JUMAAT, 5 MEI – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia menerusi Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) sempena Majlis Penutupan Kursus Kaunseling Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Labuan, baru-baru ini.

LoI itu ditandatangani antara Dekan FPP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Haji A. Halek dengan Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional), Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, mewakili Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar; Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah; dan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan, Zainah Pardi.

Terdahulu, Datuk  Harun dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Murnizam berkata, dengan terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak, ia juga dapat menunjukkan nilai inovasi yang memacu pencapaian dan membantu masyarakat menghadapi cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya, aspek membantu adalah sangat penting kerana pihak FPP memperturunkan ilmu manakala Jabatan Penjara mengaplikasikan ilmu tersebut.

“Harapan saya agar kerjasama ini akan terus terjalin bagi membantu masyarakat membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Haji Zulkifli berkata kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan UMS itu akan memberi impak yang sangat besar di dalam pemulihan serta memberi manfaat bersama.

Katanya, Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan pandangan mahupun cadangan, idea baru dan diharapkan ianya akan ditambah baik demi memantapkan lagi program-program pemulihan yang dibangunkan di institusi ini.

Pada majlis itu, Dr. Murnizam turut menyerahkan modul Adaptasi Motivational Interviewing (AMI) kepada Dato’ Alzafry Mohamed Al Nassif.

Turut diadakan pembentangan Projek KTP UMS-Penjara daripada Ketua Projek,  Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad.

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

 

 

JUMAAT, 5 MEI - Karya pelajar tahun akhir program Seni Visual Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Faezah Nor Saddi dinobatkan sebagai Dokumentari Terbaik pada Flicks Fiesta SEA 2017 yang berlangsung di KDU Penang University College, baru-baru ini.

Karya bertajuk ‘That Woman’ itu menceritakan tentang perjalanan perubahan kehidupan seorang wanita yang kembali bangkit selepas hubungan bersama teman lelakinya berakhir, sekali gus merubah wanita tersebut menjadi seorang yang positif, disiplin dan fokus.

Faezah ketika dihubungi berkata, karya tersebut dihasilkan untuk memberi semangat kepada orang ramai tentang pentingnya bersikap positif dalam berdepan apapun cabaran dan dugaan hidup.

“Idea ini datang dari saya sendiri. Sebagai pelajar yang baru mempelajari bidang penulisan skrip, saya lebih suka mengambil idea dari persekitaran saya dan watak utama dalam karya ini adalah rakan baik saya sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, dokumentari berdurasi 15 minit itu mengambil masa selama 6 bulan untuk disiapkan dengan bantuan pensyarah beliau dan krew produksi.

Pada pertandingan tersebut, karya ‘That Woman’ turut dicalonkan dalam kategori Life Impact Award.

Beliau yang diwakili oleh adiknya pada malam anugerah tersebut tidak menyangka karya beliau akan memberi kemenangan.

“Kami menyertai pertandingan ini pada pertengahan bulan Mac lalu. Mulanya saya dan krew hanya menurut arahan daripada pensyarah untuk menghantar penyertaan sahaja. Memang tidak sangka akan tercalon dalam mana-mana kategori. Namun apabila diberitahu karya ini tercalon dalam dua kategori, saya dan krew tidak meletakkan harapan yang tinggi.

“Bagi kami, jika kemenangan itu berpihak kepada kami, ia satu bonus dan Alhamdulillah ini rezeki untuk semua yang terlibat. Saya rasa gembira dan terharu atas kejayaan ini,” katanya yang sedang sibuk membuat persiapan projek akhir semester beliau.

Kejayaan ‘That Woman’ sekali gus membuka ruang kepada beliau dan rakan-rakan untuk membawa lebih banyak karya mereka ke pentas pertandingan pada masa akan datang.

Selain trofi, mereka turut menerima wang tunai, sijil penyertaan dan baucer pembelian.

 

KHAMIS, 4 MEI – Bengkel Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis menjadi medan mahasiswa Kolej Kediaman E mengetengahkan bakat terpendam dalam diri masing-masing.

Bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, ia merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) melalui Exco Kepimpinan kolej itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKMAS kolej tersebut, bengkel itu dalam masa yang sama bertujuan memupuk keberanian untuk berucap di khalayak ramai di samping mencari bakal pelapis dalam bidang pengacaraan.

Bengkel selama sehari itu dikendalikan pengacara yang berpengalaman luas di dalam dan luar UMS, Mohammad Norazmi Haris.

Selain perkongsian pengalaman dari penceramah, para peserta turut diminta tampil ke hadapan bagi mempraktikkan segala yang diajar semasa bengkel.

Majlis kemuncak menyaksikan kesemua 50 peserta menerima sijil penyertaan sebagai tanda pengiktirafan.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

RABU, 3 MEI -  Pertandingan Kesenian Interkolej anjuran Bahagian Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) ditutup dengan rasminya dalam satu majlis yang gilang-gemilang di Anjung Circle, HEP baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Ketua Jabatan HEP, Ahmadi Nurdin berkata, pertandingan yang melibatkan nyanyian irama Malaysia, tarian moden dan nasyid telah berjaya menyerlahkan bakat-bakat terpendam dalam kalangan pelajar yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan pertandingan kesenian Interkolej pada kali ini,” katanya.

Johan bagi kategori nyanyian irama Malaysia disandang Nur Amanina Kasman dari Kolej Kediaman Tun Mustapha, manakala naib johan menjadi milik Nur Farah Ain Donian dan tempat ketiga, Aliff Muazzam Lumin yang masing-masing  mewakili Kolej Kediaman USIA.

Bagi kategori pertandingan tarian moden pula, Lentera Tari dari Kolej Kediaman Excellent muncul juara sekali gus mengetepikan kumpulan Da Suksis yang mewakili Kolej Kediaman Tun Mustapha sebagai naib juara.

Whatever Crew dari UMSKAL pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

Pertandingan kategori nyanyian nasyid turut memperlihatkan pesembahan yang mengasyikkan dari kesemua kumpulan yang bertanding.

Namun tuah lebih memihak kepada kumpulan dari UMSKAL apabila dinobatkan sebagai johan, disusuli  kumpulan dari Kolej Kediaman USIA sebagai naib johan dan kumpulan yang mewakili Kolej Kediaman Tun Fuad di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah berupa piala, hamper dan sijil penyertaan telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

 

Jurugambar: Suzeanywati Gasinin

RABU, 3 MEI – Pelajar Program Sosiologi dan Antropolgi (ANSOS) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan lawatan dan khidmat masyarakat di Kampung Mesilau, Kundasang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ANSOS, program yang bertemakan “Mahasiswa Bersama Pemimpin Tempatan dan Masyarakat: Menyemai Kemajuan Negara” itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar ANSOS dalam melaksanakan khidmat masyarakat dan kerja lapangan di kampung berkenaan.

Dalam masa yang sama, ia juga sebagai platform untuk memperkenalkan kepada pelajar tentang budaya tradisi masyarakat tempatan di kawasan yang majoritinya didiami oleh kaum Dusun.

Dalam pada itu, Ketua Program Sosiologi yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi berkata, program khidmat masyarakat dan kerja lapangan merupakan asas untuk menilai keupayaan pelajar terhadap pelaksanaan program mobiliti pelajar antara universiti tempatan.

"Sabah sangat tepat untuk memberi pemahaman yang mendalam terhadap gaya hidup masyarakat berbilang etnik," katanya.

Pada program itu, para pelajar turut mengadakan temubual bersama keluarga angkat masing-masing selain menganjurkan sukaneka dan malam kebudayaan.

Mereka juga berkesempatan melawat Ladang Tenusu Desa, Kolam Air Panas Poring dan Tugu Peringatan Perang, Kundasang. – FL (SS)