SELASA, 17 DISEMBER – Negara Malaysia mempunyai potensi besar sebagai sebuah negara maritim dari aspek perkembangan ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
Mantan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (Bersara) Tan Sri Dato’ Seri Panglima Dr. Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin yang juga merupakan Profesor Adjung bagi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan berkata, dengan keluasan kawasan maritim Malaysia iaitu 556,285 kilometer persegi, industri seperti hidrokarbon, perikanan, pelancongan, perdagangan dan sumber mineral mampu mendapat manfaat besar.
“Sejarah Kesultanan Melayu Melaka juga telah memberi gambaran bahawa Melaka pada kurun ke-14 merupakan satu kuasa maritim berpengaruh pada zaman tersebut.
“Kedudukan sempadan maritim Malaysia yang bersempadan dengan enam buah negara di rantau Asia Tenggara juga menjadikan negara ini amat strategik dalam pelbagai industri khususnya perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu syarahan perdana bertajuk “Geopolitik dan Impak Terhadap Pembangunan Ekonomi: Malaysia Sebuah Negara Maritim” yang berlangsung di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, industri perikanan umpamanya mampu menjana sumber pendapatan sehingga RM10 bilion setahun, sementara sumber minyak dan gas mampu menjana sehingga RM241 bilion, menjadikan kawasan maritim Malaysia sebagai satu potensi memacu ekonomi negara.
“Namun, ancaman-ancaman maritim seperti pencemaran laut, rompakan laut, penculikan oleh kumpulan pengganas, pencerobohan nelayan asing yang menangkap ikan di kawasan negara merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya dengan menggiatkan lagi kerjasama dua hala antara negara berkaitan, cabaran-cabaran tersebut mampu dijadikan satu peluang besar buat negara untuk meraih pelbagai manfaat dalam aspek pembangunan ekonomi negara.
Lebih 300 pelajar UMS dari pelbagai fakulti hadir pada syarahan perdana tersebut.
Terdahulu, Dato’ Seri Panglima Dr. Ahmad Kamarulzaman juga telah menyampaikan satu ceramah dalam sesi perkongsian bertajuk “Be Inspired” bersama pelajar UMS pada sesi pagi, yang menyentuh berkaitan keperluan para generasi muda untuk berfikir di luar kotak pemikiran dan mensyukuri keadaan dan persekitaran negara Malaysia yang aman dan harmoni.



SELASA, 17 DISEMBER - Seramai 25 peserta terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Ketua Jabatan, dan Pegawai Pengurusan dan Profesional Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengikuti retreat Pelan Strategik Tahun 2020 anjuran fakulti itu bertempat di Mesilou, Kundasang, baru-baru ini.
ISNIN, 16 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar satu lagi sejarah apabila menubuhkan Institut Confucius (CI) iaitu sebuah institut bahasa Mandarin yang pertama di Borneo.
JUMAAT, 13 DISEMBER – Seramai 48 pelajar Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program komuniti “Mahasiswa Perintis Komuniti Sejahtera” di Kampung Tinangol, Kudat baru-baru ini.
JUMAAT, 20 DISEMBER – Seramai 58 pelajar tahun akhir program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi pendedahan berkenaan ‘Peranan Bomba di dalam Proses Kelulusan Pelan Pembangunan dan Bangunan serta Akta-Akta Berkaitan’ dalam satu program yang berlangsung di bangunan FKJ, baru-baru ini.