JUMAAT, 17 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti pertama di Malaysia menubuhkan Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan UMS-UNICEF (C4D), dan merupakan universiti kedua dalam kalangan negara ASEAN selepas Dhurakij Pundit University Bangkok, Thailand. 

Penubuhan unit tersebut merupakan hasil daripada perjanjian kerjasama di antara UMS dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin bersama Timbalan Wakil UNICEF di Malaysia, Rodaslaw Rzehak di Pejabat Naib Canselor, di sini, semalam.

Datuk Dr. D Kamarudin dalam satu kenyataan hari ini berkata melalui perjanjian tersebut, UMS akan menyediakan ruang operasi dan sumber manusia yang terdiri daripada ahli akademik, manakala UNICEF menyediakan dana permulaan serta kepakaran sedia ada.

“Antara tujuan penubuhan C4D termasuklah menjalankan penyelidikan tindakan tentang isu berkaitan wanita dan kanak-kanak bagi mewujudkan kerangka tindakan yang sesuai, menyediakan khidmat perundingan dan latihan serta mewujudkan jaringan kerjasama dalam penyediaan sokongan teknikal.

“Selain itu, unit ini juga akan mempromosikan penggunaan C4D sebagai cross-cutting strategy dalam pelaksanaan projek pembangunan sosial dan menjadi rakan kongsi pilihan oleh agensi yang memerlukan khidmat C4D,” ujarnya.

Menurut Datuk Dr. D Kamarudin, UNICEF juga turut menyediakan dana permulaan bernilai lebih RM300,000 untuk tujuan latihan dan pembangunan kapasiti serta isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak.

“Kita berterima kasih kepada UNICEF kerana memilih UMS sebagai rakan strategik untuk penubuhan unit ini. Kita juga mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak industri pada masa akan datang,” tambahnya.

C4D merupakan satu penggunaan pendekatan komunikasi dalam menyokong projek pembangunan sosial termasuk pertanian, pendidikan, kesihatan dan pembasmian kemiskinan.

KHAMIS, 16 MEI - Seramai 77 pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Skim Bantuan Pascasiswazah (SBP) Semester 2 Sesi 2018/2019 dalam satu majlis penyerahan surat tawaran skim berkenaan yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar), Pusat Pengajian Pascasiswazah (PPPS), Dr. Azaze @ Azizi Abdul Adis, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, empat daripadanya merupakan pelajar antarabangsa yang menerima Skim Yuran Pelajar Antarabangsa (SYPA).

Pada majlis tersebut, Dekan PPPS, Profesor Dr. Arsiah Bahron mengingatkan kepada para penerima untuk memanfaatkan skim bantuan berkenaan sebaik mungkin dan menggunakannya untuk mencapai Graduate on Time (GoT).  

“Semoga dengan adanya skim ini, dapatlah meringankan beban kewangan para pelajar dan semoga mereka yang menerima skim ini akan terus cemerlang dalam pengajian.

“Saya juga menyarankan agar semua penerima mengikuti pertandingan 3 Minute Thesis yang diadakan setiap tahun,” ujarnya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Dr. Azaze.

Sementara itu, Dr. Azaze mengingatkan kepada semua penerima untuk mengikuti program Kolokium SBP yang akan diadakan pada bulan Julai 2019.

“Dalam kolokium tersebut, para penerima SBP akan membentangkan secara ringkas mengenai penyelidikan dan kemajuan pengajian masing-masing,”ujarnya.

Untuk rekod, seramai 127 penerima SBP telah tamat pengajian antara tahun 2015 sehingga 2017, iaitu 15 orang daripadanya telah GoT  dan selebihnya telah menghabiskan pengajian dengan jayanya.

 

 

 

RABU, 15 MEI – Seramai 50 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan Ramadan berjumlah RM200 sebagai bantuan untuk mereka melengkapkan keperluan seharian khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin menyampaikan sumbangan kepada 10 pelajar lelaki, manakala  isteri, Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M Jasni menyampaikan sumbangan kepada 10 pelajar wanita dalam satu Majlis Iftar@UMS 2019 bersama Tuan Yang Terutama Tun Canselor di Masjid UMS, semalam.

Terdahulu, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar turut menyampaikan replika cek sebagai tanda sumbangan Ramadan untuk diagihkan kepada asnaf pelajar dan kakitangan UMS berjumlah RM20,000 daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), yang diserahkan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Turut sama menyaksikan penyampaian sumbangan tersebut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa; Pengerusi MUIS, Datuk Hasbullah Mohd Taha; dan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Azhar Datuk Matussin.

Selepas berbuka puasa bersama para tetamu, kakitangan dan pelajar UMS, Tun Haji Juhar turut berkesempatan bersama-sama para jemaah menunaikan Solat Maghrib, Solat Isyak dan Solat Terawih.

RABU, 15 MEI - Pelajar Tahun 2 Program Sains Sukan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program pameran Poster dan Inovasi (Sees) kali ke-7 di fakulti itu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPP, pameran itu yang bertemakan “Creativity and Innovation Leads to Higher Level of Thinking” antara lain bertujuan memberi peluang kepada para pelajar yang mengambil program Sains Sukan membentangkan hasil kerja kursus yang berbentuk penyelidikan dan inovasi.

“Pameran ini telah menarik 121 penyertaan yang terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori Analisis Kemahiran (Kinematik) seramai 34 pelajar, kategori Analisis Pertandingan 34 pelajar, Identifikasi dan Perkembangan Bakat seramai 74 pelajar.

“Penyertaan itu juga menyaksikan lima peserta jemputan daripada pelajar sarjana dan lapan pelajar tahun akhir yang berada di bawah penyeliaan pensyarah Sains Sukan FPP UMS, Dr. Pathmanathan Suppiah K. Suppiah,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, program tersebut juga sekali gus menerapkan tatacara penyelidikan dan penyelesaian masalah berasaskan pemikiran saintifik yang diharap dapat membuka minda pelajar dalam menghasilkan kreativiti dan kesenian serta menerapkan pemikiran kritis.

Dalam masa sama, ia juga diharap dapat menjadi medium terbaik dalam mewujudkan siswa-siswi kelas pertama dengan cetusan idea-idea bernas yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri sukan di Malaysia.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP, Dr. Denis Andrew D. Lajium.

Hadir sama, Dr. Pathmanathan selaku Penasihat Program Pameran Poster Sees kali ke-7.

 

SELASA, 14 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan projek Kebun Penyelidikan Durian melalui kerjasama universiti-industri dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, melalui kerjasama tersebut UMS akan membina pasukan penyelidikan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan durian.

“Durian ialah pokok saka dan boleh tumbuh menjadi pohon yang besar seperti kayu balak komersial yang lain dan berupaya mencapai usia sehingga berpuluh-puluh tahun.

“Oleh itu, projek Kebun Penyelidikan Durian di UMS adalah projek jangka panjang yang merangkumi kajian terhadap penghasilan buah durian, bibit durian, di samping memfokuskan terhadap ilmu pengetahuan baharu berkaitan penghasilan bahan tanaman, teknik aruhan dan proses semula jadi dalam pendebungaan, termasuklah kajian berkaitan peranan haiwan dan serangga dalam menambah baik kualiti pokok dan hasil durian,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd di Bangunan Canselori UMS, hari ini.

Selain projek Kebun Penyelidikan Durian, MoA itu juga merangkumi kerjasama dalam Pengeluaran Burung Walit di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Kampus Sandakan.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sebagai institusi pendidikan tinggi yang meletakkan pemuliharaan biodiversiti sebagai salah satu penekanannya, UMS  berhasrat untuk memainkan peranan di dalam mengumpulkan varieti dan spesies durian untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan ekonomi.

“Di sinilah bermulanya idea untuk merealisasikan kerjasama universiti-industri di antara UMS dan Syarikat Yun Fook Resources untuk projek Kebun Penyelidikan Durian ini,” jelasnya.

Berkaitan dengan kerjasama pengeluaran Burung Walit, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin memaklumkan bahawa permintaan yang tinggi untuk sarang burung itu khususnya dari negara China menyebabkan penduduk Sabah mula beralih kepada industri tersebut, yang mana harga pasarannya adalah antara RM1,200 hingga RM4,300 sekilogram.

“Kita sangat berterima kasih kepada Syarikat Yun Fook Resources, kerana melalui kerjasama ini  dua buah rumah burung walit telah dibina di FPL, iaitu sebuah rumah kos rendah RM20,000, dan sebuah lagi gudang walit tiga tingkat dengan kos binaan RM250,000.

“Kerjasama seperti ini memberikan faedah besar kepada pelajar kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mempelajari industri yang sedang pesat berkembang, sekali gus boleh menceburi bidang ternakan ini sebagai sumber pendapatan tambahan apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya.

Pada upacara menandatangani MoA itu, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin mewakil UMS, manakala Syarikat Yun Fook Resources diwakili Pengarahnya Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook.

Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof. Madya Dr.  Monica Suleiman; Dekan FPL Prof. Madya Dr. Saafie Salleh; Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.