JUMAAT, 27 JANUARI - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditutup bermula esok  sehingga  30 Januari 2017.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perpustakaan, penutupan itu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan bermula esok dan Ahad selain cuti gantian pada Isnin.

Walau bagaimanapun kenyataan itu memberitahu, warga UMS masih boleh mengakses pangkalan data perpustakaan melalui http://library.ums.edu.my.

Perpustakaan UMS akan beroperasi semula pada Selasa, 31 Januari 2017.

 

 

ISNIN, 23 JANUARI - Seramai 56 pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Malaysia (UMS) berjaya mengikuti Kursus Metodologi Kejurulatihan dan Bakal Pegawai yang berakhir pada Sabtu di Dewan Kolej Kediaman Tun Mustapha, UMS.

Pegawai kadet yang terlibat terdiri daripada 31 pelajar tahun tiga dari kampus induk Kota Kinabalu, dan 25 pelajar tahun tiga dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL).

Kursus tersebut bertujuan memastikan pegawai kadet Kor Sispa UMS yang ditauliah mempunyai sijil asas metodologi kejurulatihan bagi menepati syarat pentauliahan.

Di samping itu juga ia bertujuan untuk mempersiapkan pegawai kadet dengan asas-asas kejurulatihan bagi memastikan pegawai kadet ini mempunyai kemahiran yang secukupnya sebelum ditauliah.

Pada kursus tersebut, para pegawai kadet turut diberi pendedahan mengenai peranan dan kepentingan latihan dalam organisasi serta persediaan jurulatih, selain daripada perlu menghadiri ujian teori metodologi dan latihan amali.

Dalam ucapan perasmian, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Norazah berkata, pengisian program berkenaan mempunyai sasaran yang jelas kepada para pegawai kadet Kor-Sispa UMS.

“Kursus ini bagi membentuk sahsiah diri sebagai mahasiswa kental dan berkualiti dengan kemampuan untuk mengaplikasikan ilmu kepegawaian khususnya yang berkaitan seperti Akta Pertahanan Awam, Kaedah Pertahanan Awam serta Etika dan Kepimpinan Pegawai.

Turut hadir, Ketua Jurulatih Kor SISPA UMS, Lt. (PA) Zulfaituri Ramlee, Jurulatih Akademi Latihan Pertahanan Awam Bangi, SM (PA) Hilmi Husmam serta jurulatih-jurulatih Kor SISPA UMS.

ISNIN, 23 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan satu seminar mengenai Pemetaan Sumber Kebudayaan Pelancongan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) baru-baru ini.

Seminar itu yang dianjurkan oleh Program Pengurusan Pelancongan dan Unit Pembangunan Pelancongan BIMP-EAGA, telah dirasmikan oleh Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Pejabat Sabah), Ag Ahmad Zaki Abu Bakar.

Ahmad Zaki memuji UMS untuk sentiasa menganjurkan wacana akademik mengenai pelancongan.

"Industri pelancongan sentiasa membangunkan produk dan jejak pelancongan baru untuk menggalakkan lebih ramai pelancong menjelajah kawasan di Sabah serta dapat menyumbang kepada pembangunan tempatan.

"Ini juga akan mengurangkan sedikit tekanan dari kawasan pelancongan massa seperti Kota Kinabalu dan sekitarnya, dengan itu memastikan kemampanan dalam sektor pelancongan di negeri ini," katanya.

Seminar tersebut dikendalikan tiga penceramah jemputan iaitu Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul dan Dr. Oliver Valentine Boy dari UMS, serta Dr. Spencer Hedley Mogindol dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ceramah mereka meneroka konsep dan kaedah pemetaan sumber kebudayaan, khususnya kaedah Cultural Route Evaluation Model (CREAM), yang akan dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik di Kota Belud dan Kudat pada tahun ini.

Majlis penutupannnya disempurnakan Ketua Unit Pembangunan Pelancongan BIMP-EAGA, Prof. Dr. Jennifer Chan Kim Lian.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan daripada semua pihak yang terlibat didalam menganjurkan seminar itu yang dilihat mampu menggalakkan lebih ramai lagi penyelidik untuk menganjurkan wacana akademik pada masa hadapan.

Sumber: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan

KHAMIS, 19 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan 41,561 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2016.

Menurut kurator muzium, Flora Anne Asalin, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan seramai 2,532 pelawat berbanding 39,029 orang pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 34,044 adalah pelawat warganegara,  5,002 pelawat antarabangsa  dan selebihnya adalah tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, peningkatan kehadiran pelawat itu juga menunjukkan Akuarium dan Muzium Marin UMS terus menjadi pilihan sebagai salah satu destinasi pelancongan apabila berada di Kota Kinabalu.

“Pihak muzium juga berjaya menjana kewangan sebanyak RM339,040 berbanding RM177,772.49  pada tahun lalu melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada setiap pelawat,” tambah Flora lagi.

Muzium yang dikendalikan di bawah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Tiket masuk bagi orang dewasa warganegara Malaysia ialah RM10, manakala kanak-kanak dan pelajar berumur empat hingga 17 tahun serta warga emas hanya dikenakan bayaran RM5.

Bagi pengunjung warganegara asing, tiket masuk ialah RM20 bagi orang dewasa, manakala kanak-kanak, pelajar dan warga emas RM10.

 

RABU, 18 JANUARI – Kira-kira 500 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri Ceramah Pendidikan Tinggi yang diadakan di Dewan Resital hari ini.

Ceramah yang bertajuk “The Concept of University: Beyond Ranking” disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Dalam ceramahnya beliau telah menceritakan beberapa institusi yang kukuh pada masa yang lalu dan kini melalui corak pentadbiran dan pendidikan yang diamalkan.

Beliau turut menyentuh tentang tokoh-tokoh masa silam dan bagaimana mereka membawa organisasi untuk terus maju ke hadapan sekali gus mengaitkan perkara tersebut dengan hala tuju universiti awam pada masa kini.

Hadir sama pada ceramah itu Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah; Pendaftar, No'man Hj. Ahmad serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan universiti.

 

Foto: Ernest Berinus