SELASA, 05 APRIL - Seramai 60 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Showcase Talent anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan Negeri Sabah dengan kerjasama Sekretariat Rakan Muda UMS, baru-baru ini.

Pada program tersebut, peserta berkesempatan menyertai dua bengkel iaitu Bengkel Asas Solekan dan Fotografi yang turut disertai sepuluh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah.

Program sehari itu dikendalikan dua penceramah iaitu jurusolek profesional, Douglas David dan jurufoto dari Jari-jari Halus Fotografi, Mohd Daniel Ramadhan Abdullah.

Majlis penyampaian sijil disampaikan Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBS Persekutuan Negeri Sabah, Hasmah Ajem.

“Bengkel jangka pendek ini membolehkan belia IPT mengenali dan memahami asas sesuatu kemahiran di samping  dapat memupuk semangat kerjasama melalui perkongsian ilmu yang bermanfaat antara satu sama lain,” katanya ketika merasmikan penutupan program tersebut.

Hasmah juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS dalam membantu menjayakan Showcase Talent.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Rakan Muda JBS Persekutuan, Jovanna Juanis dan Khazarudin Kahar.

Sumber : Norhana Nordin HEPA

Jurufoto : JBS

ISNIN, 4 APRIL - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah menganjurkan program “Selangkah Ke Menara Gading Siri 2” baru-baru ini, yang menyasarkan kepada pelajar-pelajar tingkatan enam dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah sekitar Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSA, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade berkata program ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada bakal calon pelajar mengenali lebih dekat program-program yang ditawarkan di FSSA, sekali gus memupuk minat mereka dalam bidang perhutanan yang sentiasa mempunyai potensi besar sama ada dalam bidang industri mahupun kerjaya.

“Program kali ini memilih beberapa sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah Sandakan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh Lahad Datu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara Tawau sebagai lokasi penganjuran.

“Diharap pendekatan ini dapat membuka minat para pelajar agar meneruskan pengajian mereka di bawah program yang ditawarkan oleh fakulti ini, khususnya bagi pengambilan pelajar pada sesi September 2016/2017 kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bidang Sains dan Matematik, Prauniversiti, SMK Muhibbah Sandakan, Shim Lhi Shwo mencadangkan agar program sebegini akan digiatkan bukan sahaja oleh UMS, malah juga dari institusi pendidikan tinggi yang lain pada masa akan datang.

“Taklimat yang diberikan sangat bermakna kerana meliputi perbincangan mengenai kepentingan mata pelajaran sains, kriteria permohonan program prasiswazah, aktiviti pelajar, prospek kerjaya dan kemudahan yang ditawarkan oleh UMS.

Ini secara keseluruhan dapat memberi gambaran jelas dan memberi panduan pilihan pengajian yang boleh dipilih oleh para pelajar di peringkat seterusnya,” katanya.

Program siri 2 kali ini dijayakan oleh Prof. Madya Dr. Mahmud Sudin, Dr. Wilson Wong, dan Musri Ismenyah yang mewakili Program Perhutanan Tropika Antarabangsa, Program Taman Alam Semula jadi dan Rekreasi, Perladangan Hutan dan Perhutani, dan Teknologi dan Industri Kayu yang ditawarkan oleh Kompleks Perhutanan, FSSA.

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

ISNIN, 4 APRIL - Sesi kuliah Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditangguhkan sekiranya paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin meningkat, kata Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Katanya, pihak universiti akan mengambil langkah itu serta merta sekiranya kualiti udara terus merosot bagi memastikan keselamatan dan kesihatan warga kampus khususnya dalam kalangan para mahasiswa.

“Pihak universiti memandang serius terhadap situasi jerebu yang melanda pada ketika ini dan akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa sambil mengikuti perkembangan paras IPU terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Harun berkata, sebagai langkah awal UMS akan mengedarkan topeng jerebu secara percuma kepada para mahasiswa.

Menurutnya, topeng tersebut boleh diperoleh melalui kolej-kolej kediaman dan pejabat Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai usaha membantu mahasiswa menapis daripada terhirup molekul-molekul udara tercemar yang boleh memudaratkan kesihatan.

Datuk Harun turut menasihatkan warga kampus agar mengurangkan sebarang aktiviti luar sehingga paras kualiti udara semakin pulih.

“Dalam masa yang sama, saya berpesan kepada para kakitangan dan mahasiswa UMS agar sentiasa mengamalkan pengambilan air minum yang banyak,” tambahnya lagi.

Sehingga pukul 1.30 tengahari tadi, Jabatan Alam Sekitar Sabah mencatatkan bacaan 68 IPU bagi kawasan Kota Kinabalu.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Pada Ahad, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengumumkan penutupan 77 buah sekolah di sekitar Beaufort, Kuala Penyu dan Papar ekoran jerebu yang semakin teruk.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam sebuah laporan akhbar nasional 19 Mac lalu memaklumkan, Naib Canselor melalui konsep autonomi boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada kementerian. -SS-

JUMAAT, 1 APRIL - Wajadiri Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (WSCPUH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa warga kampus UMS terutamanya pelajar untuk hadir ke ceramah dijadualkan berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Ke-2 (DKP 25) malam ini.

Menurut jurucakap kelab ini, Mohd Syaffezh Edham bin Ahmed yang juga merupakan Presiden kelab, ‘Majlis Penerangan’ tersebut akan bermula pada pukul  7.30 malam.

“Kami mengalu-alukan pendaftaran ahli baharu ke kelab ini kepada yang berminat,” ujarnya, sambil mendedahkan bahawa keahlian kelab ini mencecah hampir 100 orang.

Wajadiri Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi UMS ditubuhkan pada 1994, iaitu tahun UMS ditubuhkan.

Antara acara kemuncak kelab ini adalah apabila mereka mengambil bahagian secara aktif dalam temasya kejuaraan festival silat peringkat kebangsaan.  Mereka juga turut mengambil bahagian dalam ‘The Largest Silat Lesson’ pada 29 Ogos 2015. – FL

Photo: WSCPUH

KHAMIS, 31 MAC - Gugusan Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri daripada Fakulti Sains Sumber Alam (FSSA), Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) serta Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST)  berganding bahu membantu penduduk Kampung Lentuong, Karambunai baru-baru ini.

Menurut Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta, projek yang merupakan tanggung jawab sosial korporat (CSR) gugusan itu melibatkan usaha membaik pulih infrastruktur surau yang telah uzur.

“Kita sangat bersyukur kerana projek selama lima minggu ini turut mendapat kerjasama yang baik daripada orang perseorangan dan agensi-agensi luar yang telah memberikan sumbangan dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, penduduk Kampung Lentuong juga telah memberikan kerjasama erat membolehkan segala kerja-kerja amal yang dilaksanakan dapat dijayakan dengan baik.

“Diharapkan projek ini dapat memberi manfaat kepada orang kampung secara keseluruhannya,” tambah Dr. Baba.

Sementara itu, Pengerusi Surau kampung itu, Lakin Rajin turut menyatakan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan warga kerja UMS untuk menabur khidmat bakti di kampung berkenaan.

“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan dan nilai kemasyarakatan yang ditunjukkan oleh kalangan kakitangan universiti yang terlibat dan berharap aktiviti-aktiviti amal seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.

Projek amal tersebut telah dinobatkan sebagai Projek Amal Terbaik sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS baru-baru ini, menyaksikan kemenangan bagi tahun ketiga berturut-turut oleh Gugusan Sains UMS, ataupun digelar Kumpulan Al-Jawwad.

Sumber: Kenny Uwai, FSSA