JUMAAT, 3 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi pendaftaran jurutera siswazah secara pukal bersama Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bertempat di Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu, kelmarin.
Matlamat MoU tersebut adalah bagi memudahcara pendaftaran graduan program kejuruteraan daripada universiti tempatan dengan LJM sebagai Orang Berdaftar melalui sistem atas talian.
Melalui perjanjian itu, permohonan graduan kejuruteraan yang telah diluluskan Senat boleh didaftarkan secara berkelompok untuk diproses dengan lebih pantas dan berkesan tanpa perlu menunggu tarikh konvokesyen.
Hasil daripada perjanjian tersebut, UMS menerima sumbangan sebanyak RM 10,000 bagi tempoh lima tahun untuk dijadikan sebagai anugerah kepada graduan kejuruteraan yang cemerlang pada hari majlis konvokesyen.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju malah secara langsung dapat memastikan para graduan universiti mematuhi Akta Pendaftaran Jurutera 1967 yang mewajibkan semua graduan berdaftar dengan LJM.
Pematuhan akta tersebut membolehkan graduan bekerja sebagai jurutera dan seterusnya memberi perkhidmatan kejuruteraan kepada mana-mana orang perseorangan, agensi kerajaan, syarikat mahupun organisasi.
Sebagai rekod, terdapat 16 buah universiti telah menandatangani MoU pendaftaran jurutera siswazah secara pukal selain UMS, iaitu :
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
- Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
- Universiti Malaya (UM)
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Universiti Teknologi Mara (UiTM)
- Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM)
- Universiti Teknologi Petronas (UTP)
- Universiti Multimedia (MMU)
- Taylor’s University
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
- Curtin University
- Malaysia University College of Technology Sarawak (UCTS)
- Swinburne University of Technology, Sarawak Campus
- Asia Pacific University of Technology (APU)
- Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
- Universiti Islam Antarabangsa (IIUM)
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah mewakili Ketua Menteri, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin.



KHAMIS, 2 NOVEMBER – 16 pelajar menerima pelantikan sebagai Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) bagi sesi 2017/2018 dalam satu majlis pelantikan dan Majlis Bersama Warga KKTM baru-baru ini.
RABU, 1 NOVEMBER – 130 kakitangan dari pelbagai jabatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program ‘Pink Ribbon Walk 2017 kelmarin.
RABU, 1 NOVEMBER – Program Minggu Mesra Pelanggan (MMP) 2017 yang berlangsung di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi jambatan kepada perhubungan universiti dengan pelanggan terdiri daripada pelajar, orang awam, pembekal-pembekal dan juga agensi luar.
SELASA, 31 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melaksanakan sistem pengurusan pentadbiran komprehensif bersepadu dan efisien yang merangkumi semua komponen pengurusan pentadbiran bermula tahun depan.