KHAMIS, 14 APRIL – Usaha dalam mencapai kesaksamaan gender dalam urusan kehidupan seharian bukan hanya terletak kepada wanita semata-mata, tetapi ianya adalah tanggung jawab semua pihak, bermula dari unit kecil dalam keluarga, sehingga kepada unit besar iaitu dalam pentadbiran kerajaan.

Usaha tersebut mampu dicapai melalui langkah awal iaitu pemahaman atau kesedaran terhadap gender dan perspektif gender oleh pelbagai lapisan dalam masyarakat.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, yang menegaskan pemahaman terhadap perkara tersebut penting terutama dalam membuat keputusan atau melaksanakan dasar-dasar tertentu dengan mengambil kira penilaian terhadap perspektif gender.

“Masyarakat awam, lelaki dan wanita, kanak-kanak mahupun orang dewasa, perlu faham bahawa disebabkan faktor biologi dan sosial, sememangnya lelaki dan wanita mempunyai perbezaan, dan dengan itu, masing-masing mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza.

“Justeru, apabila sesuatu dasar atau polisi digubal, perlu ada pemahaman terhadap kesan polisi tersebut terhadap kehidupan sama ada lelaki atau wanita.

“Hanya dengan menjadikan isu gender sebagai pusat rujukan dalam penggubalan dasar awam barulah kita mampu mencapai atau melangkah maju dalam isu kesaksamaan gender ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Wanita Asean kali ke-2 yang bertemakan ‘Gender Mainstreaming and Public Policy’ di Hotel Promenade semalam.

Beliau menambah, dalam sesebuah keluarga misalnya, kesaksamaan gender perlu diamalkan dalam norma kehidupan seharian, seperti memberi peluang atau kebebasan sama rata kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan untuk memilih minat mereka atau menyuarakan pendapat mereka.

“Anak-anak harus dididik untuk saling menghormati antara satu sama lain sejak dari kecil, dan dengan itu mereka akan membesar dengan amalan sebegitu dan lebih sensitif terhadap isu gender,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar sepanjang persidangan ini diadakan, masalah yang berkaitan dengan isu ini akan dapat dibincangkan dengan lebih teliti.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Penolong Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Basha Wir Hj Ghani, Rektor Universitas Islam Bandung Prof. Dr. M. Thaufiq Boesoirie, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan, Pengerusi Seminar Dr Rohana Yusuf, dan Pengerusi Bersama Seminar dari Kolej Yayasan Sabah, Prof. Dr. Junea-Nah Sulehan. -MA-

KHAMIS, 14 APRIL -  Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS)  Kolej Kediaman USIA-1Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program motivasi bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura Bestari, Sandakan baru-baru ini.

Bertemakan “Go on, do it now” , program motivasi yang dikendalikan oleh 23 pelajar Kolej Kediaman USIA-1Borneo bersama-sama pengetua kolej, Sidah Idris dan dua felo penasihat itu disertai oleh 34 orang pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah tersebut.

Program yang berlangsung selama dua hari ini antara lain bertujuan untuk membimbing pelajar dari segi pembangunan insaniah dan rohaniah.

Menerusi program ini para peserta telah didedahkan lebih kepada penggunaan ciri-ciri softskills  pelajar, selain aktiviti pembentukan daya saing yang bertujuan menanam semangat tidak mudah berputus asa dengan halangan dan kekurangan yang dihadapi.

Program ini turut mendapat sokongan sendiri oleh pengetua SMK Elopura Bestari, Hajah Kalsom Abd Aziz yang turut mengharapkan agar aktiviti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 14 APRIL Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) melalui Exco Akademik dan Kepimpinan telah menganjurkan program Kem Debat bertempat di Dewan Serbaguna kolej tersebut, baru-baru ini.

Seramai 40 orang peserta terlibat yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah (SM) Sains Sabah, SM Sains Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu, SMK Agama Tun Ahmadshah, SMK Agama Tun Said Kota Belud dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu.

Menurut Exco Akademik Jakmas KKTM, Harun Pasi, program tersebut adalah medium terbaik untuk para pembahas menimba ilmu dan pengalaman dalam memantapkan lagi pasukan bahas sekolah masing-masing.

Manakala bagi Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, program seumpama itu perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar sekolah yang aktif dalam pengucapan awam dan seni orator dan mampu membantu meningkatkan kepimpinan para peserta.

Antara pengisian program selama tiga hari itu adalah ceramah, strategi berpasukan, aktiviti dalam kumpulan serta tayangan video debat.

Sumber: Jakmas KKTM

RABU, 13 APRIL -  Exco Perhubungan Korporat Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa  (JAKMAS), Kolej Kediaman Tun Mustapha ( KKTM ) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Organisasi dan Celik ICT baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung di Dewan Mini Karisma Kolej Tun Mustapha itu melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada Sekretriat Jawatankuasa Mahasiswa dan pelajar KKTM.

Bengkel ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari asas-asas dalam pengurusan organisasi dan juga penggunaan ICT.

Program ini juga dilihat mampu meningkatkan kualiti pelajar dengan asas-asas penggunaan ICT dan mendedahkan peserta dengan cara menguruskan organisasi termasuk menyediakan kertas kerja untuk sesuatu program.

Bengkel yang dikendalikan oleh dua panel jemputan khas, iaitu Jakaria Dasan dan Oscar Gordon Wong dirasmikan oleh Pengetua KKTM, Dr Mohamad Nizam Nazaruddin.

Menurut beliau, program sebegini sememangnya memberi manfaat kepada para pelajar kerana pelajar berada di Universiti bukan sahaja untuk cemerlang di dalam akademik malahan pelajar juga seharusnya mempunyai “Soft Skills”.

“Program sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang supaya pelajar dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari ke dalam kehidupan atau apabila menamatkan pengajian kelak,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan selaras dengan bengkel ICT itu, satu  unit publisiti perlu ditubuhkan sebagai kaedah mengaplikasikan apa yang dipelajari di bengkel tersebut.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

Oleh Salbinous Saribun

RABU, 13 APRIL - Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS),  Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul, menerima anugerah antarabangsa, The Golden Globe Tigers 2016: Anugerah Kepimpinan Kecemerlangan dalam Inovasi Sosial.

Dr. Hassanal terpilih menerima anugerah itu daripada Gabungan Perniagaan Asia atas penglibatannya dalam pelbagai program berkaitan dengan kemampanan seperti ekopelancongan berasaskan komuniti dan yang terbaru aktif dalam usaha ke arah kelestarian kampus UMS.

Beliau ketika ditemui berkata sangat terkejut pada awalnya kerana  tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menjadi penerima anugerah berprestij dan bertaraf antarabangsa itu.

“Selama ini saya melakukan usaha berkaitan dengan kelestarian ini dengan ikhlas dan saya tidak sangka usaha ini mendapat tumpuan.

“Saya berterima kasih kerana mempunyai rakan-rakan sekerja  dan keluarga yang sentiasa  menjadi pendorong agar sentiasa membuat yang terbaik dalam pekerjaan. Terlebih kepada pihak UMS dimana karier saya berkembang dan memajukan diri sekali gus medan  memperlihatkan kemahiran dalam bidang saya,” katanya.

Dr. Hassanal menerima anugerah itu dalam satu majlis di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Anugerah di bawah kategori Inovasi Sosial itu mengiktiraf individu yang percaya bahawa kecemerlangan tidak mempunyai batas dan boleh membentuk takdir masa depan dunia.