RABU, 29 OGOS - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Kursus Bimbing dan Perkasa Pembimbing Suai Mesra (PSM) Minggu Suai Mesra (MSM) bagi Sesi 2018/2019 selama tujuh hari sehingga Ahad lalu di Dewan Kolej Kediaman Tun Fuad, UMS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JHEP, kursus itu antara lain bertujuan untuk memantapkan semangat jati diri, disiplin, kebersamaan, kerjasama dalam berpasukan dan pendedahan kepimpinan kepada para peserta.

“Kursus ini terbahagi kepada dua iaitu kursus Bimbing dan kursus Perkasa yang menyaksikan seramai 33 pemimpin pelajar daripada Majlis Tertinggi (MT) dan Majlis Eksekutif (ME) menyertai Kursus Bimbing selama dua hari.

“Manakala kursus Perkasa melibatkan mahasiswa UMS yang terpilih iaitu seramai 241 orang termasuk MT dan ME selama tiga hari,” demikian menurut kenyataan itu.

Kursus tersebut diselaraskan Ketua Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP Mardena Jiwan.

Fasilitator-fasilitator lain yang terlibat terdiri daripada pegawai-pegawai JHEP iaitu Adzmil Abidin, Jumrat Minsun, Alan James, Mohd Jamal Atong, Harun Tambiri, Fazilah Nur Ahmad, Norain Abd. Razak, Norhana Nordin, Rohaizam Lamdin, Jalani Moksin, Faridah Samsuddin, Rodzal Mohd Shaffri dan Wenlley Joy.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Ketua Jabatan, Ahmadi Nurdin yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali. Ahmadi turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada PSM MSM sesi 2018/2019.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin; Pengetua Kolej Kediaman Tun Fuad, Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad; Pengarah Kursus PSM MSM Kali Ke-24 UMS, Muhd Jivean Johan Wira Ahmad; serta pegawai-pegawai dan staf JHEP.  

 

Sumber: Harun Tambiri

Foto : Rohaizam Lamdin

 

 

  

 

SELASA, 28 OGOS - Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd Asyraaf Abdullah akan menjalani program bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) selama tiga minggu bermula esok.

Beliau yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan bola sepak wanita negara itu akan mengikuti jejak jurulatih bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee yang menjalani latihan selama sebulan dalam program sama di sana tahun lalu.

Menurut Asyraaf, beliau akan diberi peluang untuk memerhatikan kaedah latihan dan pengurusan pasukan profesional berkenaan.

“Pengarah Teknikal QPR, Chris Ramsey dan Pengarah Akademi, Alex Carrol akan menjelaskan kepada saya bagaimana mereka mengendalikan kelab itu apabila berada di sana nanti.

“Saya juga akan ditempatkan bersama pasukan senior serta pasukan belia dan junior selain berpeluang melihat kemudahan-kemudahan dan tatacara kerja mereka menjalankan latihan padang dan kerja-kerja pentadbiran,” katanya.

Asyraaf ketika dihubungi turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan UMS kerana sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pendaftar No’man Datuk Haji Ahmad atas sokongan mereka,” ujarnya yang memegang sijil kejurulatihan antarabangsa Persatuan Bola Sepak Inggeris dan sijil kejurulatihan Lesen A daripada AFC.   

SELASA, 28 OGOS - Seramai 50 penghuni Kolej Kediaman E  (KKE) telah menjayakan Program Tautan Kasih Kampung Kerukan, Kuala Penyu, Sabah anjuran Exco Kemasyarakatan KKE baru-baru ini.

Pengarah Program Mohamad Fadlie Shafiq berkata, program yang diadakan selama tiga hari itu bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada penghuni KKE terutamanya yang berasal dari Semenanjung untuk merasai budaya dan gaya hidup masyarakat di Sabah.

“Penganjuran program ini juga secara tidak langsung memberikan satu pengalaman baru kepada penghuni KKE yang turut serta sekali gus beramah mesra dengan masyarakat di kampung ini termasuk mempelajari cara menyediakan ambuyat, satu makanan tradisi masyarakat di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian dan penutupan program itu pada Ahad.

Fadlie yang juga Sekretariat KKE berkata, pemilihan keluarga angkat turut mendapat sambutan dari penduduk Kampung Kerukan yang melibatkan 16 keluarga di kampung berkenaan.

‘‘Kita dilahirkan oleh masyarakat, sudah pastinya kita akan kembali kepada masyarakat.

“Sehubungan itu, saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan kelancaran program ini,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut pihak pengurusan KKE, Barisan Kepimpinan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) KKE dan Ketua Kampung Kerukan.

 

Sumber: HEP

KHAMIS, 23 OGOS – Sebanyak 8 ekor lembu dikorbankan oleh pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena dengan sambutan Aidiladha peringkat UMS 1439H/2018M.

7 ekor lembu disembelih di perkarangan Masjid UMS pagi tadi, manakala seekor lembu lagi diberikan kepada warga INTAN Sabah.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam UMS, Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid, acara penyembelihan pada pagi tadi melibatkan seramai lebih 60 warga kakitangan UMS yang membantu bagi melancarkan kerja-kerja penyembelihan, melapah dan pengagihan daging.

 “Penglibatan golongan muda dalam acara ibadah korban pada kali ini amat menggalakkan, dan perkembangan ini sesuatu yang positif memandangkan tenaga muda sememangnya diperlukan bagi aktiviti-aktiviti menumbangkan lembu-lembu korban tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Fazri turut berharap agar lebih ramai melibatkan diri dalam aktiviti penyembelihan dan ibadah Korban pada masa akan datang.

Sementara itu, salah seorang petugas Korban, Muhd. Fahami Iqhwan Mayasin ketika ditemui media berkata, beliau amat berbesar hati kerana berpeluang untuk turut serta dalam pelaksanaan acara korban pada kali ini.

“Saya sangat teruja kerana ini adalah pengalaman saya kali pertama menyertai ibadah ini, dan saya harap dapat membantu lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.

Majlis kemudiannya berakhir dengan jamuan makan yang diadakan selepas solat Zohor.

 

 

SELASA, 21 OGOS - Penduduk Kampung Tudan Kiulu berpeluang menjadi usahawan berinovasi dalam produk berasaskan mulberi dengan kewujudan kilang mini pertama di Sabah.

Kilang Mini Kampung Tudan merupakan hasil kerjasama antara para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti Kampung Tudan dengan disokong dan dibantu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, seramai 150 penduduk Kampung Tudan yang juga ahli Koperasi Kampung Tudan Berhad, terlibat dalam projek menghasilkan lebih 10 jenis produk berasaskan mulberi seperti teh, jem dan mulberi kering.

Projek yang mendapat geran sebanyak RM320,000 menerusi YIM tersebut dibangunkan bagi membantu penduduk kampung itu bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan berasaskan alam sekitar terutamanya eko pelancongan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Kilang Mini Kampung Tudan di Tuaran.

Majlis itu disempurnakan Setiausaha Bahagian Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan iklim, Suhaimi Hamzah.

Hadir sama Naib Presiden Kanan YIM, Sharmila Mohamed Salleh.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.