RABU, 3 OKTOBER - Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Antarabangsa AlmaCrest (AIC), Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) mendapat pujian daripada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian.

Menurut beliau, pelancongan di Sabah tidak hanya terhad di pusat bandar malah di kawasan luar bandar yang kaya dengan pemandangan seperti gunung yang tinggi, sungai dan laut yang cantik serta kebudayaan dan tradisi masyarakat yang menjadi salah satu produk pelancongan.

“MoU hari ini adalah tepat kerana kita mahu masyarakat di kawasan luar bandar bersedia untuk menerima tugasan sebagai ikon pelancongan pada masa akan datang.

“Saya tertarik dengan penekanan kepada penglibatan kaum belia, sebab merekalah yang akan mewarisi negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew pada majlis MoU tersebut.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin memberitahu bidang pelancongan yang mapan dan pelancongan luar bandar merupakan salah satu bidang pengkhususan di UMS.

“Terdapat dua fungsi pendidikan tinggi, pertama memfokuskan kepada graduan yang kompeten dalam bidang pelancongan dan perhotelan untuk menyokong kepada industri pelancongan khasnya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Kedua, bertujuan untuk menyampaikan hasil penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat,”  ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ismail Ali.

Ketika menandatangani MoU tersebut, UMS diwakili Profesor Dr. Ismail manakala AIC diwakil Pengarah, Stephani Yen.

Sementara itu KATA diwakili Pengerusi, Walter Kandayon dan KTA diwakili oleh Pemangku Pengerusi, Mejin Manginggow.

Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

SELASA, 02 OKTOBER – Ilmu dan budaya ilmu sangat penting dalam proses pembangunan diri, organisasi, negara dan tamadun kata Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Justeru katanya, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan sepanjang hayat.

“Di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), para pelajar berkesempatan untuk menimba ilmu dan bersama-sama menghayati resam komuniti ilmuwan yang pastinya merangsang kreativiti, menjana inovasi.

“Oleh yang demikian, apa jua bidang yang bakal diceburi kelak para pelajar hendaklah menunjukkan nilai-nilai kecemerlangan dari segi personaliti dan kemampuan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Majlis Penyampaian Sijil Asasi Sains Kali ke-8 yang dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail, baru-baru ini.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, adalah menjadi harapan beliau agar ilmu dan pengalaman yang digarap semasa para pelajar berada di PPST dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

“Kejayaan yang diperolehi bukan sahaja untuk merebut peluang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, tetapi juga dapat dimanfaatkan kepada masyarakat sekeliling untuk kelestarian kehidupan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, sains, teknologi dan inovasi perlu relevan dengan keperluan dan aspirasi setiap negara seiring dengan cabaran Evolusi Perindustrian 4.0.

“Oleh itu, sains perlu diburu dengan menetapkan matlamat, memandangkan ia adalah alat paling penting untuk memacu ekonomi setiap negara termasuk Malaysia.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar sekalian atas kejayaan menamatkan Sijil Asasi Sains, teruskan usaha gigih anda agar cita-cita dapat dicapai sekali gus memenuhi harapan ibu bapa dan merealisasikan matlamat universiti dan negara,” tambahnya.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Rasid Mail turut menyampaikan empat anugerah khas kepada pelajar PPST.

Mathias Tseu Wen Leh dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib  Canselor, manakala Anugerah Pengarah menjadi milik Nur Fadzilah Mohd Razalie.

Anugerah Pelajar Harapan serta Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan pula masing-masing diraih oleh Brigette Sinundu Sundry dan Aslia Jamaluddin.

Kesemua mereka menerima sijil penghargaan dan trofi.

Majlis yang berlangsung di Dewan Resital UMS itu menyaksikan seramai 254 pelajar PPST UMS menerima Sijil Asasi Sains.

 

JUMAAT, 28 SEPTEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Qiamulai Perdana di Masjid UMS baru-baru ini.

Pengetua Kolej KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, penganjuran program itu bertujuan mendidik mahasiswa lebih mendekati program-program berbentuk keilmuan.

“Program ini menitikberatkan keperluan rohani dan semangat ukhuwah dan bersatu-padu antara satu sama lain melalui pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk perkongsian daripada Timbalan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Ghafur Rahim Mustakim dan sesi ice breaking,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Felo KKTM, Salwa Naidin berkata, program tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan walaupun ia merupakan program yang julung kalinya dianjurkan Exco Kerohanian JAKMAS KKTM.

“Alhamdullilah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan yang menyaksikan penyertaan seramai 123 pelajar yang bukan hanya terdiri daripada kalangan mahasiswa KKTM tetapi juga dari Kolej Kediaman Tun Fuad dan juga Kolej Excellent,” jelasnya.

Salwa berharap program sedemikian akan diteruskan lagi pada masa akan datang yang dilihat mampu meraih sambutan yang lebih memberangsangkan daripada para mahasiswa.

Turut pada program tersebut adalah bacaan Al-Mulk, Solat Tahajjud, Solat Sunat Taubat dan Solat Hajat.

 

 

JUMAAT, 28 SEPTEMBER – Seramai 179 peserta dari pelbagai universiti di Malaysia serta agensi kerajaan dan swasta menyertai Ekspedisi “Borneo Geographic Expedition 2018: Kangkawat Research Station” di Imbak Canyon Conservation Area (ICCA) yang bermula hari ini.

Ekspedisi yang buat julung kalinya dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kumpulan Yayasan Sabah melibatkan peserta dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), University College Sabah Foundation (UCSF), Kumpulan Yayasan Sabah, Pusat Penyelidikan Perhutanan (FRC), Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Sabah Parks dan Malaysian Nature Society.

Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman ketika menyampaikan pelaporan ringkas mengenai ekspedisi tersebut berkata, ekspedisi itu akan berjalan selama 12 hari, dengan kumpulan pertama seramai 90 peserta akan menyertai ekspedisi sehingga 4 Oktober, manakala kumpulan kedua akan bermula pada 4 Oktober hingga 9 Oktober.

“Antara bidang kajian yang akan dijalankan oleh penyelidik sepanjang ekspedisi tersebut adalah merangkumi bidang entomologi, tumbuhan, mamalia kecil, geologi, burung, ikan, kualiti air, pelancongan alam semula jadi dan sains sosial.

“Sebanyak 12 buah kenderaan pacuan empat roda dari Kelab Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC) dan sebuah bas UMS digunakan untuk menghantar peserta ke Stesen Penyelidikan Kangkawat, ICCA dengan perjalanan akan mengambil masa dalam lingkungan 8 jam sejauh kira-kira 288 kilometer dari UMS ke Pekan Telupid dan akan diteruskan hingga ke Stesen Penyelidikan Kangkawat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob dalam ucapan perasmian sempena program tersebut berkata, penganjuran program berkenaan memberi makna yang besar kerana negeri Sabah yang terletak di kawasan Hutan Hujan Tropika kaya dengan kepelbagaian biologi, sumber alam dan kebudayaan yang masih belum diterokai.

“Sumber kepelbagaian biologi ini kemungkinan boleh digunakan sebagai bahan ubat-ubatan, sumber makanan baru, atau bahan yang boleh digunakan secara komersial, dengan mengambil contoh ubat Penisilin ditemui dari sejenis kulat, dan getah serta minyak sawit berasal dari tumbuh-tumbuhan hutan yang hanya digunakan oleh masyarakat tertentu sebelum dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

“Dianggarkan 1/5 daripada kepelbagaian biologi Borneo boleh ditemui di Sabah, dengan melalui kajian yang pernah dijalankan menyatakan kepelbagaian biologi daratan di Sabah telah menunjukkan terdapatnya 3,000 spesies pokok kayu, 1,500 spesies orkid, 650 spesies pakis, 100,000 spesies invertebrata, 221 spesies mamalia, 586 spesies burung, 197 spesies reptilia, 98 spesies amfibia dan 155 spesies ikan air tawar,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. Yusof kemudiannya menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Ekpedisi Borneo Geographic Expedition 2018 di Dataran Dewan Canselor.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Pengarah Yayasan Sabah, Tuan Haji Jamalul Kiram Datuk Haji Mohd Zakaria; Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Hajah Rosmawati Lasuki; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS; Prof. Dr. Shahril Yusof.

 

KHAMIS, 27 SEPTEMBER – Seramai 181 pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) kategori isi rumah 40% terendah (B40) menerima bantuan kebajikan bagi membantu mereka memulakan kehidupan sebagai pelajar tahun pertama di kampus UMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah memperuntukkan sebanyak RM36,200 daripada Tabung Kebajikan Pelajar untuk disumbangkan kepada 181 pelajar B40 dengan setiap seorang akan mendapat sebanyak RM200.

“Jadikanlah sumbangan ini sebagai satu dorongan dan suntikan semangat untuk berusaha dengan lebih gigih dan seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan peningkatan dalam pembangunan sahsiah diri di universiti.

“Kemiskinan keluarga tidak seharusnya menjadi satu alasan untuk tidak meneruskan pengajian, bahkan kita perlu belajar daripada kesilapan dan kejadian yang menimpa serta harus merancang nasib diri kerana kalau kita gagal merancang, bermakna kita merancang untuk menemui kegagalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Dan Ramah Mesra Pelajar B40 UMS di Dewan Bankuasi, UMS.

Ujar beliau, peluang yang diberikan untuk meneruskan pengajian di universiti hendaklah digunakan sebagai landasan untuk memperbaiki kehidupan, dan pihak universiti sentiasa sedaya-upaya berusaha untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan.

Penyampaian bantuan kebajikan kepada kesemua pelajar tersebut disempurnakan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Panglima Dr. Hasbullah Taha.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pendaftar UMS, No’man Ahmad.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.