SELASA, 16 MEI - Penerbit UMS terus mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara (ABN) 2017 bagi Anugerah Pengajian Tinggi dalam kategori Buku Sains Sosial Terbaik baru-baru ini.

Anugerah itu dimenangi melalui  buku berjudul, “Pluralisme : Etnisiti Sabah dan Sarawak” yang disunting oleh Prof. Madya Mat Zin Mat Kib, Dr. Christina Andin dan Prof. Madya Dr. Ismail Ali dari Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan (FKSW) UMS.

Buku yang dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim sempena persaraan wajib beliau pada 5 April 2016 telah diumumkan sebagai pemenang dalam Majlis Anugerah Buku yang diadakan di Pasific Ballroom, Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Anugerah Buku Negara dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran Anugerah Buku Negara ini terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Majlis Anugerah Buku itu juga turut diadakan bersempena Pesta Buku Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara.

 

Sumber: Anicius Justin Adeh, Penerbit UMS

Foto: Roslida Ramlee   

 

 

SELASA, 16 MEI - Graduan perlu mengambil peluang meningkatkan kemahiran insaniah semasa menuntut di universiti sebagai nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan kelak, kata Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings, Tan Sri (Dr) Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Beliau berkata, para graduan perlu aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti pengucapan awam dan program-program kepimpinan kerana ia bakal memberi kelebihan khususnya ketika graduan dalam fasa pencarian kerja.

“Banyak graduan yang gagal dalam temu duga kerana tidak mempamerkan keyakinan walaupun mereka agak baik sewaktu di universiti.

“Mereka tidak menguasai teknik komunikasi berkesan dan tidak mampu menyampaikan idea-idea semasa proses temu duga yang akhirnya menyebabkan mereka tidak ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan yang dipohon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Kinabalu, Perubahan Pola Pasaran Kerja Dalam Persekitaran Perniagaan yang Kompetitif anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), UMS.

Tan Sri Mohd Nadzmi berkata, dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, para graduan seharusnya perlu mencari kelebihan masing-masing yang tidak ada pada orang lain.

“Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun universiti awam dan swasta termasuk kolej-kolej cawangan universiti luar negara di Malaysia akan melahirkan graduan-graduan yang menyebabkan persaingan sengit dalam mengisi pasaran kerja.

“Justeru, para graduan perlu mencari kekuatan diri masing-masing untuk kekal dalam pentas persaingan, dan tidak dinafikan kelebihan pastinya juga akan memihak bagi mereka yang mempunyai dua jenis ijazah sarjana muda dalam bidang yang berbeza,” tambahnya lagi.

Beliau turut berpesan agar graduan tidak tertumpu kepada pekerjaan di dalam negara sahaja, tetapi perlu melihat peluang yang lebih besar dalam pasaran kerja di peringkat antarabangsa.

“Misalnya, di negara seperti Dubai, Arab Saudi dan Qatar, terdapat pekerja-pekerja di sana berasal dari Filipina, Mesir dan beberapa negara Asia yang lain termasuk Malaysia.

“Kita harus berfikiran seperti itu, tidak hanya melihat kepada pasaran kerja tempatan tetapi melihat lebih jauh ke luar,” ujar Tan Sri Nadzmi.

Dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan (UPEP), serta Program Hubungan Industri, syarahan itu dihadiri hampir 500 pelajar dan kakitangan UMS.

Hadir sama, Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim dan Ketua UPEP, Prof. Madya Dr. Rosazman Hussin.

ISNIN, 15 MEI - Seramai 120 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Belia dan Komuniti V.2 ke Pantai Barat Sabah yang dianjurkan Kelab Sukarelawan (KESUWA) UMS baru-baru ini.

Program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) UMS, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Maybank dan Kolej Komuniti Beaufort.

Pengarah Belia UMS dan Komuniti V.2, Nurhidaya Syamsuddin berkata, kampung yang terlibat ialah Kampung Bamban, Kampung Baru Jumpa dan Kampung Mamaitom untuk daerah Tenom,  Kampung Kabulu untuk daerah Beaufort dan Kampung Sinapukan untuk daerah Kuala Penyu. 

“Projek sukarelawan yang dilaksanakan di lima buah kampung ini melibatkan tiga buah kluster iaitu kluster komuniti, kluster pendidikan dan kluster kesihatan.

“Objektif pelaksanaan program ini ialah untuk menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan, meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin sukarelawan UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama katanya,  program itu juga dilaksanakan untuk mendekatkan mahasiswa kepada komuniti di samping membantu membaik pulih infrastruktur yang ada serta memberi pendidikan kepada kanak-kanak kampung tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang di Kampung Bamban, Tenom.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Penyelaras KESUWA UMS, Mohd Alwi Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bamban, Aripin Kulipo.

 

 

JUMAAT, 12 MEI - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Eksplorasi Keretapi dari Tanjung Aru, Kota Kinabalu ke daerah Beaufort baru-baru ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, program yang dianjurkan kali ketiga tersebut diselaras Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan penyertaan seramai 41 peserta.

Kesemua peserta yang terdiri daripada pelajar UMS itu juga diiringi oleh lima kakitangan HEP yang turut bersama-sama menaiki keretapi beramai-ramai menuju ke Beaufort.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, dan turut disaksikan Ketua Jabatan HEP, Ahmadi Nurdin.

Majlis itu antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim dan ikatan kemesraan sesama mahasiswa UMS.

 

Sumber  : Resty Cindy Ony Madis

Jurufoto : Rohaizam Lamdin

 

JUMAAT, 12 MEI – Siswa-siswi di universiti perlu memanfaatkan ruang dan peluang di institusi pendidikan tinggi untuk memartabatkan ilmu pengajian agar mampu menjadi modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Sri Zainal Rahim Seman berkata, universiti sudah menjadi salah satu tatacara dalam kehidupan siswa-siswi, justeru tempoh ketika berada di universiti harus dijadikan tempat untuk membina keperibadian unggul pelajar.

“Keperibadian yang unggul mencetuskan salasilah yang hebat serta mencorak potensi diri para pelajar, sekali gus menjadi modal insan terbaik yang akan menabur bakti kepada masyarakat, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada lebih 300 pelajar sempena program Sesi Interaksi Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pagi tadi.

Memetik kenyataan Thomas Friedman dalam buku The World Is Flat: A Brief History of The Twenty-First Century, beliau berkata pendidikan sebenarnya memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21.

“Negara Malaysia sendiri bersandarkan kepada kualiti pendidikan universiti dan tenaga manusia yang dihasilkan berupaya menjana tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bidang, dan ini bersesuaian dengan cabaran pada masa hadapan” ujar beliau.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Zainal turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 13 pelajar tajaan JPA yang cemerlang dengan memperoleh CGPA melebihi 3.90.

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.  

Foto: Suzeanywati Gasinin