SELASA, 26 JUN - Seramai 26 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula Ogos ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kesemua mereka akan melanjutkan pengajian selama 18 bulan di universiti tersebut.

“Selain UMS, TLDM juga menerima tawaran daripada beberapa universiti tempatan dan swasta lain dan kami dalam proses pemilihan akhir untuk pakej-pakej terbaik yang ditawarkan untuk pegawai-pegawai kami di Kuala Lumpur, Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau  berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan tugas antara Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob di Pangkalan TLDM Sepanggar, kelmarin.

Ahmad Kamarulzaman turut memaklumkan seramai 120 anggota TLDM telah mendaftar dalam program separuh masa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) menerusi program khas dengan universiti tempatan.

ISNIN, 25 JUN - Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST),  Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru  ini menerima kemasukan seramai 312 pelajar baharu bagi Program Asasi Sains sesi 2018/2019.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendy Arshad berkata, kesemua mereka yang berasal dari seluruh negeri di Malaysia telah menjalani Minggu Suai Mesra dan bakal memulakan pengajian dalam Program Asasi Sains di PPST, UMS minggu ini.

“Pihak PPST akan memikul tanggungjawab dan amanah untuk sentiasa mendahulukan agenda universiti dan akan memberikan pendedahan asas sains yang kukuh kepada para pelajar sejajar dengan kemudahan-kemudahan universiti yang telah disediakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MSM di Bangunan PPST.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, kemasukan ke program Asasi Sains bakal menjadi titik mula memperkukuhkan asas dalam bidang sains dan teknologi sebelum melangkah ke program ijazah kelak.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih untuk meneruskan pengajian dalam program Asasi Sains di PPST, UMS ini.

“Yakinlah bahawa ini bukanlah tempat persinggahan semata-mata tetapi jadikanlah pengalaman di kampus ini sebagai suatu memori indah untuk bekalan masa hadapan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Program MSM Sesi 2018/2019 PPST UMS, Nur Hazwani Dahon.

 

RABU, 13 JUN - Alumni Fakulti Psikologi dan Pendidikan (AFPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Majlis Iftar sambil Beramal di Hotel Dreamtel Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pengarah Program Hajah Hairuni Haji Kasuagi berkata, penganjuran majlis itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan pensyarah dan mahasiswa Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) tetapi juga daripada pegawai-pegawai kerajaan serta orang awam yang sama-sama hadir mengimarahkan majlis berbuka puasa.

“Majlis ini bukan sekadar iftar biasa tetapi untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran kepada mahasiswa FPP dalam menyambut bulan Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang kian menjelang tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, program itu merupakan aktiviti yang keempat dianjurkan oleh AFPP sambil berharap agar program sedemikian dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.

“Program-program yang dianjurkan AFPP memberi manfaat dan kebaikan kepada individu dan masyarakat khususnya dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian.

“Dalam masa yang sama, program seumpama ini boleh dijadikan platform perkongsian pengalaman, kepakaran dan kemahiran antara alumni kepada pelajar UMS,” tambah Hajah Hairuni.

Hadir sama pada majlis itu, Dekan FPP, Prof. Dr. Mohd Dahlan Haji A. Malek dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Dr. Soon Singh Bikar Singh.

 

Sumber: FPP

RABU, 13 JUN - Perhimpunan Pagi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) pada bulan Jun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila julung kalinya menggunakan aplikasi Smart-Hadir.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohamad Saffree Jeffree berkata, penggunaan aplikasi tersebut diinisiatifkan  pihak pengurusan FPSK selaku urusetia dengan kerjasama Pusat Pengurusan Data dan Maklumat UMS bagi merekodkan kehadiran kakitangan.

“Seramai 120 warga FPSK hadir pada perhimpunan yang diadakan secara bulanan ini berdasarkan rekod aplikasi tersebut yang dilihat bertepatan dalam usaha menyokong inisiatif  UMS-KRA kesembilan iaitu transformasi ke arah Universiti/Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada perhimpunan itu juga menyaksikan sesi penyerahan tugas bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital UMS (HUMS) antara bekas penyandangnya Prof. Madya Dr. Awang Setia Musleh kepada Prof. Madya Dr. Helen Lasimbang yang dilantik memegang jawatan itu secara rasmi berkuatkuasa 16 Mei 2018.

Turut diadakan pelancaran ringkas Piagam Pelanggan FPSK yang merangkumi lapan komponen utama termasuk akademik, penyelidikan, hal ehwal pelajar, pentadbiran dan sains.

Serentak dengan itu juga pelancaran ringkas e-buku panduan sumber manusia FPSK bertajuk FPSK Human Resource E-Handbook yang mengandungi 53 halaman hasil nukilan bersama Dr. Saffree dan Timbalan Pendaftar FPSK, Hasmi Hashim.

Berhubung e-buku panduan itu, Hasmi memaklumkan ia mengandungi pelbagai maklumat penting seperti senarai nombor perhubungan semua staf FPSK bagi memudahkan urusan kerja dan sumber rujukan dalam kalangan staf.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Fairrul Masnah Abd. Kadir; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti), Prof. Dr. Kew Seih Teck; dan Ketua Timbalan Pendaftar merangkap Pengarah Pengurusan HUMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Sumber: FPSK

 

SELASA, 12 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Tabung Ehsan RM1/3/5 Alumni UMS dalam satu Majlis Iftar bersama alumni di Hotel Promenade Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan  Ahli Lembaga Pengarah UMS merangkap Penaung Alumni UMS, Datin Hajah Nurlaila Hj Said.

“Tabung Ehsan ini bertujuan mengutip sumbangan dalam kalangan alumni serendah RM1, RM3 atau RM5 setiap bulan untuk mengumpul dana bagi membantu mana-mana alumni UMS di seluruh negara yang menghadapi kesulitan atau kecemasan.

“Tabung Ehsan ini banyak manfaat kepada kalangan alumni UMS sendiri ibarat kata pepatah berat sama di pikul, ringan sama dijinjing,” katanya ketika berucap melancarkan tabung berkenaan.

Datin Hajah Nurlaila yang juga merupakan alumni UMS turut menyeru semua alumni untuk menyumbang sama ada setiap bulan atau setahun sekali.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Ismail Ali dalam ucapannya meminta Kelab Alumni Fakulti UMS atau Pertubuhan Alumni UMS lebih aktif untuk mengadakan majlis sedemikian dan acara-acara lain yang berkaitan bagi memastikan slogan “stay connected” alumni UMS dengan alma mater dapat diterjemahkan.

“Program pada kali ini adalah sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Alumni UMS dan besarlah harapan pihak penganjur agar program seumpama ini dapat dilaksanakan oleh Pertubuhan Alumni UMS pada masa akan datang.

“Sesungguhnya program-program yang dianjurkan oleh Pusat Alumni UMS sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada alumni dan masyarakat serta dapat memupuk semangat perpaduan dalam diri kita,” tambah Prof. Dr. Ismail.

Dalam masa yang sama katanya, para alumni juga dapat menjalin kerjasama serta berkongsi kepakaran dan kemahiran sesama mereka.

Majlis Iftar dan Pelancaran Tabung Ehsan itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran seramai 180 alumni UMS.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Hj Awang; Pengerusi Majlis Timbalan Dekan HEPA UMS, Dr. Mohamad Puad Bebit, Ketua Chapter Alumni UMS Pantai Barat Sabah, Dg. Maimunah Hj Sidek, serta Pengerusi-pengerusi Alumni Fakulti dan Wakil Pertubuhan Alumni UMS.

 

Sumber: Pusat Alumni UMS