Prof Dr FelixKHAMIS, 11 JUN – Banjir lumpur dikhuatiri akan melanda sekiranya gegaran dan runtuhan berterusan di Gunung Kinabalu.

Perkara itu dinyatakan Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Felix Tongkul ketika memberi respon terhadap kekecohan laman sosial mengenai bunyi dentuman batu-batuan yang kedengaran berjatuhan dari gunung tertinggi Asia Tenggara itu.

Katanya, tanah runtuh yang berlaku boleh menyebabkan aliran air sungai tersumbat dan lama-kelamaan air bertakung seterusnya membentuk empangan sementara yang akan menghasilkan banjir lumpur apabila ia pecah.

“Keadaan ini mengundang bahaya kepada penduduk yang tinggal di tepi sungai serta kawasan sekitarnya.

“Justeru, peringatan ini bukan untuk menakutkan penduduk di sana, tetapi  sebagai satu peringatan agar para penduduk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Prof. Dr. Felix dijangka akan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian gempa bumi dan impaknya kepada Sabah dalam temubual secara langsung di RTM TVi  saluran Astro 180 pada pukul  3.00 petang ini. –SS


Bahagian Media dan Citra



     
 

Kor SISPA Latihan MenyelmatRABU, 10 JUN – Bagi mempersiapkan mahasiswa dengan pengetahuan teknik mencari dan menyelamat, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kem Latihan Medan di Binsuluk Beach Resort, Membakut.

Menurut Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Lt. Kol. (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, kem yang disertai 96 pelajar semester 2 dan 4 itu didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi membentuk pasukan penyelamat yang sentiasa bersiap sedia dan cekap dalam kalangan pelajar.

“Kem ini telah memberi pendedahan kepada mereka tentang penggunaan set radio komunikasi dan alat berteknologi tinggi seperti penggunaan Global Positioning System (GPS) dan Government Integrated Radio Network (GIRN),” katanya ketika ditemui media.

Katanya, latihan tersebut turut menerapkan budaya kerja berkumpulan yang menitikberatkan aspek kerjasama dan interaksi berkesan.

Dr. Nizam berkata, kem latihan itu juga adalah sebagai sebahagian pra-syarat wajib bagi silibus  pembelajaran dalam Kor SISPA dengan menggabungkan kemahiran insaniah dan teori serta praktikal semasa latihan.

“Pelajar diberikan tugasan mencari dan menyelamat dalam hutan dalam tempoh enam jam meliputi jarak 2.5 kilometer bagi empat check point yang pada setiapnya peserta diberi tugasan tambahan melibatkan kemahiran menyelamat kecemasan dan rawatan awal dengan sumber yang terhad seperti mendirikan khemah sementara dan menyediakan masakan medan mengikut kreativiti masing-masing,” tambahnya.

Jelasnya, para pelajar juga didedahkan asas teknik menyelamat di air selain mengenal pasti sumber hasil hutan yang bermanfaat untuk digunakan sebagai alat ganti menyelamat di belantara.

Kem latihan selama tiga hari itu diselenggara sepenuhnya pegawai bertauliah dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah.

Majlis penutupannya disempurnakan Ketua Bahagian Pengurusan Angkatan JPAM Sabah, Mejar (PA) Erwin@Elverowen Kinsui. -SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Kor SISPA  
 

TNC lawat FKALRABU, 10 JUN - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. D. Kamarudin D. Mudin mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), hari ini.

Ketika berada di kampus berkenaan, beliau mengadakan perjumpaan dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

Perbincangan dua hala yang diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 11, Bangunan Menara itu berjalan dengan lancar sambil pensyarah mengutarakan pelbagai isu yang berkaitan pembelajaran dan pengajaran.

Turut dibincangkan isu-isu berkaitan akademik, latihan industri dan kebajikan pensyarah FKAL.

Dr. Kamarudin juga meminta FKAL mengemaskini laman web mereka bagi memudahkan pelajar baru yang berminat memasuki UMS mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai fakulti tersebut.

Pada masa sama, beliau berharap pensyarah akan membantu dekan mengadakan promosi ke beberapa universiti luar negara untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi mereka ke UMS khususnya Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.

“Jika ada sebarang masalah berkaitan pentadbiran termasuk perjawatan, pihak FKAL boleh mengadakan dialog dengan Jabatan Pendaftar supaya lebih banyak maklumat yang terkini dapat diperolehi,“ katanya. –SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn

MAHEPA Wong Tyan TzuRABU, 10 JUN - Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP)  Universiti Malaysia Sabah (UMS), Wong Tyan Tzu menerima Anugerah Khas bagi kategori Individu sempena Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar (MAHEPA) kali ke-17 baru-baru ini.

Tyan Tzu yang kini berada dalam tahun akhir pengajian berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu kejayaan buat dirinya yang telah banyak melibatkan diri dalam penganjuran program kemahasiswaan.

“Saya anggap ini suatu penghargaan yang tidak ternilai buat diri saya...meskipun anugerah ini jarang dimiliki orang lain namun ia bukanlah penyebab untuk saya merasa diri saya hebat daripada orang lain, tapi saya merasa berterima kasih kerana usaha selama ini dihargai universiti,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Tyan Tzu menerima hadiah berupa wang tunai RM500, sebuah trofi dan sijil yang disampaikan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Anugerah tersebut diberikan berdasarkan pencapaian beliau terpilih menjadi salah seorang daripada 20 pelajar dalam Program Mobiliti Malaysia-Mexico anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerajaan Mexico pada Januari lalu.

Program tersebut membawa beliau sebagai duta UMS membuat lawatan sosial budaya ke negara ketiga terbesar di Amerika Latin itu.–ZMD

Bahagian Media dan Citra
Foto: Musaab Umair, Bahagian Perhubungan Korporat

MAHEPASELASA, 09 JUN – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru agar mengimbangi ilmu kemahiran insaniah dan aktiviti kemahasiswaan selain pembelajaran dalam bilik kuliah.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata elemen tersebut harus ditanam dalam diri siswa siswi sebagai persediaan berdepan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

“Ini kerana persaingan sengit dalam dunia pekerjaan pada hari ini menuntut agar semua mahasiswa bersikap kompetetif dan berdaya saing,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Anugerah Hal Ehwal  Pelajar dan Alumni (MAHEPA), baru-baru ini.

Pada majlis itu, sebanyak 17 anugerah kategori berkumpulan dan individu dipertandingkan dengan menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah UMS mengungguli tiga anugerah dalam kategori berkumpulan iaitu Anugerah Penganjuran Program Kemahasiswaan Terbaik, Anugerah Pengurusan Organisasi Mahasiswa Terbaik, dan Anugerah Pasukan Emas.

Dua anugerah berkaitan kolej kediaman iaitu Anugerah Pengurusan Jawatankuasa Mahasiswa (JAKMAS) Terbaik disandang Kolej Kediaman Tun Mustapha manakala Anugerah Kolej Kediaman EcoCampus dimenangi Kolej Kediaman Lestari Kampus Sandakan.

Tiga lagi anugerah iaitu Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Terbaik, Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Terbaik serta Kumpulan Kesukarelawan Aktif Terbaik masing-masing dimenangi Smart Car UMS, Kelab Taming Mas daripada Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) UMS.

Bagi kategori individu pula menyaksikan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Al-Farid Abraham mendahului senarai penerima dengan menerima Anugerah Pemimpin Mahasiswa Cemerlang.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr. Haji Mohd Kassim Haji Mohd Ibrahim dan Datuk Pengiran Hj. Mohd. Hussein Datuk Pengiran Hj. Mohd. Tahir Nasruddin serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali.–ZMD

Penerima Anugerah Kategori Individu

Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang: Norsila Samsudin
Anugerah Pemimpin Persatuan Fakulti Cemerlang: Goh Vin Soon
Anugerah Pemimpin Sukarelawan Cemerlang: Mohd Noor Ain Wagen
Anugerah Pemimpin Harapan: Asmah Kadir
Anugerah Olahragawan: El Said Abdel Aziz
Anugerah Olahragawati: Shirley Ling Shio Ling
Anugerah Khas Sukan: Abner Moilie
Anugerah khas HEPA Pelajar : Wong Tyan Tzu
Anugerah Khas HEPA Pengetua Cemerlang: Prof Madya Dr Andika Aziz Husin
Anugerah Khas HEPA Jabatan/ Pusat Terbaik HEPA: Pusat Sukan UMS

Sumber: HEPA
Foto: Musaab Umair, Bahagian Perhubungan Korporat

FOLLOW US @

QUICK LINKS

  •  Staff Directory
  • Expertise Directory
  • Staff Portal
  •  Student Portal
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Space Reservation

OTHER LINKS

  •  UMS Map
  • Open Data
  • Sabah State Government Portal
  • Minister of Higher Education (MOHE)
  • MAMPU
  • MyGovernment Portal (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.