SELASA, 7 JUN - Satu program khidmat masyarakat telah diadakan baru-baru ini bertempat di Kampung Baru Jumpa, Tenom anjuran 35 pelajar kursus kokurikulum berkredit Interaksi Mahasiswa dan Masyarakat (INTERIM), Semester II, Sesi 2015-2016.
Program yang bertemakan “Changing Lives, Transforming Community” itu melibatkan seramai 150 pelajar sekolah rendah, menengah serta warga penduduk kampung tersebut.
Antara aktiviti utama program berkenaan adalah Klinik Bahasa Inggeris yang bertujuan membantu para pelajar sekolah untuk berkomunikasi serta menguasai ilmu Bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Selain itu, aktiviti berkait semangat patriotisme dan uniti telah turut diadakan, antaranya mural painting, nyanyian lagu patriotik serta pertandingan mencipta logo hari kebangsaan yang bertujuan untuk menyemai rasa sayang dan cintakan negara Malaysia dalam kalangan warga kampung.
Pengarah Program, Dayang Norain berkata, selain mengeratkan tali silaturahim, program ini bertujuan untuk meningkatkan keperibadian serta mengasah kemahiran asas insaniah para pelajar UMS yang menjadi nadi utama dalam pembangunan modal insan negara.
Sementara itu, jurulatih program, Amer Azlan Abdul Jamal berpendapat program seperti ini menawarkan peluang kepada para pelajar UMS untuk berbakti kepada masyarakat mengikut bidang kepakaran yang mereka pelajari di universiti.
“Sebagai contoh, aktiviti Klinik Bahasa Inggeris telah dirangka dan dijalankan oleh para pelajar yang mengambil jurusan TESL, Fakulti Psikologi dan Pendidikan. Manakala operasi aktiviti mural painting pula telah dirangka oleh para pelajar daripada jurusan Seni Kreatif. Para pelajar kita ini datang dari pelbagai bidang, dan merupakan suatu aset yang mana amat rugi jika tidak kita gunakannya untuk manfaat komuniti setempat,” katanya.
Aktiviti kemuncak program tersebut adalah pembinaan sebuah Perpustakaan Mini yang telah mendapat tajaan berupa dana dan bahan bacaan daripada syarikat komunikasi Celcom Timur Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah serta beberapa syarikat tempatan yang lain.
Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang mewakili Celcom Timur Sabah, Shaharul Niza Mohamad serta Ketua Kampung Baru Jumpa, Yamuk Acho.
Yamuk yang mewakili pihak kampung menzahirkan rasa syukur serta terima kasih kepada para pelajar UMS kerana telah memilih kampungnya sebagai destinasi program khidmat masyarakat kali ini.
“Kami berasa amat bertuah menerima kunjungan delegasi UMS yang telah bertungkus lumus menganjurkan pelbagai aktviti serta membina sebuah perpustakaan mini di sini kerana perpustakaan memainkan peranan yang sangat penting dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak kecil dan amat berterima kasih kepada UMS atas sumbangan yang telah diberikan,” tambahnya lagi.
Sumber: Amer Azlan Abdul Jamal, FPEP



SELASA, 7 JUN – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Eco-FPEP yang dianjurkan oleh HE06 Green Team, sebuah kelab yang bernaung di bawah program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) baru-baru ini.
JUMAAT, 3 JUN – Mini Karnival Kokurikulum Semester II Sesi 2015/2016 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini berlangsung meriah.
KHAMIS, 2 JUN - Ekspedisi Rentas Borneo 2016 (RB16) kali ketiga yang dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS4WDVC) mencapai matlamat iaitu untuk mendekatkan warga UMS dengan masyarakat yang tinggal di pedalaman Sabah melalui aktiviti khidmat masyarakat.
KHAMIS, 02 JUN - Kelab 1Malaysia Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Rimbunan Kasih bertempat di Rumah Anak Yatim, dan Asnaf Kampung Langsat, Ranau baru-baru ini.