RABU, 28 OGOS – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melibatkan pihak industri bagi mendapatkan pandangan berkaitan kehendak pasaran masa kini dalam Bengkel Semakan Kurikulum Siri 3/2019 yang dianjurkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari FKSW, pihak industri yang terlibat dalam bengkel tersebut adalah Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Amir Shah Noor Ahmad; Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Rusdi Awang; dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Madzaral Sebalun yang juga merupakan Alumni UMS.

“Fokus utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan kolaborasi di antara pihak universiti dan industri ke arah melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan masalah graduan tidak mendapat pekerjaan.

“Pihak universiti boleh memperkukuhkan kerjasama dua hala menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan pelbagai pihak untuk membentuk satu jaringan strategik yang bukan sahaja membentuk satu kerjasama formal universiti-industri malah membuka laluan kepada pelbagai kebaikan bagi kedua-dua pihak,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Maklum balas dari pihak industri pula menyatakan bahawa universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik amat bergantung kepada kerjasama strategik yang terjalin dengan industri dalam pembentukan kurikulum pengajaran dan pembelajaran yang relevan kepada keperluan industri, dan usaha itu akan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Terdahulu, satu ceramah bertajuk “Kerelevanan Bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan Masa Kini” telah disampaikan oleh Profesor dari FKSW, Prof. Dr. Hashim Awang yang antara lain menyentuh bidang sains sosial dan kemanusiaan merupakan pelengkap kepada bidang sains yang membangunkan teknologi dalam persekitaran revolusi industri yang berteraskan Data Raya (Big Data).

“Sains sosial dan kemanusiaan merupakan sistem sokongan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dari sudut rohani dan jasmani, membentuk peribadi manusia berteraskan kreativiti, rasa ingin tahu dan memahami keadaan sekeliling yang akhirnya boleh beradaptasi dengan keadaan yang diwujudkan oleh teknologi,” kata Prof. Dr. Hashim Awang.

Turut terlibat sama dalam bengkel sehari itu Dekan FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi; Timbalan Dekan Akademik, Dr. Jalihah Md Shah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Dzurizah Ibrahim; Ketua Unit Kualiti FKSW, Dr. Ubong Ibang; dan ketua-ketua program bagi sepuluh program pengajian di FKSW.

JUMAAT, 23 OGOS – Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani surat hasrat dengan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Quest International University Perak (QIUP) dalam mengukuhkan kerjasama, penyelarasan dan mobiliti dalam bidang pelancongan dan kelestarian antara kedua-dua universiti.

Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo diwakili oleh pengarahnya, Prof. Dr. Jennifer Chan Kim Lian menandatangani surat hasrat tersebut, manakala QUIP diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi QUIP, Nicholas Goh.

Majlis menandatangani surat hasrat antara kedua-dua pihak yang berlangsung di QIUP, Ipoh, Perak turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan QIUP, Prof. Dr. Loke Siew-Phaik dan pensyarah kanan FPEP UMS, Prof. Madya. Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul yang mewakili Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Surat hasrat tersebut telah menggariskan cara untuk kedua-dua institusi bekerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar atau kakitangan, kerjasama dalam projek pendidikan dan aktiviti akademik seperti latihan, seminar, bengkel dan persidangan.

Dalam pada itu, Nicholas Goh menyatakan kepentingan bagi kedua institusi untuk bekerja dalam bidang pelancongan dan kelestarian untuk memastikan kesedaran dan faedah tersebar luas.

“Saya mengalu-alukan kerjasama ini kerana terdapat banyak perkara dari kedua-dua universiti dapat belajar sesama sendiri terutamanya dari pengalaman unik dalam pembangunan pelancongan dan kelestarian,” katanya.

Pemeteraian kerjasama kedua-dua pihak adalah bersempena dengan Seminar Kelestarian 2019 yang dipengerusikan oleh pensyarah kanan QUIP, Prof. Madya Dr. Sofiah Kadar Khan dengan tema Ke Arah Pelancongan Lestari di Malaysia  dan turut melibatkan penceramah dari UMS, QIUP dan Universiti Teknologi Petronas.

 

JUMAAT, 23 OGOS – Aktiviti fizikal mampu membantu untuk mengubah dan memperbaiki tingkah laku kanak-kanak yang tergolong dalam golongan Orang Kelainan Upaya Intelektual (OKUi)

Ini kerana aktiviti fizikal yang dijalankan bukan sahaja dapat meningkatkan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan, malah turut meningkatkan lagi inklusi sosial dalam kalangan golongan OKUi.

Demikian menurut Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Ismail Ibrahim ketika berucap pada Program Fitness Achiever For Intelecually Disabled (FAID) anjuran Pusat Pemulihan dan Kecergasan Fizikal (PFRC) FPP di Sekolah Kebangsaan Luyang, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Katanya melalui pembentukan modul-modul yang direka bentuk khas untuk golongan kanak-kanak OKUi,  aktiviti-aktiviti fizikal yang dijalankan membantu meningkatkan daya fokus, keyakinan diri dan disiplin peserta serta kemampuan untuk mendengar dan mengikuti arahan yang diberikan.

“Melalui modul-modul yang direka bentuk khas itu membolehkan golongan kanak-kanak kurang upaya itu mendapat peluang untuk menjalani program kecergasan, sukan dan rekreasi yang menyeronokkan bersesuaian dengan kemampuan fizikal dan mental mereka.

“Malah melalui modul tersebut mampu mewujudkan kesedaran dan mendidik ibu bapa atau penjaga mengenai anak-anak tersebut,” kata Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Tambah beliau, program tersebut turut menjadi satu platform untuk menerapkan kesedaran kecergasan fizikal serta meningkatkan persaingan secara sihat dalam kalangan OKUi, selain menyediakan peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk menunjukkan dan menampilkan kebolehan dan keupayaan mereka dalam bidang sukan.

“Dengan bertemakan “Bring Out the Joyful and Potential in You”, adalah diharapkan agar FAID ini boleh dijadikan wahana untuk merealisasikan hasrat UMS, Special Olympics Sabah dan seluruh rakyat negeri Sabah dalam memastikan usaha ke arah pembangunan sukan golongan OKUi mencapai matlamatnya.

“Saya juga percaya program ini akan menjadi pemangkin ke arah terbentuknya satu gerakan yang mana golongan istimewa ini bukan lagi dilihat sebagai satu beban, tetapi sebagai pelengkap kepada satu jentera besar yang mampu bergerak seiring dengan populasi umum dalam membantu membangunkan negara,” ujar beliau.

Program sehari itu melibatkan penyertaan murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi SK Luyang serta ibu bapa dan guru sekolah sebagai pendedahan terhadap permainan, sukan dan aktiviti rekreasi yang sesuai serta pendedahan mengenai jenis senaman yang khusus untuk kanak-kanak OKUi.

KHAMIS, 22 OGOS - Yang Dipertua Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), Dr. Amalina Abdullah memuji komitmen yang diberikan oleh ahli KESUMBA dalam menyemarakkan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta masyarakat.

Beliau yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra kelab tersebut baru-baru ini berkata setiap individu perlu ada matlamat hidup, dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan daripada Allah. S.W.T.

Beliau berkata setiap apa yang dilakukan perlu memberi manfaat kepada orang lain dan dalam masa yang sama mendapat ganjaran terbaik daripada Allah.

“Apa saja yang kita usahakan, kita niatkan agar ianya dapat membawa kita sama-sama bertemu di syurga Allah nanti. Itulah yang saya gunakan sebagai motivasi untuk menyumbang kepada masyarakat walau apapun latar belakang kerjaya kita.

“Tidak ada alasan bahawa jika kita bekerja, kita tidak ada masa. Kewujudan persatuan atau kelab di universiti ini adalah agar kita belajar bagaimana menyantuni masyarakat dalam ruang dan masa ketika kita mampu membantu,” katanya.

Pada majlis sama, Setiausaha Kehormat KESUMBA, Stella @ Nurul Martini Gontol turut memperkenalkan barisan jawatankuasa baharu beserta portfolio yang disandang, serta senarai aktiviti yang akan dijalankan oleh kelab tersebut pada tahun ini.  

Antaranya, lawatan pengantarabangsaan ke luar negara, Piala Kejohanan YDP, Hari Keluarga, Sayangi Pantai Kita dan ‘Car Booth Sale’. 

Terdahulu, jawatankuasa KESUMBA telah membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor, Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin di pejabatnya sebelum majlis ramah mesra tersebut yang berakhir dengan jamuan makan tengah hari.

KHAMIS, 20 OGOS – Jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin diri serta meningkatkan tahap pengurusan diri pada tahap tertinggi bagi menjaga nama baik pasukan PALAPES.

Panglima Latihan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman berkata, ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang tinggi dalam mendidik dan memberi latihan kepada anggota pegawai kadet PALAPES yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti.

“Adalah menjadi harapan markas latihan agar semua staf PALAPES UMS dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik berdasarkan arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan.

“Saya juga berharap agar semua anggota dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada ketua jurulatih dalam melaksanakan segala penugasan yang diberikan, serta memastikan segala penugasan dilaksanakan dengan sebaiknya dan segala masalah yang dihadapi perlu diatasi dengan bijaksana,” katanya.

Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman berkata demikian sempena lawatan beliau ke Markas PALAPES UMS baru-baru ini.  

Beliau turut berpesan agar setiap jurulatih PALAPES perlu mempunyai nilai berdisiplin, berpengetahuan, penampilan yang baik dan profesional.

“Adalah amat penting untuk menjaga disiplin diri pada tahap tinggi agar anda semua  mampu menjadi contoh terbaik kepada anggota pegawai kadet, dan bukan sebaliknya yang memberi kesan negatif sehingga mampu merosakkan diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.

“Ini termasuk berbelanja mengikut kemampuan agar tidak meletakkan diri dalam keadaan keberhutangan tinggi sehingga menyebabkan diri mengalami tekanan,” ujar Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman.

Turut hadir pada sesi lawatan tersebut Ketua Cawangan Doktrin Bantuan Tempur, Angkatan Tentera Malaysia, Lt Kol Mohd Shamsi Abd Latip; Pemangku Ketua Jurulatih PALAPES UMS, Kapten Nik Mohamad Rukmal Hakim Rokman; dan Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMS, Kapten Dr Lee Kuok Tiung.