SELASA, 12 APRIL -  Seramai 80 peserta merangkumi Majlis Perwakilan pelajar (MPP), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), kelab, sekretariat,  dan fakulti universiti menjayakan Kursus Etiket dan Protokol di Bilik Seminar, Anjung Siswa UMS baru-baru ini.

Dalam kursus tersebut penceramah jemputan iaitu Penolong Perunding Latihan Kampus INTAN Sabah, Zaafar Md Sanid telah menerangkan lima modul utama dalam pengurusan etiket dan protokol, iaitu teknik penampilan profesional, komunikasi, etika perhubungan profesional, pengurusan majlis-majlis rasmi dan etika di meja makan.

Menurutnya, kursus ini memberi peluang kepada para peserta untuk menambah pengetahuan dan kefahaman yang mendalam mengenai amalan protokol serta kemahiran dalam sesebuah majlis, selain mampu menerapkan komponen imej korporat yang terdiri daripada penampilan, sahsiah dan komunikasi.

“Kita juga menerapkan elemen-elemen yang terkandung dalam lima modul utama secara praktikal kepada para pelajar agar mereka boleh mengaplikasikannya dalam penganjuran setiap aktiviti mahupun program kelak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, dengan adanya program seumpama itu, pelajar diharap mampu menguruskan program yang melibatkan protokol dalam majlis-majlis yang dianjurkan pada masa akan datang dengan lebih teratur dan berkesan.

“Ini selaras dengan hasrat kita melahirkan graduan yang berketerampilan dan holistik melalui penerapan elemen-elemen berbentuk kemahiran dan insaniah,” ujarnya.

Sumber: Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar

ISNIN, 11 APRIL - Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah (SPRUMS) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah menjayakan program Forum Dunia Rasuah Cabaran dan Realiti bertempat di Dewan Kuliah Pusat 13, UMS baru-baru ini.

Bertemakan “Rasuah Disebalik Tabir”, panel forum jemputan terdiri daripada wakil Pusat Islam UMS, Ustaz Jimmis Jumat; Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Taufik Nordin; dan Pengerusi Sekretariat Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA), Datu Rosman Datu Akhir Zaman.

Forum tersebut antara lain membincangkan tentang isu gejala rasuah dan pengertiannya dalam perspektif agama, serta pandangan mengenai kaedah mewujudkan kesedaran tentang bahaya rasuah dalam kalangan mahasiswa.

Dalam pada itu, Mohd Taufik menegaskan para mahasiswa perlu sedar sebagai mahasiswa yang berintelektual, jenayah rasuah yang kian menular harus dihindari bersama-sama.

“Siswa-siswi khususnya, dan masyarakat awam perlu mengikut segala peraturan dan sebarang garis panduan yang ditetapkan agar kita dapat pastikan rasuah tidak wujud sama ada dalam kalangan pelajar, badan kerajaan mahupun di pihak swasta,” ujarnya.

Lebih 190 pelajar UMS terdiri daripada ahli-ahli unit badan beruniform, MPP dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej kediaman (JAKMAS) hadir pada forum tersebut.

 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

ISN

ISNIN, 11 APRIL - Seramai 36 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga ahli Sekretariat Rakan Muda UMS menjayakan Program Jalinan Kasih Anak Permata, Tambunan baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program, Masayu Ramlee, program tersebut disertai 59 anak-anak Yatim Tambunan berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

“Ia dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang antara penganjur dan penghuni rumah anak yatim Tambunan.

“Selain itu, program ini juga dianjurkan bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan emosi para peserta dalam menjalani setiap aktiviti berkumpulan sekali gus memupuk  kreativiti mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, program seumpama itu turut menambah kemesraan antara ahli Rakan Muda yang terlibat serta penghuni rumah kebajikan.

Ketibaan rombongan UMS disambut penyelaras Rumah Anak Yatim Tambunan, Noraini Narawi dan Ustaz Wahab Dandan.

Sumber : Norhana Nordin HEPA

Jurufoto : Sekretariat Rakan Muda

JUMAAT, 8 APRIL - Amalan tadbir urus terbaik sentiasa diserapkan dan dilaksana di semua peringkat pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti yang dijelaskan dalam surat Ketua Setiausaha Negara - Garis Panduan bagi Mempertingkatkan Tadbir Urus Awam 2007.

Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad berkata, dalam konteks melaksanakan tadbir urus terbaik di UMS, integriti, senses (rasa) dan kehendak akan menjadi aspirasi dalam usaha memacu misi dan visi universiti.

“Sistem penyampaian menjadi berkesan bila semua warga kerja berintegriti, amanah dan bertanggungjawab sama ada semasa adanya ketua atau bila bersendiri.

“Pekerjaan dilaksanakan dengan jujur bukan kerana mengejar markah penilaian prestasi atau ganjaran keduniaan akan tetapi dilaksanakan atas tanggungjawab dengan penuh amanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Pendaftar (MAP) di Dewan Resital UMS.

Katanya, tadbir urus terbaik di universiti juga boleh dilaksanakan apabila setiap kakitangan mempunyai rasa kepunyaan (sense of belonging), rasa kesegeraan, rasa kebertanggungjawaban dan rasa hormat yang tinggi.

“Misalnya, bila setiap dari kita punya rasa kesegeraan, tindakan akan sentiasa diambil dengan segera. Dengan adanya rasa kebertanggungjawaban, kerja yang dilaksanakan akan dibuat dengan penuh hati-hati dan tidak sambil lewa,” kata No’man.

Majlis yang dihadiri pegawai pentadbiran dan ikhtisas serta kakitangan pelaksana bertujuan mengetengahkan pencapaian Institusi Pentadbiran dan Ikhtisas serta memperincikan hasrat dan hala tuju universiti yang diamanatkan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, baru-baru ini.

No’man turut mengumumkan beberapa inisiatif bagi mendokong dan melaksanakan Amanat Naib Canselor 2016.

Antaranya pembangunan bakat berfokus, program sangkutan kakitangan, pengukuhan kompetensi pentadbir, penambahbaikan klasifikasi tugas kakitangan berdasarkan penambahbaikan skim perkhidmatan, pengukuhan proses kenaikan pangkat serta memperkasa fungsi dan impak penubuhan jawatankuasa pemandu kualiti dan inovasi pentadbiran.

“Sama-samalah kita terus Bertekad Cemerlang selaras dengan Motto universiti yang kita dokong selama lebih 21 tahun ini. Mulakan hari ini dan hari-hari berikutnya dengan tekad atau niat untuk mencapai hasil kerja yang terbaik,” katanya. -SS-

JUMAAT, 8 APRIL – Barisan kepimpinan pelajar yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar, kelab, persatuan atau sekretariat yang berdaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) didedahkan kepada tujuh modul utama yang menjadi asas kepada pengurusan organisasi pelajar yang berkesan melalui satu kursus di Anjung Siswa, UMS baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, tujuh modul utama tersebut ialah Kepimpinan dan kerja berpasukan, personaliti, pengurusan mesyuarat, pengurusan laporan, tatacara penubuhan kelab, proses kertas kerja dan laporan kewangan.

“Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar ini diadakan setiap tahun sebagai kursus wajib kepada semua bakal pemimpin dan melibatkan tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

“Melalui kursus ini juga para peserta mampu meningkatkan insaniah selaras dengan hasrat universiti untuk menyediakan aspek kepimpinan kepada pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Kursus anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS ini mendapat penyertaan 189 pelajar.

Hadir sama dalam kursus itu ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat yang turut memberikan taklimat dalam slot pertama mengenai ‘Kepimpinan dan Kerja Berpasukan’.

Sumber : Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP