ISNIN,19 OGOS - Kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pemain industri bukan sahaja mengukuhkan penyelidikan tetapi juga merangsang sosio ekonomi dan menjana pertumbuhan kepada masyarakat di Sabah.

Naib Canselor UMS Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata perkongsian sejati antara kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan adalah penting untuk memastikan kejayaan generasi akan datang.

Beliau berkata antara perkara yang boleh membantu dalam kejayaan generasi akan datang adalah input daripada industri kepada graduan, sama ada mereka telahpun atau akan berada dalam tenaga kerja dalam masa yang singkat.

"Mengkaji kurikulum membolehkan kami terus meningkatkan graduan kami dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh industri.

"Ada yang mungkin bertanya kenapa kita harus memanfaatkannya Menyediakan bakat kepada industri akan menjadi aset kepada negara," katanya pada perasmian Simposium IT Sabah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Beliau berkata rakan industri baharu universiti ialah Cybersecurity Malaysia, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, NEM Malaysia Sdn Bhd, Fusionex Innovation dan MISA Sdn Bhd.

Prof. Dr. Taufiq berkata beberapa kejayaan telah dicapai dalam kerjasama industri-akademik yang sedang berjalan dan contohnya ialah penubuhan Makmal Huawei yang membolehkan pelajar menjalani latihan dan akhirnya memperoleh pensijilan.

Beliau berkata kolaborasi dengan Celcom Timur menyediakan makmal untuk pelajar mengalami pendedahan industri yang membolehkan mereka menaplikasi apa yang mereka pelajari dalam teori.

"Melalui kerjasama universiti dengan Sabah.Net, pelajar dilengkapi dengan ilmu keselamatan khususnya di bawah teknologi blockchain", katanya.

Prof. Dr. Taufiq juga berkata kerjasama antara UMS dan Cybersecurity Malaysia ditubuhkan di bawah Fakulti Pengkomputeran dan Infromatik untuk menyediakan perkhidmatan Forensik Digital.

Sumber : BERNAMA

JUMAAT, 16 OGOS - Universiti Malaysia Sabah UMS menerima kehadiran 56 pelajar Wuyi University China bagi menjalani Kursus Kecerdikan Buatan (Algoritma Genetic) di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS.

Penyelaras program itu, Dr. Kenneth Teo Tze Kin berkata, kolaborasi akademik antara UMS dan Wuyi University telah bermula dengan termeterainya Surat Niat (LoI) pada Oktober 2017.

"Aktiviti-aktiviti yang  dijalankan seperti kursus melibatkan 56 pelajar ini adalah antara pengisian atau aktiviti di dalam LoI.

"Tahun lalu kita juga telah menerima seramai 27 pelajar daripada universiti itu bagi program yang sama,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi meraikan kesemua pelajar tersebut yang dihoskan oleh Presiden Sze Yip Bersatu Sabah, Datuk Susan Wong Siew Guen di salah sebuah restoran terkemuka, pada Rabu.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Dr Taufiq Yap Yun Hin dan isteri.

Dr. Kenneth Teo berkata, melalui LoI itu, UMS juga telah menghantar seramai lapan orang pelajar untuk menjalani latihan ilmiah di Wuyi University pada tahun 2018.

“Pada tahun 2019, UMS  juga menghantar seramai 26 pelajar untuk mengadakan latihan ilmiah sekali gus memastikan hubungan yang telah terjalin ini sentiasa subur dan berterusan.

"Adalah menjadi harapan agar kerjasama akademik antara UMS dan Wuyi University akan terus berkembang serta diperluaskan kepada aspek penyelidikan," katanya lagi.

Kursus yang diadakan 11-26 Ogos itu turut memberi ruang kepada para pelajar Wuyi University untuk mengenali negeri Sabah dengan lebih dekat melalui beberapa lawatan ke destinasi menarik yang terdapat di negeri ini.

 

JUMAAT, 16 OGOS - Fokus yang tinggi dan tetap percaya pada matlamat yang ingin dituju perlu ada dalam diri untuk terus maju ke hadapan.

Begitulah kunci kejayaan alumni  Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari Papar, Dg Irme Hafziany Ag Yusop, 33, yang kini mampu meraih pendapatan kira-kira RM4 juta setahun melalui perniagaan bakeri dan kafe “Kak Kiah Coffee House.”

Menurutnya, perniagaan tersebut dimulakan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal pada tahun 2008 dan asalnya dilaksanakan dengan hanya menjual kek secara kecil-kecilan.

“Pada ketika itu penjualan dibuat dari rumah sahaja dan sekadar tertumpu di bahagian Papar serta kadang kala di bazaar demi menampung kehidupan sekeluarga.

“Pada tahun 2013, berbekalkan kesabaran dan semangat yang tinggi, saya mula mengorak langkah mengembangkan perniagaan ibu ke peringkat yang lebih meluas dengan memperkenalkan “Cake in Jar” ke dalam dunia internet serta membuat penjualan secara “cash on delivery”.

“Apabila permintaan semakin meningkat,  saya membuka dan menjalankan perniagaan “Kak Kiah Cake House” dan juga “Kak Kiah Coffee House” dan kini perniagaan ini bukan sahaja dijalankan oleh saya sendiri malah seluruh keluarga turut serta dalam menjayakan perniagaan ini,” katanya ceria.

Graduan Sarjana Muda Pendidikan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS itu ditemui dalam Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, di pusat perniagaannya di sini, baru-baru ini.

Menurut Dg Irme, jangan sama sekali mudah berputus asa dan hilang tumpuan walaupun ada masyarakat di sekeliling yang kurang menaruh keyakinan dengan kemampuan kita.

"Sebagai makluman, pada masa kini kami telah membuka empat cawangan Kak Kiah Cofee House, satu kilang pemprosesan dan sebuah Kiosk Kak Kiah Cake House.

“Bukan itu sahaja, malah kami turut berkongsi rezeki bersama 50 ejen di seluruh Sabah dengan memasarkan Kak Kiah Cake Freezer yang mana ia boleh didapati di premis-premis terpilih di seluruh Sabah. Kita juga akan membuka cawangan di UMS yang dijadualkan mulai beroperasi pada September ini,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, beliau turut menanam impian agar jenama Kak Kiah akan mulai dikenali di peringkat global dan mampu memasarkan produk sehingga ke seluruh negara Asia pada 5 - 10 tahun akan datang.

Pada program Jejak Alumni itu, rombongan UMS diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Mohd. Raffie Hj. Janau dan turut disertai Ketua Bahagian Alumni, Mardena Jiwan.

 

KHAMIS, 15 OGOS – Sembilan orang staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menggalas cabaran membawa nama UMS dalam Kejohanan Kuching Marathon 2019 yang akan berlangsung pada 18 Ogos ini di Kuching, Sarawak.

Kumpulan pelari UMS adalah terdiri daripada gabungan kakitangan akademik dan Kumpulan Pegawai Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Menurut Dr. Mohamad Nizam, penyertaan mereka dalam acara tahunan tersebut adalah satu usaha untuk menyatukan kakitangan dari pelbagai perkhidmatan bersatu sebagai pasukan.

“Kumpulan pelari ini bersemangat tinggi untuk mengibarkan bendera UMS dalam satu kejohanan berprestij, selain mahu menjadi role model kepada kakitangan-kakitangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelepasan UMS Runners Ke Kuching Marathon 2019 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Bilik Mesyuarat Lembaga, UMS petang tadi.

Dalam majlis itu juga Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof memuji usaha kontinjen UMS dalam menyertai acara larian maraton yang dilihat mampu memotivasikan kakitangan lain untuk turut menyertai aktiviti sukan selain memupuk gaya hidup sihat menerusi acara sukan.

“Ini adalah selari dengan Strategi Utama dalam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Keempat UMS yang mempromosi budaya sihat bagi memastikan sumber manusia mempunyai tahap kesihatan yang baik sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

“Jabatan Pendaftar UMS bersama-sama dengan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan juga telah mengadakan perbincangan berkaitan perancangan aktiviti seperti Fun Run  dan Fun Walk  dalam program My Health For You bagi menjayakan lagi usaha tersebut, serta menimbangkan cadangan pengiktirafan kepada kakitangan dalam penglibatan sukan menerusi pencalonan anugerah khas kelak,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Taufiq Yap turut menyokong penglibatan aktif kakitangan UMS dalam penyertaan acara sukan seperti itu.  

Katanya, usaha ini merupakan langkah yang tepat  dalam memupuk penyatu paduan melalui sukan.

“Ini merupakan satu permulaan yang baik dalam mengangkat nilai keharmonian dalam kepelbagaian dalam kalangan warga UMS.

“Universiti juga menyokong usaha-usaha yang boleh membawa nama baik UMS ke serata dunia termasuk melalui penglibatan acara sukan,” ujar Prof. Dr. Taufiq Yap.

Pada majlis tersebut, penyerahan pakaian sukan kepada peserta larian dilakukan oleh Vina, manakala penyerahan bendera UMS kepada kontinjen UMS disempurnakan oleh Prof. Dr. Taufiq Yap.

SELASA, 13 OGOS - Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe mengadakan satu lawatan ke Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Lawatan tersebut diadakan pada hari terakhir program Penilaian Prestasi Atlet Olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah yang terdiri daripada atlet-atlet olahraga yang bakal berentap di kejohanan Sukan Malaysia Johor pada tahun hadapan.

Phoong Jin Zhe sempat melawat ke Makmal Prestasi Manusia, Fakulti Psikologi dan Pendidikan di mana beliau dapat melihat sendiri segala kelengkapan dan peralatan-peralatan saintifik yang digunakan sepanjang program penilaian prestasi atlet tersebut dijalankan.

Lawatan itu kemudiannya diteruskan ke Klinik Fisiologi Senam, FPP yang mana pada masa sama program penilaian prestasi atlet sedang berlangsung.

Phoong Jin Zhe sempat beramah mesra dengan kesemua atlet yang hadir sebelum bergerak ke dewan jamuan untuk sesi taklimat dan penerangan program oleh Ketua Program Penilaian Prestasi Atlet SUKMA Sabah yang juga Pensyarah Sains Sukan UMS, Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Ag. Daud.

Lawatan itu turut disertai Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor; Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; dan Penolong Pengarah Pengurusan Acara Majlis Sukan Negeri Sabah, Valerie Wong Hsiao Hsien.

Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal telah menjadi pusat bagi program penilaian prestasi atlet-atlet SUKMA Sabah bermula pada tahun lalu untuk acara olahraga dan sukan berbasikal.

Program ini membantu menilai prestasi semasa atlet-atlet tersebut secara berperingkat dalam usaha untuk membantu para jurulatih mengoptimumkan program latihan para atlet berkenaan untuk mencapai kejayaan di Sukan Malaysia.