RABU, 23 MAC - Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) meningkatkan kesedaran amalan gaya hidup sihat melalui penganjuran Karnival Sukan, baru-baru ini.

Presiden PPUMS, Azmi Jumat berkata, inisiatif penganjuran itu bagi memastikan para ahlinya yang juga pegawai bukan akademik tidak melupakan penjagaan kesihatan di samping kesibukan melaksanakan tugasan harian.

“Dalam masa yang sama, program ini juga sekali gus mengeratkan silaturahim sesama ahli persatuan melalui beberapa pertandingan sukan seperti bola jaring serta bola tampar dan futsal campuran,” katanya ketika berucap pada aktiviti tahunan persatuan itu di UMS Arena.

Yang turut dihadiri Pendaftar merangkap Penasihat PPUMS, No’man Datuk Hj. Ahmad.

Azmi turut memaklumkan, PPUMS telah merancang pelbagai  aktiviti untuk dilaksanakan pada tahun 2016 seperti persidangan dan program-program berbentuk khidmat masyarakat.

Sebagai rekod, PPUMS mempunyai 210 ahli yang terdiri daripada pelbagai skim dan gred jawatan.

Sumber : Norhana Nordin HEP

Foto: PPUMS

RABU, 23 MAC - Karnival Keharmonian, Integrasi, Toleransi dan Asimilasi (KITA) anjuran Kelab Bahasa Mandarin Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung dengan jayanya di Padang Kawad baru-baru ini.

Karnival selama tiga hari bagi memperkenalkan budaya dan adat resam kaum Cina kepada warga kampus itu dirasmikan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu karnival itu sangat bermakna kerana ia mampu untuk memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan warga kampus yang berbilang kaum melalui penglibatan bersama dalam memeriahkan program berkenaan.

“Karnival ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat peri pentingnya mewujudkan persefahaman dan interaksi kebudayaan antara kaum,” katanya.

Sempena karnival tesebut, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti persembahan pentas daripada pelajar-pelajar UMS, kumpulan Estranged serta tarian singa dan naga.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali.

Sumber : Norhana Nordin, HEP

Foto : Jalani Moksin, HEP

SELASA, 22 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan pencapaiannya apabila buat pertama kali dalam sejarah UMS, kedudukan dan keterlihatannya diiktiraf oleh QS World University Ranking.

UMS melalui Program Pertanian dan Perhutanan universiti telah tersenarai dalam kedudukan 200 terbaik dunia.

Pengiktirafan tersebut turut menyaksikan UMS melalui program itu berada pada ranking ke-36 di peringkat seluruh universiti Asia.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, ia merupakan satu lonjakan yang besar dalam memposisikan UMS di arena antarabangsa.

“Ini membuktikan bahawa UMS berada di landasan yang betul untuk mencapai lebih banyak kecemerlangan di peringkat dunia. InsyaAllah kita akan terus perbaiki pencapaian dari tahun ke tahun," ujarnya.

Beliau berkata, UMS sentiasa giat memperkasa penyelidikan dalam pelbagai bidang terutamanya yang boleh menyumbang kepada manfaat masyarakat sejagat terlebih kepada pembangunan negara Malaysia dan negeri Sabah khususnya.

“Hasrat kita bukan sahaja  untuk membolehkan UMS menjadi universiti berdaya saing di peringkat global tetapi yang lebih utama, kita seiring ke hadapan bersama Universiti Awam lain untuk melahirkan pakar-pakar ke arah merelisasikan wawasan negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,” tambah Datuk Harun.

Di Malaysia, Program Pertanian dan Perhutanan UMS berada pada ranking kedua daripada semua universiti selepas Universiti Putra Malaysia (UPM).

ISNIN, 21 MAC – Institute Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA 2016) pada 23 dan 24 Mac bertempat di Kota Kinabalu.

Bertemakan ‘Memupuk Ekosistem Inovasi untuk Kelestarian Lautan dan Kesejahteraan Manusia’, persidangan itu juga meliputi sub tema yang akan membincangkan pelbagai topik termasuk makanan ikan dan pemakanan, keselamatan makanan laut, penyesuaian perubahan iklim, pemuliharaan marin, dan polisi marin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IPMB, topik dalam ICOMSA 2016 sangat relevan memandangkan ekosistem marin di peringkat global khususnya di Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi seiring dengan perkembangan pesat  industri akuakultur dan permintaan terhadap makanan laut yang  tinggi.

Sehubungan itu, ICOMSA mengumpulkan pakar-pakar antarabangsa setiap tahun untuk berkongsi pengetahuan saintifik kemajuan ekosistem lautan dan mengenal pasti elemen yang boleh memupuk budaya penyelesaian inovatif kepada masalah yang antara lain berkaitan dengan pengeluaran sumber makanan laut.

Sebarang  maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.ums.edu.my/ipmb2/icomsa/index.html atau mengimbas kod QR yang tertera di bawah, atau menghubungi sekretariat persidangan di talian 088-320000 samb. 2589. – FL

Sumber: Flora Anne Asalin, IPMB

ISNIN, 21 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan penyerahan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 bagi tahun 2016 pada Ahad.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, penyerahan baucer tersebut diharap dapat menampung pembelian bahan ilmiah untuk memenuhi keperluan pembelajaran di universiti.

“Saya berharap semua pelajar UMS memanfaatkan kemudahan yang diberikan serta sentiasa bijak dalam berbelanja,” tambahnya.

Turut hadir  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali dan wakil dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta Jabatan Bendahari.

Penyerahan baucer tersebut turut dijalankan di Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan disempurnakan Pengarah kampus, Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik.

BB1M merupakan inisiatif yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian.

Foto: UMSKAL