RABU, 20 DISEMBER - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Excellent (E)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Exco Media dan Publisiti mengadakan Bengkel Penulisan Berita Akhbar di Bilik Taklimat dan Tayangan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat baru-baru ini.

Pengarah bengkel tersebut, Nur Huda Izzati Izal berkata, penganjurannya antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan etika kewartawanan dan teknik penulisan akhbar dalam kalangan pemimpin pelajar khususnya pelajar Kolej Kediaman E.

“Selain itu, bengkel ini sekali gus bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin pelajar khususnya pelajar Kolej Kediaman E,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada bengkel tersebut.

Menurut Nur Huda, bengkel tersebut menyaksikan penyertaan seramai 20 pelajar yang terdiri daripada barisan wakil Pemimpin Kolej Kediaman E, Majlis Ketua-ketua Sekretariat, Majlis Ketua-ketua Blok, dan Majlis Ketua-ketua Kelab.

"Bengkel sehari itu  disampaikan Penolong Pegawai Penerangan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS, Salbinous Saribun," tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili.

SELASA, 19 DISEMBER – Program Perkongsian Universiti-Keluarga (PUPUK) yang telah dimulakan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah sejak tahun 2006 terus menjadi wadah bagi pelajar perubatan UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Profesor Perubatan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustapa berkata, program ini melibatkan jalinan berterusan antara universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah dan penduduk setempat dalam menjayakan program kesihatan masyarakat.

“Program ini merupakan satu aktiviti kurikulum untuk pelajar perubatan dan kejururawatan, yang antara lain turut bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara pihak universiti dengan masyarakat desa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Penyerahan Keluarga Angkat Program PUPUK di Dewan Pusat Pendidikan dan Perubatan Desa (PPPD) Sikuati, Kudat yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim baru-baru ini.

Menurut Prof. Zainal, program pada kali ini menyaksikan seramai 100 pelajar tahun satu FPSK telah diagihkan kepada 30 keluarga di Kampung Pinawantai, Matunggong, Kudat.

Sementara itu, Sapdin dalam ucapannya merakamkan penghargaan terhadap pihak pengurusan UMS di atas pemilihan daerah Kudat untuk Program PUPUK sejak program tersebut bermula lebih sedekad lalu.

“Saya percaya program ini telah memberikan impak yang positif kepada penduduk dari pelbagai kampung di sekitar Kudat sejak pelaksanaannya.

“Diharapkan agar program ini akan terus diadakan di daerah ini untuk kebaikan masyarakat di luar bandar khususnya di daerah Kudat dan kawasan sekitarnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pinawantai, Suntiam Mantagilir melahirkan rasa bersyukur dan bertuah kerana kampung beliau dipilih untuk pelaksanaan program PUPUK pada kali ini.

“Melalui program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengetahuan dan penjagaan kesihatan diri dan keluarga kepada penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dan penyelaras Program PUPUK, Prof. Madya Dr. Naing Oo Tha.

SELASA, 19 DISEMBER – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah Piala Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching apabila mengungguli temasya sukan tersebut dengan menjuarai tujuh daripada lapan acara yang dipertandingkan.

Beraksi di gelanggang sendiri, kontinjen pasukan UMS yang membariskan 87 atlet dan pegawai sukan ternyata gah apabila menjuarai acara Futsal Wanita, Bola Tampar Pantai Wanita, Bola Keranjang Lelaki dan Wanita, Bola Sepak, Bola Jaring dan Sepak Takraw.

Naib johan keseluruhan disandang oleh kontinjen Politeknik Kota Kinabalu yang memenangi satu pingat emas menerusi acara Bola Tampar Pantai Lelaki, manakala UMS Kolej Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mendapat tempat ketiga dengan pungutan pingat keseluruhan dua perak dan satu gangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Tony Azman dalam satu acara di UMS Arena, Ahad lalu, yang turut dihadiri Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong Abdullah.

Seramai 767 atlet mewakili 20 kontinjen IPT dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai temasya sukan yang berlangsung selama dua hari tersebut.

SELASA, 19 DISEMBER- Seramai 32 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sijil watikah pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2017/2018 di Galeri Majlis kelmarin. 

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk D Kamarudin D Mudin, pemilihan MPP yang diadakan secara demokrasi pada bulan Oktober lalu adalah satu pilihan yang terbaik oleh pelajar-pelajar UMS dalam menentukan pemimpin yang berkaliber dan layak bersuara bagi mewakili pihak siswa siswi.

“MPP adalah satu entiti yang sangat penting di UMS kerana mereka mempunyai peranan dan fungsi yang besar serta penting bagi menyalurkan suara siswa siswi UMS kepada pihak pengurusan UMS,” katanya.

Tambah beliau, MPP juga berfungsi dalam merangka serta menyusun pelbagai strategi dan aktiviti program kemahasiswaan yang bertujuan membangun sahsiah pelajar serta memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi dan peranan masing-masing kepada masyarakat, bangsa dan negara.

“Barisan MPP sesi 2017/2018 yang telah terpilih ini merupakan barisan yang terbaik di antara ribuan pelajar UMS untuk memimpin rakan-rakan seperjuangan di universiti, saya percaya suatu hari nanti anda bakal menjadi pewaris tampuk pimpinan negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Profesor Datuk D Kamarudin juga turut menasihatkan agar barisan MPP sentiasa mengamalkan DSIJ iaitu Dynamic, Sustainable, Integrity, Justice dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Terdahulu, Presiden MPP UMS 2017/2018 Jusman Nali memberitahu bahawa beliau dan rakan seperjuangannya bercadang untuk mengadakan Konvensyen De Borneo pada bulan April 2018, yang mana akan menghimpunkan semua pemimpin mahasiswa di negeri Sabah dan Sarawak.

“Kami di barisan MPP mohon dorongan serta sokongan daripada pihak pengurusan UMS untuk menjayakan konvenkesyen ini,” katanya.

Barisan MPP UMS 2017/2018 diwakili oleh 24 orang perwakilan kampus induk Kota Kinabalu, tiga orang daripada Fakulti Pertanian Lestari Sandakan dan lima orang daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.  

ISNIN, 18 DISEMBER – Kepelbagaian sambutan perayaan di Malaysia mampu menjadi medium terbaik bagi saling kenal-mengenal dan mengukuhkan lagi jalinan kemesraan sesama masyarakat tanpa mengira perbezaan latar agama dan bangsa.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, sambutan Pesta Krismas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) misalnya memberi kesempatan kepada para pelajar dan orang awam untuk berkumpul bersama-sama dan beramah mesra antara satu sama lain.

“Perayaan seperti ini sememangnya membuka peluang kepada kita semua untuk berkenalan dengan lebih dekat dan mengurangkan jurang perbezaan antara kita.

“Peluang dan kesempatan seumpama ini harus dihargai dan diteruskan agar pemikiran kita akan lebih terbuka untuk menerima persamaan dan perbezaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia, sekali gus menggalakkan budaya saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Krismas UMS Kali Ke-6 di Dewan Kuliah Pusat 2 baru-baru ini.

Menurut beliau, tema pesta pada tahun ini, iaitu Perpaduan (Unity) sangat bersesuaian bagi menyarankan kepada masyarakat agar sentiasa bersatu-padu dan memperjuangkan jiwa dan raga demi negeri Sabah khususnya dan negara Malaysia tercinta secara amnya.

“Perpaduan bukan sahaja penting di antara bangsa atau kaum, tetapi juga penting wujud di antara agama, dan amalan kebebasan beragama haruslah dipraktikkan tanpa membelakangkan perpaduan,” ujar beliau.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, majlis seperti ini melambangkan semangat harmoni dan semangat 1Malaysia yang ada dalam kalangan siswa-siswi UMS.

“Penganjuran majlis ini juga sebenarnya menyumbang kepada perkembangan jati diri dan kemahiran sahsiah kepada pelajar universiti.

“Justeru, pihak universiti tidak ingin melepaskan peluang untuk mengadakan majlis ini bagi tujuan perkembangan sahsiah serta mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar, dan akan terus menyokong pelaksanaan majlis berkaitan budaya dan agama masyarakat Malaysia dengan harapan acara seperti ini boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar universiti,” katanya.

Lebih 2,500 orang terdiri daripada warga kakitangan dan pelajar UMS, pelajar dari institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta orang awam hadir memeriahkan lagi sambutan Pesta Krismas UMS yang penuh dengan kepelbagaian persembahan.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Lucas Umbul, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, dan Pengarah Pesta Krismas UMS 2017, Alvin Roy Oilon.