JUMAAT, 6 DISEMBER – Ibu bapa dan masyarakat awam merupakan individu yang bertanggungjawab untuk melindungi mangsa jenayah seksual dan berperanan besar dalam usaha mengatasi masalah gejala sosial ini daripada berlaku ke atas mana-mana individu.
Menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari, ini kerana mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual mudah mengalami gangguan emosi dan trauma sekiranya mereka diperlakukan dengan perlakuan yang tidak sepatutnya apatah lagi perlakuan tersebut dilakukan oleh orang yang dikenali.
“Gangguan Emosi yang berlaku ke atas seseorang bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan terutamanya terhadap kanak-kanak.
“Gangguan emosi yang terlampau boleh mengundang padah dan membawa maut sekiranya tidak dibendung dengan segera,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Kesan Jenayah Sosial: Gangguan Emosi dan Trauma” bersempena dengan program Kempen Kesedaran Jenayah Seksual yang berlangsung di Institut Perguruan Keningau baru-baru ini.
Tambah Dr. Muhammad Idris, masyarakat tidak seharusnya mengamalkan sikap ‘menjaga tepi kain sendiri’ kerana menjaga keamanan dan keselamatan adalah tugas semua orang.
Dalam pada itu, program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah itu diadakan bertujuan untuk memupuk masyarakat untuk terlibat dan bekerjasama dengan PDRM Sabah dalam membanteras jenayah seksual yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Program tersebut dihadiri oleh lebih 800 orang yang terdiri daripada masyarakat yang berada di sekitar Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan.



RABU, 4 DISEMBER – Tiga orang kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri satu bengkel bertajuk “Kerangka Inklusif untuk Meningkatkan Kemasukan Pelajar OKU ke Universiti Awam (UA)” yang bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan baru-baru ini.
SELASA, 28 NOVEMBER - Walaupun sudah lebih setahun kehilangan anak tersayang, ibu kepada Allahyarhamah Nurul Affaizin Ismail, Jiaranah Yahaya tetap menguatkan semangat untuk hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21 bagi mewakili arwah anaknya menerima skrol pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS baru-baru ini.
ISNIN, 25 NOVEMBER - Sepasang suami isteri menjadikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain sebagai pemangkin semangat untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun terkadang mempunyai percanggahan pendapat.
ISNIN, 25 NOVEMBER - Seorang graduan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Jepun mencuri tumpuan kerana kemampuannya untuk fasih berbahasa Melayu dan Dusun.