JUMAAT, 29 APRIL - Universiti Malaysia Sabah melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) menganjurkan bengkel yang memfokuskan bidang ekonomi dan aktiviti perniagaan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), baru-baru ini.

Bengkel yang dijalankan selama dua hari itu turut melibatkan Insititut Maritim Malaysia (MIMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketika merasmikan bengkel tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan terus menarik bidang pelaburan ke Pembangunan Koridor Sabah (SDC) meskipun berdepan situasi ekonomi yang semakin mencabar.

“Lebih banyak usaha akan diberi tumpuan khususnya ke arah meningkatkan kecekapan sektor logistik dengan meningkatkan infrastruktur yang berkaitan dengan integrasi darat serta perkhidmatan air dan udara,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ginun Yangus.

Beliau turut menambah, perbincangan serta penyelidikan berkenaan sektor ekonomi di kawasan ESSZONE perlu diteruskan agar perancangan rapi mengenai pembangunan di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan.

Pada bengkel tersebut, beberapa kertas kerja turut dibentangkan oleh pihak terlibat termasuk FPEP dan SEDIA. -ZMD

JUMAAT, 29 APRIL – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar mengadakan satu majlis penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Titingan, Tawau baru-baru ini.

Pada masa yang sama, pihak UMS turut menyerahkan bantuan kanta penglihatan kepada pelajar kurang upaya yang mempunyai masalah penglihatan.

Penyerahan bantuan disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali di Bangunan Canselori, UMS.

Pada majlis itu,  Teoh Jia Long telah menerima alat bantuan penglihatan, manakala Muhd Faizal Alimudin dan Fatimah Binti Asmuni, mangsa kebakaran yang berlaku di Tawau baru-baru ini diberikan bantuan dari segi kewangan bagi meringankan beban kepada keluarga mangsa. 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 28 APRIL – ‘Bermula daripada idea yang ringkas’, Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali dengan pelbagai hasil inovasi siswa-siswi UMS pada 3 - 6 Mei ini.

Menurut kenyataan APK, ekspo tahunan itu yang dianjurkan di Padang Kawad UMS bertujuan menggalakkan siswa-siswi UMS mencipta idea yang kreatif dan baharu melalui inspirasi persekitaran seterusnya menghasilkan inovasi terhadap pembangunan kehidupan seharian.

Ekspo itu juga sebagai satu aktiviti khas dalam Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang menyampaikan ilmu keusahawanan kepada mahasiswa sejajar dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu ke arah melahirkan graduan holistik yang bercirikan keusahawanan dan seimbang.

Kenyataan itu turut memaklumkan, ekspo selama empat hari tersebut akan menyaksikan lebih 140 gerai yang menjual barangan hasil aspirasi dan inovasi siswa-siswi UMS, termasuk makanan, minuman, permainan, pakaian serta perkhidmatan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada para pengunjung, antaranya cabaran permainan dengan hadiah lumayan serta cabutan bertuah untuk mereka yang membuat pembelian lebih RM15.00.

Menurut kenyataan itu lagi, ekspo pada tahun ini akan bergabung dengan dua pesta besar universiti, iaitu Karnival Kaamatan sempena Pesta Menuai dan Pesta Tiong Hwa, sekali gus menjanjikan kemeriahan serta menyemarakkan lagi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui persembahan dan pameran budaya yang diadakan serentak.

Justeru, pihak penganjur APK UMS mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan lagi aktiviti serta menikmati kekayaan kebudayaan yang terdapat di Malaysia khususnya negeri Sabah.

Sumber: Jawatankuasa Ekspo APK

RABU, 27 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS)  terus memberi pendedahan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan kepada para pelajarnya.

UMS melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perkaunan (FPEP) hari ini sekali lagi mengambil pendekatan itu dengan mengadakan program jualan amal ‘Car Boot Sale’ di tapak letak kereta FPEP.

Penyelaras program, Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim berkata, program tersebut menjadi platform bagi melatih dan memperkasa kemahiran insaniah para pelajar khususnya dalam urusan jual beli.

“Dalam masa yang sama, para pelajar juga terdedah dengan teknik komunikasi berkesan melalui hubungan dua hala bersama pelanggan yang datang ke gerai masing-masing,”  katanya ketika ditemui media pada program itu.

Beliau berkata, program pada kali ini juga turut melibatkan beberapa peniaga luar selain membuka peluang kepada kakitangan UMS untuk sama-sama mengadakan jualan.

“Kita sangat gembira kerana mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah daripada kalangan peniaga luar dan kakitangan UMS sendiri.

“Saya berharap penglibatan seumpama ini akan terus berpanjangan dalam acara serupa pada masa akan datang,” ujar Dr. Rahimie yang juga Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar), Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Sebahagian daripada sewaan lot turut disumbangkan kepada Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITSA).

Sementara itu, Presiden PITSA, Norhanida Annol menyambut baik dan berterima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan FPEP UMS.

Katanya, penganjuran program seumpama itu amat bertepatan dalam mendidik mahasiswa untuk mendekatkan diri dengan komuniti sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara UMS dengan masyarakat.

“Ini juga merupakan satu pendedahan yang wajar untuk para pelajar bagi mengalami sendiri perhubungan dengan komuniti untuk bekalan bermanfaat di alam kerjaya selepas tamat pengajian kelak.

“Kita juga berterima kasih kerana pihak FPEP kerana menyediakan lot untuk PISTA mengadakan jualan pada program ini,” katanya. -SS

SELASA, 26 APRIL - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian menganjurkan Pertandingan Persembahan Seni UMS INTER COLLEGE (PPSUMS) bagi Kategori Tarian 1Malaysia di Anjung Siswa, baru-baru ini.

Pertandingan Tarian 1Malaysia itu disertai lima Kolej Kediaman iaitu Kolej Kediaman Excellent, Kolej Kediaman Tun Fuad, Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Kolej Kediaman Sri Angkasa dan Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Selain itu, turut dianjurkan Pertandingan Nyanyian Nasyid di UMSKAL yang sertai dua buah kumpulan dari UMSKAL, satu kumpulan masing-masing dari Kolej Kediaman Excellent, Tun Fuad, Tun Mustapha dan USIA 1Borneo.

Keputusan bagi kedua-dua pertandingan menyaksikan Kolej Kediaman Tun Mustapha muncul juara bagi kedua-dua acara.

Tempat kedua bagi pertandingan tarian Tarian 1Malaysia disandang Kolej Kediaman Excellent, manakala Kolej Kediaman Tun Fuad di tempat ketiga.

Bagi pertandingan Nyanyian Nasyid, Kolej Kediaman Tun Fuad memenangi tempat kedua dan UMSKAL di tempat ketiga.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Ismail Ali berkata, objektif pertandingan itu adalah untuk meningkatkan inovasi dan menghasilkan produktiviti yang berkualiti melalui karya mahasiswa UMS.

“Program ini akan menjadi salah satu acara tahunan sebagai usaha mencungkil bakat dalam kalangan siswa-siswi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang turut memberitahu bahawa program tersebut akan bersambung pada Mei untuk pertandingan nyanyian lagu asli dan teater yang masing-masing akan diadakan di UMS kampus cawangan Sandakan dan Dewan Resital kampus induk.

Hadir sama memeriahkan acara, Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat.

Sumber : Norhana Nordin