KHAMIS, 13 APRIL - Seramai 50 warga Kolej Kediaman Sri Angkasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan pendakian tanpa sampah (Hiking, Zero Waste) di Bukit Botak, Sepanggar baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kolej kediaman itu, program tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang pentingnya penjagaan alam sekitar ketika melakukan aktiviti rekreasi yang santai dan ceria.

Bermula seawal pukul 8.00 pagi, peserta terlebih dahulu diberikan taklimat serta agihan plastik sampah di kolej kediaman sebelum memulakan pergerakan ke kawasan pendakian.

Rombongan yang turut diselia tiga pegawai pengiring itu kemudian memulakan pendakian sambil mengutip sampah di sepanjang laluan menuju ke puncak.

Kenyataan itu turut memaklumkan, para peserta berasa seronok sepanjang aktiviti yang bukan sahaja membantu untuk mengekalkan kecergasan dan kesihatan tubuh badan tetapi dalam masa yang sama mengekalkan keindahan dan kebersihan persekitaran.

Justeru, mereka berharap agar program-program seumpama itu dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

 

Sumber:  Mardena Jiwan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar

 

KHAMIS, 13 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Teknologi, Kolej Fukushima, Jepun menandatangani satu Surat Niat (LoI) baru-baru ini bagi mengukuhkan lagi kerjasama, koordinasi dan perkongsian maklumat di dalam bidang kelestarian.

Majlis menandatangani LoI itu menyaksikan UMS diwakili Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng, manakala Kolej Fukushima, Jepun diwakili Presidennya, Takayuki Nakamura.

Majlis itu yang diadakan bertempat di Makmal Hotel, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS turut disaksikan bekas Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus yang pertama, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul  dan pensyarah Kolej Fukushima, Prof. Madya Dr. Akiko Kato.

Terdahulu Dr. How berkata, Surat Niat itu merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan tahap koordinasi kelestarian dan kerjasama di antara UMS dan Kolej Fukushima, Jepun.

Katanya, beberapa kerjasama telah digariskan untuk manfaat kedua-dua organisasi merangkumi kerjasama dalam projek pendidikan, latihan, seminar, bengkel, persidangan dan pertukaran pelajar kakitangan serta aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

“Kerjasama ini membolehkan pihak UMS berkongsi pengalaman bersama Institut Teknologi, Kolej Fukushima terutama pengalaman mereka ketika dalam proses pemulihan bencana dari tsunami dan kemalangan nuklear pada tahun 2011,” katanya.

 

 

KHAMIS, 13 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima 200 basikal elektrik daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di bawah program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M).

SER1M yang dilancarkan oleh Menteri KeTTHA, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam mempromosikan dan menggalakkan penggunaan mobiliti rendah karbon khususnya dalam kalangan golongan belia.

Menurut Datuk Seri Panglima Dr. Maximus, sebanyak 1,200 buah basikal akan diedarkan kepada enam buah universiti dan UMS menjadi universiti pertama yang menerima basikal yang dikenali Electric Pedal Asissted Bicycle (EPAB) tersebut.

“Saya amat teruja dengan perkembangan ini kerana negeri Sabah menjadi pelopor dalam penggunaan EPAB dan selain lima universiti lain yang bakal menyusul.

“Pendedahan yang diberikan kepada golongan belia terhadap kenderaan elektrik dua roda dapat membentuk minda dan memberi kesedaran berkenaan isu-isu pemanasan global dan kepentingan laman hidup hijau,” ujarnya.

Lima lagi universiti yang bakal menerima EPAB ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Datuk Seri Panglima Dr. Maximus berkata, melalui program SER1M, para pelajar akan dapat mempelajari aspek teknikal EPAB dan model perniagaan yang dicadangkan oleh agensi pelaksana program tersebut iaitu Malaysia Green Technologi Corporation (MGTC) atau mengikut model perniagaan universiti di bawah program keusahawanan pelajar.

“Basikal ini boleh dipajak, disewa beli atau dijual kepada para pelajar mengikut kesesuaian pelan perniagaan masing-masing. Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk meningkatkan pengalaman dan kemahiran dalam bidang perniagaan,” tambahnya.

EPAB yang digunakan dalam program tersebut merupakan produk keluaran syarikat tempatan iaitu Voltron Malaysia Sdn. Bhd serta mematuhi standard EPAB MS2514 yang dibangunkan oleh SIRIM.

Pada majlis sama, UMS turut menerima geran peruntukan audit tenaga bernilai RM55,000 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 iaitu kemudahan geran bersyarat untuk projek kecekapan tenaga bagi pemilik bangunan yang menggunakan tenaga elektrik tidak melebihi 100,000 kwh sebulan.

Foto: Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 13 APRIL – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah bekerjasama dengan Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) berjaya menarik 527 peserta melalui penganjuran Bengkel ‘Building Bridges…National Dance Tour’ bertempat di Dewan Auditorium Pascasiswazah dan Studio Tari Normadiah di FKSW baru-baru ini.

Menurut salah seorang jawatankuasa bengkel yang juga merupakan pelajar sarjana FKSW, Ratna Fazlinda berkata bengkel seni tari itu bertujuan untuk memperkenalkan serta mengangkat seni tari tradisional dan kontemporari di Malaysia kepada peserta sasaran iaitu pelajar sekolah menengah, kumpulan seni tari, peminat tarian tradisi, serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) yang terdapat di negeri Sabah terutamanya di sekitar Kota Kinabalu.

“Program dengan penyertaan secara percuma ini juga memberikan pendedahan kepada peserta untuk menanam semangat cintakan kesenian negara, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dan positif selain mempromosikan kesenian seni tari di seluruh Malaysia, ia juga meningkatkan apresiasi dan memahami pelbagai budaya melalui tari, “ tambahnya ketika ditemui media.

Program ini juga membolehkan peserta yang kurang berkemampuan dapat mempelajari seni tari.

Salah seorang peserta bengkel, pelajar tahun 3 dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Diana Faezah binti Kamarul Faiz berkata, beliau sangat teruja dan sanggup datang ke Kota Kinabalu semata-mata untuk menyertai bengkel tersebut serta berpeluang menambah ilmu dalam tarian tradisional yang amat diminatinya.

Terdapat 7 jenis seni tari yang diajar kepada peserta iaitu tarian tradisional Melayu (Zapin Pekan), tarian kreasi baru, tarian India (Stick Dance), tarian kontemporari, tarian klasik Melayu (Terinai), tarian Cina (Kipas) dan tarian Hip Hop.

Peserta bengkel dibimbing oleh 13 orang tenaga pengajar seni tari yang diketuai oleh Imran Syafiq Mohd. Affandi dari ASK Dance Company, ASWARA.

Hadir sama pada majlis penutupan, Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim dan Penyelaras Kelab Seni Tari, Sharip Zainal Sagkif Shek.

RABU, 12 APRIL – Seminar Keusahawanan “Journey To Success” anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu dijadikan platform kepada siswa-siswi untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diceburi kelak.

Seminar yang turut mendapat kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan tinggi seperti Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Eastern dan Kolej Mahsa itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi dan tahap pemikiran yang lebih cakna terhadap isu-isu semasa dalam pengurusan usaha niaga baru.

Timbalan Dekan FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, seminar ini turut menyasarkan jaringan kerjasama dan interaksi antara peserta dari pelbagai organisasi, selain memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia sebenar bidang keusahawanan melalui perkongsian daripada usahawan tempatan dan alumni UMS yang berjaya.

“Diharapkan seminar ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendapatkan pengetahuan berkaitan keusahawanan yang amat berguna untuk struktur perniagaan pada masa kini.

“Justeru itu, saya menggalakkan para usahawan dan bakal usahawan untuk terus menambah ilmu keusahawanan dan mengambil peluang dengan menghadiri seminar-seminar sebegini,” katanya.

Seminar sehari yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS turut memberikan gambaran jelas kepada peserta mengenai perniagaan dalam talian melalui sesi ceramah “Online Networking Business” oleh wakil agensi My Own, Afdal Naim.

Turut berlangsung sesi forum yang menampilkan dua alumni UMS, iaitu pemilik syarikat Global Bike, Zulkarnain Sulaiman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Arnab Village, Jubair Juhinin, serta usahawan tempatan yang merupakan pengasas Bonco Virgin Coconut Oil, Ronnie Onginjan.