersebut juga adalah sebagai inisiatif universiti untuk menjadikan kampus UMS sebagai kawasan yang lebih baik dan kondusif bagi seluruh warga universiti dengan mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan kesedaran tentang pengangkutan mapan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan kesedaran komuniti UMS mengenai keperluan untuk mengubah sifat kembara bagi mengurangkan kesan negatif penggunaan kenderaan ke atas alam sekitar.

“Justeru, adalah diharapkan dengan terlaksananya program ini, para pelajar khususnya akan memberikan respon yang baik dalam membudayakan ‘green living’ dalam kehidupan sebagai seorang pelajar yang unggul serta peka dengan pelbagai isu semasa berkaitan alam sekitar baik di dalam mahupun di luar kampus,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengangkutan dan Trafik, Jabatan Kerja Raya, Alan Wong Thien Len; dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Dr. Abu Zahrim Yaser.

 

RABU, 03 OKTOBER – Seramai 105 peserta terdiri daripada ahli akademik, pengamal industri dan para penyelidik pelbagai cabang sains pertanian menyertai International Conference on Sustainable Agriculture (ICSA) 2018 yang berlangsung di Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Sandakan baru-baru ini.

Bertemakan ‘Agriculture: For a Better Future’, persidangan selama dua hari itu merupakan anjuran UMS dengan kerjasama Universiti Tokushima, Jepun; Institut Pertanian Bogor, Indonesia; Universiti Pertanian Bangladesh; Persatuan Genetik Malaysia; dan Politeknik Sandakan.

Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Berucap pada majlis itu beliau berkata, wacana intelektual tersebut diharap dapat mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi dalam bidang pertanian.

“Malaysia pada umumnya dan Sabah khususnya memerlukan penyelesaian yang berdaya maju untuk menangani pelbagai cabaran dalam pertanian demi meningkatkan produktiviti serta mengekalkan kemapanan.

“Justeru, penganjuran persidangan ini amat bertepatan apatah lagi ia menampilkan tiga penyelidik terkemuka yang turu menyampaikan tiga ucaptama berkisarkan perkembangan terbaru dalam bidang sains dan teknologi pertanian,” katanya.

Tiga penyelidik tersebut ialah Profesor Sr. Gs. Dr. Abdul Rashid Mohamed Shariff C.Eng. dari Smart Farming Technology Research, Universiti Putra Malaysia (UPM);  Profesor Dr. Osumanu Haruna Ahmed dari UPM Kampus Bintulu; dan Pengarah Sistem Penyelidikan Pertanian, Universiti Pertanian Bangladesh, Prof. Dr. M.A.M Yahia Khandoker.

Program selama dua hari itu turut diisi dengan sesi perbincangan International Agriculture Lightning Talk sebagai medan perkongsian pengalaman dan idea antara pensyarah dan pelajar-pelajar UMS, petani tempatan serta petani dari Tokushima, Jepun.

Universiti Pertanian Bangladesh turut diumumkan sebagai tuan rumah ICSA 2019 pada September tahun hadapan.

RABU, 3 OKTOBER - Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Antarabangsa AlmaCrest (AIC), Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) mendapat pujian daripada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian.

Menurut beliau, pelancongan di Sabah tidak hanya terhad di pusat bandar malah di kawasan luar bandar yang kaya dengan pemandangan seperti gunung yang tinggi, sungai dan laut yang cantik serta kebudayaan dan tradisi masyarakat yang menjadi salah satu produk pelancongan.

“MoU hari ini adalah tepat kerana kita mahu masyarakat di kawasan luar bandar bersedia untuk menerima tugasan sebagai ikon pelancongan pada masa akan datang.

“Saya tertarik dengan penekanan kepada penglibatan kaum belia, sebab merekalah yang akan mewarisi negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew pada majlis MoU tersebut.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin memberitahu bidang pelancongan yang mapan dan pelancongan luar bandar merupakan salah satu bidang pengkhususan di UMS.

“Terdapat dua fungsi pendidikan tinggi, pertama memfokuskan kepada graduan yang kompeten dalam bidang pelancongan dan perhotelan untuk menyokong kepada industri pelancongan khasnya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Kedua, bertujuan untuk menyampaikan hasil penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat,”  ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ismail Ali.

Ketika menandatangani MoU tersebut, UMS diwakili Profesor Dr. Ismail manakala AIC diwakil Pengarah, Stephani Yen.

Sementara itu KATA diwakili Pengerusi, Walter Kandayon dan KTA diwakili oleh Pemangku Pengerusi, Mejin Manginggow.

Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.