JUMAAT, 03 MEI - Program Bakti Suksis bersama masyarakat yang dianjurkan oleh Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) Siri 1/2017 Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung dengan jayanya di sini, baru-baru ini.

Pengarah Program, Muhammad Rajuan Holedal berkata, program tiga hari itu dijalankan bersama masyarakat di Kampung Milau dan Bandar Kudat serta Rumah Anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud.

“Program ini antara lain bertujuan untuk memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan pelatih Suksis dengan komuniti setempat.

“Program ini juga turut dibantu oleh Sukarelawan Polis (PVR) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat serta kerjasama World Wide Fund for Nature (WWF), Perikanan dan Taman-Taman Sabah,” katanya kepada media.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (OPERASI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ACP Yusuh B. Mat Tais dalam ucapan perasmiannya berkata, sikap serta semangat kerja berpasukan, yang ditunjukkan sememangnya amat diperlukan bagi memangkin pada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah program seperti Program Bakti Suksis tersebut.

“Program seumpama ini akan memberi suntikan semangat kepada kita semua untuk memperkasakan lagi nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua.

“Pada kesempatan ini saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelatih dan para jurulatih Kor Suksis UMS serta pegawai penyelaras Kor Suksis UMS, ASP Selvester Sopitang atas komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam menjayakan program ini,” ujarnya.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, beliau menyifatkan penganjuran program itu amat bertepatan bagi meningkatkan kemahiran insaniah dan memberi pendedahan kepada pelajar universiti untuk menjalin hubungan baik dengan komuniti setempat.

“Dalam masa sama, program ini menunjukkan bahawa ciri-ciri seseorang pelajar itu bukan hanya menumpukan kepada akademik semata-mata bahkan juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum,” jelasnya.

Program tersebut melibatkan 50 pelatih Kor-Suksis UMS Siri 1/2017 dan dua pegawai bersama 10 jurulatih. Ia turut melibatkan 200 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Turut hadir memberi sokongan kepada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor, Kudat merangkap Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri Sabah, Chong Chen Bin.

Sumber: Syahmidah, Aisah

 

JUMAAT, 3 MEI - Program ‘Luncheon in the Dark’ anjuran pelajar kursus Operasi Acara Khas (BE31703) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengumpul sebahagian dana untuk diserahkan kepada Persatuan Orang Buta Sabah.

Acara amal tersebut memberi kelainan kepada tetamu dengan pengalaman menikmati makanan dalam keadaan gelap serta mata ditutup dengan kain bertujuan mewujudkan sikap lebih prihatin kepada golongan kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Menurut Dekan FPEP Profesor Madya Dr. Raman Noordin, penganjuran program tersebut bertujuan memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sosial masyarakat terhadap golongan OKU.

“Saya berharap agar program ini menyokong matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia yang menginginkan para pelajar untuk mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti luar yang bersesuaian dan mengasah kemahiran insaniah melalui penganjuran seperti ini,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Terdahulu,  Pengarah Program Syahiran Sulaiman berkata  program tersebut telah berjaya menyuntik semangat kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa dalam menjayakan program yang dirancang.

“Program ini juga dilihat dapat menjadi platform untuk siswa siswi UMS dan orang awam untuk bersama-sama berkumpul dan menjalinkan silaturahim,”katanya.

Seramai 120 peserta yang terdiri daripada kakitangan UMS, siswa siswi, syarikat-syarikat penaja serta orang awam menyertai program amal tersebut.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Persatuan Orang Buta Sabah, Datuk Rosalind Chew.

JUMAAT, 3 MEI - Pencapaian membanggakan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam semua peringkat sentiasa mendapat sokongan daripada pihak pengurusan universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk KY Mustafa berkata UMS bertanggungjawab menyediakan ruang bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan

                                                                                           

“Pencapaian pelajar dalam semua peringkat merupakan kebanggaan kepada UMS dan sentiasa dititikberatkan oleh pihak pengurusan serta sentiasa diberi sokongan tanpa jemu.

“Sesungguhnya perkara inilah yang menjadi kayu ukur kecemerlangan universiti dalam menyediakan latihan serta pemerkasaan kemahiran kepada para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA) kali ke-21 yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Ismail Ali menjelaskan bahawa MAHEPA merupakan medium bagi menghargai dan mengiktiraf para pelajar yang bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti serta kejayaan yang dicapai dalam pelbagai peringkat. 

                                                                                        

“Sesungguhnya sudah menjadi tanggungjawab HEPA untuk memastikan pembangunan para pelajar sentiasa diberi perhatian dalam segala aspek bersesuaian dengan misi dan visi universiti.

 “Selain meraikan para pelajar, MAHEPA juga dianjurkan sebagai usaha untuk menghargai pelbagai pihak termasuklah alumni UMS yang sentiasa memberi kerjasama, sokongan serta sumbangan kepada UMS,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 859 aktiviti berjaya dilaksanakan oleh para pelajar sama ada di peringkat universiti, negeri dan antarabangsa pada tahun 2018.

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 anugerah individu dan sembilan anugerah berkumpulan dipertandingkan meliputi pemimpin harapan, keusahawanan, sukarelawan, kepimpinan, inovasi, pengucapan awam, sukan dan kebudayaan.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan isteri Datin Roha Asmara; Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye serta Ahli Lembaga Pengarah UMS Datin Nurlaila Said.

 

JUMAAT, 26 APRIL -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang memperluas kerjasama antarabangsa dengan institusi di negara-negara yang berasaskan teknologi dan perindustrian termasuk Jepun.

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Dr. Ho Chong Mun berkata, kerjasama seumpama itu penting bagi menerapkan budaya kerja maju, pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar dan pensyarah sejajar dengan perkembangan pesat Revolusi Industri (IR) 4.0. 

“Sebagai contoh di Kindai University Jepun, setiap tahun kita akan menghantar pelajar untuk menjalani latihan industri ke universiti itu sebagai sebahagian daripada pengisian kerjasama yang telah terjalin.

“Di sana, mereka mengalami sendiri suasana dan budaya kerja yang lebih keterhadapan sekali gus mendokong kepada usaha universiti untuk merealisasikan graduan yang lebih bersedia dan terbukti kemampuannya untuk bekerja atau juga dikenali sebagai future-ready graduate,” katanya.

Beliau berkata demikian, di sini, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai kunjungan rasmi Konsul Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Kako Shiho kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin baru-baru ini.

Menurut Prof. Dr. Ho, UMS juga akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua lagi universiti terkemuka di Jepun pada tahun ini.

Katanya, kerjasama itu akan merangkumi program pertukaran kakitangan dan pelajar, kerjasama dalam bidang penyelidikan, penempatan latihan industri pelajar UMS di syarikat-syarikat Jepun dan pelbagai lagi kerjasama lain yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

“Berhubung dengan kerjasama ini, Konsul Jepun turut berbesar hati untuk menawarkan bantuan sekiranya terdapat sebarang keperluan dari pihak UMS.

"Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan untuk membantu mencari syarikat-syarikat dari negara Matahari Terbit itu yang berminat melabur ke negara ini khususnya di Sabah," tambah Prof. Dr. Ho.

Pada kunjungan hormat tersebut, Kako yang baru dilantik sebagai Konsul pada 21 Mac lalu hadir ditemani Timbalan Konsul, Ai Tsukamoto. 

Turut hadir menyambut kunjungan beliau Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul.

 

 

KHAMIS, 25 APRIL - Seramai 35 anak yatim Rumah Anak Yatim Tambunan (RAYT) diraikan dalam satu program yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Arena Belia Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Program yang dinamakan Ramah Mesra Anak-Anak Yatim RAYT itu merupakan anjuran Kursus Masyarakat Sivil dan Pembangunan (BC33103), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh urusetia penganjur, melalui program tersebut anak-anak RAYT telah menyertai pelbagai aktiviti bermanfaat serta dibawa ke destinasi menarik sekitar UMS.

“Program ini antara lain bertujuan untuk memberi ruang kepada golongan kurang bernasib baik bergembira dengan pengisian aktiviti yang telah dijalankan selain sebagai satu usaha untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai sifat tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat.

“Ia juga sebagai usaha untuk melestarikan intipati masyarakat yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan serta menggalakkan nilai moral dan sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan siswa-siswi,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa ia merupakan pengalaman buat pertama kali untuk kesemua 41 pelajar kursus BC33103 FPEP UMS untuk menganjurkan program sedemikian.

Program dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Kelab Sukan dan Kebajikan Audit Sabah (KESKAS), Alumni Majlis Belia Malaysia (Sabah), Majlis Belia Sabah (MBS) dan Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah.

Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie.

Hadir sama, Ketua Program Ekonomi Perancangan dan Pembangunan FPEP UMS, Dr. Nga Lay Hui @ Janice Nga.