KHAMIS, 13 SEPTEMBER - Cabaran yang menghalang kemajuan bidang perubatan di rantau Asia Pasifik boleh ditangani dengan perubahan pemikiran yang lebih inovatif.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan saling bekerjasama dalam pembangunan kesihatan awam.

“Penyelidikan saintifik yang berterusan dalam bidang kesihatan awam mampu menghasilkan kajian yang lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata pengamal perubatan awam juga dapat menjalani latihan yang sewajarnya serta mencapai tahan kesihatan terbaik di rantau ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Kali ke-50 Persidangan Jubli Emas ‘Asia-Pasific Academic Consortium For Public Health’ (APACPH) 2018 yang menampilkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

“Saya percaya, visi APACPH untuk mendapat tahap kesihatan yang tinggi di semua negara dalam rantau Asia Pasifik mampu tercapai. Usaha ini juga sudah tentu membawa manfaat luas kepada seluruh negara di rantau ini termasuklah Sabah secara khususnya,” tambah beliau.

Katanya, menerusi pelbagai usaha, Malaysia telah berjaya memperoleh pencapaian yang memberangsangkan dalam memperbaiki tahap kesihatan rakyat.

“Malaysia mempunyai sistem penyampaian penjagaan kesihatan sama rata yang merangkumi liputan perkhidmtaan komprehensif,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata penjagaan kesihatan pada hari ini perlu lebih berinovatif untuk menangani isu semasa.

“Menerusi persidangan ini, ia mampu menjadi platform terbaik untuk menyelesaikan palbagai isu dan cabaran berkaitan kesihatan awam,”ujarnya.

Beliau turut menambah, pelbagai pihak perlu mengambil peluang untuk mendapatkan perkembangan terkini dan belajar dari amalan semasa yang terbaik serta strategi kesihatan awam yang memberi kesan di rantau Asia-Pasifik.

KHAMIS, 13 SEPTEMBER - Seramai 14 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan promosi kesihatan di Kampung Kalumpang, Pitas baru-baru ini.

Kesemua pelajar daripada bidang perubatan dan kejururawatan itu berkampung selama 10 hari bagi menjalankan pemeriksaan dan taklimat kesihatan kepada penduduk setempat.

Program anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung  itu dan FPSK telah dirasmikan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kota Marudu/Pitas, Nasiruddin Ahmad.

Dalam ucapannya, Nasiruddin memuji usaha kedua-dua pihak atas penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk kampung.

Sementara itu, Penyelaras Program merangkap Pensyarah Kanan FPSK,  Dr. Meryll Grace Lansing, sambutan dan kerjasama daripada penduduk kampung adalah  amat memberangsangkan.

Bagi Dekan FPSK, Prof. Dr. Saffree Jeffree pula memaklumkan program sedemikian akan diteruskan dari masa ke semasa sebagai wadah  untuk pelajar dan warga UMS menabur bakti kepada masyarakat setempat.

Turut hadir ke majlis perasmian itu, Pengerusi KRT Kampung Kalumpang, Dzulfikri Mohd. Hairi dan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah, Alvin Roy Ibrahim.

 

 

 

RABU, 12 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu kerjasama dengan Tambisan Travel and Tours Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi pelancongan di kawasan Kampung Tambisan, Lahad Datu.

Kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen MoU tersebut, manakala Tambisan Travel and Tours diwakili Pengarah Urusannya, Tuan Haji Antin Ismail.

Melalui pemeteraian MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi membangunkan industri pelancongan berasaskan komuniti di kawasan Kg. Tambisan, Lahad Datu, yang dilihat bakal memberi manfaat serta impak kepada kedua-dua belah pihak, khususnya peningkatan taraf sosioekonomi penduduk kampung serta mewujudkan kesedaran akan kepentingan konservasi alam sekitar.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian ketika berucap sempena majlis tersebut berkata, kerjasama pintar itu amat penting dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat.

“Seperti yang kita sedia maklum, universiti merupakan agen pengubah masyarakat dengan aktiviti-aktiviti penyelidikan dapat dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti isu dan peluang di Kg. Tambisan itu sendiri.

“Trend semasa menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar kini dilihat boleh menjadi tarikan pelancongan baru, dengan penglibatan pelancong dalam usaha atau aktiviti berkaitan konservasi dapat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman pelancong,” katanya.

Beliau menambah, penduduk Kg. Tambisan yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dapat meningkatkan taraf hidup mereka dengan menaikkan nilai pada aktiviti harian yang mereka lakukan iaitu melalui penglibatan dalam aktiviti pelancongan.

“Aktiviti perikanan boleh dikembangkan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti aktiviti selam skuba (diving), aktiviti snokerlling dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad dan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

 

 

JUMAAT, 07 SEPTEMBER - Peluang yang diberikan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) harus digunakan sebaiknya agar ilmu yang dipelajari dapat diaplikasi dan disumbangkan kembali kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, para pelajar harus memastikan agar mereka mendapat keputusan yang cemerlang.

“Bila memperoleh keputusan cemerlang, saya percaya kita dapat berikan sesuatu kepada masyarakat dan dengan keputusan yang baik, kita akan memiliki keyakinan hidup yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Bersama Siswa Siswi Baharu Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Resital, kelmarin.

Menurut Nurul Izzah, para pelajar juga harus mengambil peluang mempelajari pelbagai bahasa, bukan hanya bahasa Inggeris, tetapi bahasa dan loghat tempatan.

 “Kita boleh berbahasa Inggeris dengan baik, tapi kita harus menghargai setiap bahasa lain juga. Saya belajar (bahasa Cina dan Tamil) kerana inilah keistimewaan di Malaysia tanpa melupakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa generasi alumni juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyumbang kembali kepada universiti.

“Sumbangan ini tidak semestinya dengan wang ringgit, tetapi sumbangan dari segi tenaga mengajar untuk berkhidmat kembali kepada universiti.

 “Kita tidak dinilai dari segi kekayaan yang kita ada, tetapi kita dinilai sejauh mana kita sayang, peduli dan ikhlas untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan bangsa,” jelas Nurul Izzah.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd Aziz; Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

JUMAAT, 07 SEPTEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan sambutan kemerdekaan dengan menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak bersama pasukan dari Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah baru-baru ini.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree berkata, selain sebagai satu pengisian untuk menunjukkan semangat patriotik kepada negara, ia juga sebagai medan bagi mengukuhkan lagi ikatan silaturahim bersama kakitangan khususnya dari JaPen Sabah.

“Dalam masa yang sama, acara ini sekali gus sebagai sahutan terhadap amalan membudayakan gaya hidup sihat dan cergas yang dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan darjah kegembiraan kakitangan FPSK.

“Saya berterima kasih kepada JaPen kerana sudi meluangkan masa bermain bersama kita dan semoga program-program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada Pusat Sukan UMS kerana menyediakan Stadium UMS untuk perlawanan persahabatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perlawananan tersebut.  

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan JaPen Sabah Patrick Laing berkata, adalah menjadi harapan agar menerusi program tersebut meningkatkan jalinan kerjasama dengan UMS di samping memupuk kesedaran terhadap semangat kebangsaan dan hari kemerdekaan.

Beliau yang juga pengurus pasukan bola sepak JaPen turut berterima kasih atas undangan FPSK untuk mengadakan perlawanan bola sepak bersama pasukan mereka.

Perlawanan itu berlangsung sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun tuah lebih memihak kepada FPSK yang berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 6-3.

Perlawanan persahabatan itu turut dihadiri oleh Timbalan Dekan HEP dan Jalinan Komuniti FPSK, Prof. Dr. Kew Seih Teck; Timbalan Dekan Akademik FPSK, Dr. Fairrul Kadir; dan Timbalan Pendaftar FPSK merangkap penyelaras aktiviti kemerdekaan peringkat fakulti, Hasmi Hashim.

Selain perlawanan persahabatan, antara kerjasama lain dengan JaPen Sabah adalah sesi perkongsian ilmu tentang kemerdekaan yang disampaikan Pegawai Penerangan Bahagian PBU, Tuan Durahim Hj Jaman yang dihadiri kira-kira 50 staf FPSK.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.