KOTA KINABALU, 18 November – Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-19 akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin (20 November).
Majlis kali ini akan melibatkan penganugerahan ijazah kepada 5,313 graduan iaitu 59 ijazah Doktor Falsafah, 578 ijazah Sarjana, 4,632 ijazah Sarjana Muda dan 46 Diploma.
Daripada jumlah 5,313, seramai 128 daripadanya adalah graduan antarabangsa dari 16 buah negara, manakala selebihnya iaitu 5,185 ialah graduan tempatan termasuk 2,760 (51.9 %) graduan dari Sabah.
Bertempat di Dewan Canselor UMS, sidang pertama menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin menyampaikan ijazah kepada 732 graduan.
Beliau yang juga Canselor UMS turut menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi Perancangan dan Pembangunan kepada tokoh dan negarawan yang disegani, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghani Gilong.
Sidang kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menyaksikan seramai 715 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.
Majlis konvokesyen akan bersambung esok dengan melibatkan seramai 933 graduan pada sidang ketiga (pagi) dan 943 lagi pada sidang keempat (petang) menerima skrol ijazah daripada Datuk Naib Canselor.
Kemuncak majlis konvokesyen berlangsung pada hari Isnin dengan penganugerahan ijazah kepada 849 graduan pada sidang kelima, manakala seramai 1141 penerima pada sidang keenam.
Penyampaian ijazah pada kedua-dua sidang itu juga akan disempurnakan Datuk Dr. D Kamarudin.
Untuk rekod, UMS kini mempunyai 10 fakulti dan majlis konvokesyen pertama telah diadakan pada tahun 1999.



JUMAAT, 17 NOVEMBER – Seramai 70 orang pelajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sesi 2017 diraikan dalam satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar KAFA Masjid UMS 2017 anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS)
KHAMIS, 16 NOVEMBER - American Corner Sabah yang diwujudkan hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Seksyen Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat dilancar dalam satu majlis di Perpustakaan UMS, pagi tadi.
KHAMIS, 16 NOVEMBER – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnson Tee merasmikan Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-19 yang berlangsung pada Sabtu hingga Isnin depan.
KHAMIS, 16 NOVEMBER – Seramai 57 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliah pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam satu majlis di UMS Peak kelmarin.