SELASA, 26 APRIL – Pelbagai bidang kerjasama akan terus diperkasakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Republik Demokratik Timor-Leste.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, antara yang dikenalpasti termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, sains marin, eko pelancongan, kesihatan luar bandar dan perubatan serta penguasaan bahasa.

Terdahulu katanya, jalinan kerjasama dalam industri minyak dan gas bersama Timor-Leste pada 2014 telah pun membuahkan hasil terutamanya dalam bidang latihan dan pembinaan kapasiti dalam bidang minyak dan gas.

Seramai 15 pelajar siswazah kumpulan pertama Timor- Leste telah dihantar mengikuti Diploma Kejuruteraan Proses (Minyak dan Operasi Gas), manakala selebihnya melanjutkan pengajian dalam program Diploma Kejuruteraan Instrumentasi (Minyak dan Gas).

“Yang pasti, kedua-dua program ini telah disediakan khas oleh pakar-pakar di Fakulti Kejuruteraan untuk memenuhi keperluan khusus negara Timor-Leste,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada majlis Syarahan Umum Timbalan Menteri Pendidikan II Timor-Leste, Abel Da Costa Freitas Ximenes di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor semalam.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Datuk Harun berkata, kerjasama itu tidak terhenti begitu sahaja dan pihaknya menjangkakan ketibaan kumpulan kedua dari Timor-Leste iaitu seramai 20 pelajar untuk menyertai program diploma berkaitan.

Dalam pada itu, Abel telah menyampaikan ceramah syarahan umum bertajuk ‘Visi, peranan dan cabaran kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste sebagai Negara Bangsa’ sempena lawatan kerja rasminya bersama dengan 12 delegasi Kementerian Pendidikan negara itu. -SS

ISNIN, 25 APRIL – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini telah bersama-sama menjayakan  program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ secara serentak di Perpustakaan UMS dan beberapa mini perpustakaan di fakulti universiti termasuk di Pusat Minda Lestari (PML) UMS dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Program yang berlangsung bermula tepat jam 11.00 pagi tadi disertai oleh warga kakitangan dan pelajar UMS, serta 26 orang kanak-kanak dari PML.

Terdahulu, Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit dalam ucapannya sempena majlis pelancaran program tersebut berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk mendorong warga UMS khususnya untuk mengamalkan budaya membaca, yang dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan.

“Selain itu, bacaan selama 10 minit ini juga adalah bagi menyampaikan saranan bahawa setiap dari kita perlu meluangkan masa untuk menimba ilmu pengetahuan menerusi aktiviti membaca sebagai amalan harian.

“Tiada jalan pintas untuk kita menempah kejayaan dalam apa-apa jua bidang, melainkan dengan menyemai tabiat suka membaca dan keberanian meneroka pelbagai cabaran dalam dunia ilmu yang penuh onak dan duri sebelum kita dapat mengecapi kemanisan kejayaan,” ujarnya.

Pelancaran program tersebut kemudiannya disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin yang mewakili Naib Canselor UMS. -MA-

Foto: Ramdan Saleh Nain

ISNIN, 25 APRIL - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha melalui Exco Akademik dan Kepimpinan telah menganjurkan program, Kem Debat 3.0 bertempat di Dewan Serbaguna dan Bilik Mini Karisma Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Seramai 40 orang pelajar terlibat yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu dan juga jemputan dari sekolah dari Bahagian Lahad Datu iaitu SM Sains Sabah, SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Agama Tun Ahmadshah, SMK Agama Tun Said Kota Belud, MRSM Kota Kinabalu dan SM Sains Lahad Datu.

Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini antara lain sebagai platform buat para pembahas untuk mengasah bakat pengucapan awam terutamanya dalam perbahasan untuk digunakan semasa mereka menyertai pertandingan kelak.

Antara pengisian program Kem Debat ini ialah sesi ceramah, strategi pasukan, peranan pendebat, tayangan video, dan sesi bimbingan bersama fasilitator masing-masing.

Turut diadakan satu pertandingan Liga Debat antara kumpulan yang telah dibahagikan sebagai satu kaedah menilai kemampuan pembahas dalam menggunakan kemahiran berdebat yang dipelajari.

Menurut Exco Akademik JAKMAS, Harun Pasi, program ini adalah medium terbaik untuk pembahas sekolah menimba ilmu dan pengalaman dalam memantapkan lagi pasukan bahas sekolah masing-masing, dan telah dijadikan satu program tahunan dalam melahirkan kumpulan pembahas yang berwibawa.

Sementara itu,  Pengetua Kolej Tun Mustapha, Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ianya banyak memberi manfaat baik kepada pelajar sekolah mahupun kepada pelajar UMS sendiri.

“Melalui program sebegini pelajar-pelajar mampu mengasah kemahiran dalam pengucapan awam dan seni orator dan mampu membantu meningkatkan kepimpinan mereka ketika di sekolah nanti,” katanya.

Pada pertandingan akhir Liga Debat , Kumpulan “Mat Motor” telah dinobat sebagai juara, dan pelajar dari  SM Sains Sabah, Mohd Fareez H. Askali dari SM Sains Sabah  telah dipilih sebagai Pendebat Terbaik.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

JUMAAT, 22 APRIL – Sukan mampu menjadi satu platform dalam memupuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, ikon sukan di setiap negara, khususnya Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam wajar dicontohi atas kejayaan yang mereka kecapi melalui jati diri yang kuat dan tebal hasil daripada pembabitan mereka dalam bidang sukan.

“Sukan menjadi satu budaya yang dikongsi bersama masyarakat seluruh dunia merentasi seluruh sempadan dan wilayah.

“Justeru, amat penting untuk kita berusaha memartabatkan bidang sukan ke peringkat antarabangsa dan melahirkan jaguh sukan seperti Lee Chong Wei yang berjati diri dan bermotivasi tinggi, yang mampu mencetus semangat perpaduan rakyat hasil kejayaan yang dikecapi,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Persahabatan Staf Institut Pengajian Tinggi Borneo 2016 di Stadium Universiti Malaysia Sabah.

Tambah beliau, melalui temasya sukan juga pelbagai kaum yang berbeza latar belakang akan dipertemukan dan bergaul semasa atlet dalam kalangan kontinjen sekali gus membuka peluang untuk mereka memahami budaya dan cara hidup masing-masing.

“Kita sarankan agar semua ahli sukan bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama,” ujarnya.

Sebanyak 15 kontinjen institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Kalimantan Indonesia dan Brunei Darussalam menyertai kejohanan yang menawarkan 13 acara untuk dipertandingkan. -MA-

Foto: Johaidi Ismail

JUMAAT, 22 APRIL - Exco Kebudayaan dan Kesenian, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah telah menjayakan program kesedaran kesihatan ‘Budaya Sihat Tinggi Nilainya’ baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS dan Hospital Queen Elizabeth itu disertai seramai 150 orang pelajar UMS, selain turut diserikan dengan kehadiran pelakon tanah air, Nazrief Nazri selaku artis jemputan pada hari tersebut.

Menurut pengarah program, Muhammad Hamka Hashim, program ini merupakan satu kesinambungan terhadap program sebelum ini, iaitu program ‘Kesihatan Tinggi Nilainya (KANTA).

“Program pada kali ini turut memuatkan beberapa aktiviti lain seperti persembahan kumpulan buskers dan juga pertandingan karaoke secara percuma kepada seluruh pengunjung yang hadir sebagai satu kaedah menarik lebih ramai penyertaan kepada masyarakat awam, sekali gus mampu mencapai objektif program dalam memberikan kesedaran terhadap nilai budaya hidup sihat,” katanya.

Antara aktviti menarik yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah aktiviti “Zumba For Health” pemeriksaan kesihatan secara percuma, aktiviti derma darah, cabutan bertuah, dan sesi cermah kesihatan oleh wakil pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS