RABU, 20 APRIL – Bahagian Perkhidmatan Akademik (BPA) yang mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) memenangi dua anugerah emas dalam ‘Lean Management’ di Konvensyen Mini dan Team Excellence Sabah 2016, dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini.

Projek tersebut adalah ‘Mengurangkan Kos dan Masa Pengendalian Borang OMR’ dan ‘Proses tempahan Dewan Kuliah Pusat UMS Secara Online (Tempahan Dalaman)’.

“Kami sangat teruja apabila diumumkan pemenang bagi anugerah emas, ini membuktikan bahawa usaha kami dalam meningkat meningkatkan kualiti perkhidmatan diiktiraf,” kata Norti Sirin, Ketua BPA yang juga sempat memberitahu pemberita bahawa ini adalah percubaan pertama mereka.

“Ini memberi suntikan semangat kepada BPA untuk terus berusaha meningkatkan perkhidmatan kami dan mengekalkan penambahbaikan secara berterusan sebagai budaya dalam pekerjaan,” katanya lagi.

Projek ini masing-masing dihasilkan oleh Unit Pentadbiran dan Kewangan, dan Seksyen Pendaftaran, Penjadualan dan Peperiksaan.

Konvensyen Mini dan Team Excellence 2016 yang diadakan di Kota Kinabalu ini disertai sembilan lagi agensi kerajaan. – FL

Gambar: BPA

RABU, 20 APRIL - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Pertanian oleh Kindai University, Jepun kelmarin.

Penganugerahan ijazah tersebut disampaikan oleh presiden Kindai University, Profesor Hitoshi Shiozaki dalam satu majlis di universiti tersebut.

“Pengiktirafan ini saya tujukan khas kepada semua warga UMS yang sentiasa menyokong saya dalam usaha memajukan universiti ini ke peringkat global.

“Saya percaya UMS mampu pergi lebih jauh, yakni dengan kerja keras dan komitmen tinggi warganya termasuk para pelajar UMS yang sentiasa bersungguh sungguh untuk membina imej universiti ini ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis penganugerahan tersebut.  

Dalam pada itu, Datuk Harun ketika menyampaikan ucapan balas sempena majlis penganugerahan itu berkata, perjanjian kerjasama bersama Kindai University amat bermakna buat UMS, yang terbukti banyak menghasilkan output yang bermanfaat kepada kedua-dua universiti khususnya dalam bidang akuakultur.

Terbaru, penubuhan pusat R&D dalam bidang akuakultur oleh UMS dan Kindai University dilihat agak unik dan membuktikan keberhasilan kerjasama lebih satu dekad antara kedua-dua universiti.

“Bidang akuakultur yang menjadi tumpuan dan kepentingan dalam kerjasama ini mempunyai masa depan yang cerah kerana kajian dalam bidang ini sentiasa memberi sumbangan terhadap aspek keselamatan makanan global.

“Kelestarian dalam akuakultur sememangnya menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan daya pemikiran inovatif dan pengetahuan global dalam memacu pertumbuhan generasi akuakultur baru.

“Dalam konteks ini, saya percaya kerjasama antara dua universiti ini adalah satu pelaburan yang sangat berharga dan memberikan pulangan yang maksimum,” ujarnya.

SELASA, 19 APRIlL – Seramai 15 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya (SMKMJ), Kuching baru-baru ini.

Jelajah mereka ke Bumi Kenyalang itu turut disertai lima mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berkampung selama hampir seminggu bersama 40 pelajar sekolah berkenaan.

Antara yang disediakan ialah aktiviti berkumpulan, memperkenalkan UMS dan UNIMAS sekaligus membantu pelajar dalam menyerlahkan potensi setiap individu dengan meraih kepelbagaian dan kelainan masing-masing.

Majlis penutupan telah disempurnakan Penolong Kanan HEP SMKMJ, Ustaz Ahmad Hazmullah Mohd Azmi.

Jelajah tersebut juga telah berkunjung ke Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak, diketuai Penyelaras Sekretariat Rakan Muda UMS, Norhana Nordin.

Kunjungan tersebut disambut mesra Pengarah KBS Negeri Sarawak, Haji Abdul Haris Ishak sebelum diberi penerangan berkenaan program Pembangunan Rakan Muda dan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan pihak kementerian.

Turut hadir, Penolong Pengarah Pembangunan Rakan Muda KBS Negeri Sarawak, Hafizah Dahlan.

Sekretariat Rakan Muda mengucapkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Madya Dr Ismail Ali dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS  atas sokongan padu dan kerjasama dalam menjayakan program itu.

Jelajah tersebut turut membawa peserta program melawat UNIMAS, Kampung Budaya Sarawak dan beberapa tempat menarik di sekitar Kuching.

Sumber : Sekretariat Rakan Muda, UMS

SELASA, 19 APRIL – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Ismail Ali mengingatkan para atlet yang bertanding pada Kejohanan Sukan Persahabatan Staf IPT Borneo agar menggunakan kejohanan tersebut sebagai platform dalam memupuk semangat perpaduan dan kesukanan serantau.

Katanya, kejohanan tersebut agak unik kerana menghimpunkan kontinjen-kontinjen daripada rumpun kepulauan Borneo, dan kesempatan ini harus digunakan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim melalui pertandingan sukan yang dipertandingkan.

“Kita ada kontinjen dari Sarawak, Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan, dan wilayah Kalimantan, Indonesia yang akan berkampung di sini untuk menyertai kejohanan ini.

“Harapan saya agar setiap atlet tidak bertanding semata-mata untuk memungut pingat, tetapi gunalah peluang ini untuk berinteraksi atau berkongsi pengalaman bersama atlet-atlet dari negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen UMS sempena kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Ismail turut menyeru agar aktiviti sukan dan riadah tidak hanya berlangsung hanya pada kejohanan sukan, tetapi turut dilakukan pada hari-hari lain bermula daripada jabatan masing-masing sebagai satu amalan budaya hidup yang sihat.

Pada kejohanan kali ke-4 ini, kontinjen UMS menghantar seramai 180 atlet bagi menyertai 13 acara sukan yang dipertandingkan. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin

ISNIN, 18 APRIL - Seramai tiga pelajar mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Misi Sukarelawan Siswa, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ASEAN ke Campasak, Laos baru-baru ini.

Amin Daud pelajar program Sains Agrikultur, Lim Way Yang (Sains Kesihatan) dan Nor Azirah Abdullah (Hubungan Antarabangsa) berkampung di Laos selama dua minggu bagi menjayakan misi tersebut yang merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain wakil UMS, program tersebut turut disertai 45 sukarelawan dari pelbagai Institusi Pendidikan Pengajian Tinggi merangkumi Universiti Awam, swasta, Kolej Komuniti, Institus Pendidikan Guru (IPG) dan Politeknik.

Dalam misi selama dua minggu itu, mereka menjalankan kerja-kerja sukarelawan menerusi program ‘Community Engagement’ melibatkan tiga kampung iaitu Phonethong, Ban Donetalath dan Ban Soukhouma.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut, antaranya ‘Walk with Love’ iaitu sumbangan sandal kepada 100 pelajar di sekolah terlibat, membina pondok tempat meletak motosikal, membuat baja kompos, membina laluan pejalan kaki dan mengecat dinding sekolah.

Sumber: Nurlina Arappe