RABU, 4 JULAI – Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mewujudkan sebuah Taman Mini Kreatif sebagai salah satu inisiatif untuk mengindahkan persekitaran persekolahan di kawasan PML UMS.

Pengarah PML, Aidah Noordin berkata, ini adalah bagi mewujudkan suasana ceria di kawasan PML yang akan mendorong kepada peningkatan emosi kanak-kanak, selain sebagai satu kawasan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di PML.

“Taman Mini yang direalisasikan dengan kekuatan 40 kakitangan PML ini juga satu usaha memupuk sikap saling bekerjasama dalam kalangan kakitangan PML serta menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif, selain turut menyokong agenda UMS sebagai universiti eco campus dan menyokong kepada program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) universiti.

“Taman ini menerapkan nilai 5R sebagai langkah menyokong usaha eco campus iaitu Reuse, Reduce, Recycle, Respect dan Re-decorate, dengan hiasan yang dibuat menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti botol plastik dan barang permainan kanak-kanak bagi mengurangkan timbunan sampah sarap di kawasan pembuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Mini Kreatif PML.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, Taman Mini Kreatif PML itu merupakan cetusan idea kreatif yang mampu menambah nilai output serta membawa transformasi kepada pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

“Projek ini merupakan salah satu contoh yang baik bagi menyahut seruan pengurusan UMS menggalakkan penglibatan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UMS.

“Bagi memastikan kelestarian taman ini, saya menyeru pihak PML terus memelihara dan menjaga kecantikan serta keunikan taman dengan menerapkan konsep 3M iaitu mesra pengguna, mesra pelancong dan mesra alam sebagai kayu ukur dalam menilai kejayaan transformasi PML,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Prof. Datuk Dr. Kamarudian menambah, Taman Mini Kreatif PML suatu hari nanti akan menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong-pelancong yang datang ke UMS.

Hadir sama pada majlis itu Pendaftar UMS, No’man Ahmad; Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit; dan Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) PML, Hasan Aris.

RABU, 04 JULAI - Seorang alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari negara China memilih berniaga di negeri ini untuk membantu pertumbuhan ekonomi Sabah.

Michael He Long, bekas graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) berkata, pelbagai jenis perniagaan telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat berkenaan sejak tamat pengajian pada tahun 2012.

“Saya menjalankan perniagaan solar, zink berteknologi nano, restoran, hotel dan pusat pelancongan selepas sahaja menamatkan pengajian dan masih beroperasi sehingga kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang di pejabatnya di Kolombong Inanam baru-baru ini.

Michael berkata, beliau juga bersedia untuk membantu mana-mana pihak khususnya alumni UMS yang ingin bekerjasama dan membangunkan jaringan perniagaan bersama beliau.

“Saya percaya kerjasama ini sekali gus bukan sahaja dapat membantu rakan-rakan alumni UMS yang lain tetapi dapat sama-sama merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Darwis memaklumkan lawatan berkenaan merupakan satu inisiatif Pusat Alumni UMS untuk bertemu, mempromosi dan membina jaringan bersama alumni di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, kita membantu mereka untuk berkongsi, menyebar luas dan mengembangkan perkhidmatan serta produk kepada sesama alumni UMS dan masyarakat.

“Program ini akan berterusan dengan menyasarkan untuk menjejaki lebih ramai alumni di seluruh negara bagi memastikan jaringan kepakaran antara alumni UMS dapat diwujudkan sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan universiti ini serta masyarakat Malaysia amnya dan  Sabah khususnya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Darwis turut mengalu-alukan para alumni UMS dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Michael dengan menghubungi Pusat Alumni UMS melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau talian 088-320000 sambungan 4165.

 

Sumber: Pusat Alumni UMS

SELASA, 3 JULAI – Seramai 500 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Perdana Haji 1439H/2018M Peringkat Zon Pantai Barat Negeri Sabah anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Kursus tersebut dirasmikan Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas komitmen memastikan semua program dan aktiviti para bakal haji dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya berharap penganjuran kursus-kursus haji seperti ini sebagai medan mempersiapkan bakal-bakal tetamu Allah dengan ilmu berkaitan ibadat haji dan umrah.

“Ilmu yang diperoleh daripada kursus ini amat penting agar bakal-bakal haji tidak menghadapi masalah ketika melaksanakan ibadat haji di Tanah Suci nanti,”  katanya.

Beliau turut berpesan agar bakal-bakal haji sentiasa menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubat yang mencukupi kerana ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal terutama semasa di Arafah, Muzdalifah dan semasa melaksanakan ibadat melontar di Jamrah.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar; Mufti Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Jabatan Kewangan Lembaga TH, Datuk Rozaida Omar; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

ISNIN, 2 JULAI – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pendaftar UMS, Norti Sirin menyaksikan seramai 138 ahli hadir, selain beberapa kakitangan wanita UMS turut mendaftar sebagai ahli baharu.

Terdahulu, Yang Dipertua KESUMBA, Datin Roha Asmara pada majlis tersebut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri kepada semua barisan Exco Tertinggi KESUMBA dan seluruh ahli KESUMBA yang hadir pada mesyuarat Agung kali ini.

“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa pelaksana dan semua ahli atas komitmen dan dedikasi yang tinggi sehingga mesyuarat ini dapat diadakan mengikut takwim yang telah ditetapkan.

“Harapan saya agar kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi di antara ahli KESUMBA dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab mampu memberi impak yang positif kepada ahli sekali gus meningkatkan ukhuwah sesama ahli kelab,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff dan Ketua Pejabat Canselori, Jabatan Canselori, Stella @ Nurul Martini Gontol.

 

Jurugambar: Suzeaniwaty Gasinin,

Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat

 

JUMAAT, 29 JUN - Pelajar Seni Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) muncul sebagai Koreografi Terbaik pada Pertandingan International Borneo Hornbill Festival 2018.

Quenner Mitchel Pauzi yang menampilkan 10 penari daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS dipilih selepas gubahan tarian dan muziknya berjaya memukau para juri untuk menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil.

Kejayaan itu sekali gus mengetepikan 12 peserta lain dari Sabah dan Sarawak yang turut mengambil bahagian.

Pencapaian itu juga menyaksikan UMS terus unggul mempertahankan kemenangan sebagai Koreografi Terbaik dalam pertandingan itu selama dua tahun berturut-turut.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut dihadiri Artis Budaya Kanan UMS, Norain Abd Razak dan Artis Budaya, Wan Mohd Nazif Hj Ladis.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.