KHAMIS, 17 MAC - Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan ceramah percuma berkaitan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan PKKP, ceramah tersebut penting bagi memastikan para guru dan pelajar yang menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam di sekolah mengetahui perkara-perkara berkaitan OSH dalam persekitaran mereka.

PKKP menambah, program itu bukanlah perkara baharu memandangkan kerajaan telah memperkenalkan beberapa program keselamatan dan kesihatan dalam Program Kesihatan Sekolah (RKS) sejak tahun 1967 dan Projek Sekolah Selamat pada 2002.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah yang berminat menganjurkan ceramah tersebut boleh berhubung dengan Pengarah PKKP, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin di 088-320000 sambungan 1661 atau 013-8888004 atau e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. – FL (SS)

KHAMIS, 17 MAC - Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar (KPOP) 2016 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) baru-baru ini.

Melalui kursus itu siswa-siswi didedahkan lima modul utama iaitu pengurusan mesyuarat, pengurusan laporan, tatacara penubuhan kelab, proses kertas kerja dan laporan kewangan selain satu slot berkaitan sistem ‘My Student Development Point’ (MySDP).

Para peserta turut didedahkan dengan hal ehwal penubuhan organisasi masing-masing selain diberi penerangan berkaitan prosedur yang betul dan bahagian yang sepatutnya dirujuk sekiranya ingin mendapatkan sebarang nasihat.

Di samping UMSKAL, kursus itu juga dilaksanakan di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan UMS Kota Kinabalu.

Kursus tahunan itu merupakan kursus wajib kepada semua bakal pemimpin dan kelab yang baharu ditubuhkan. 

Sumber: Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP

RABU, 16 MAC - Galeri Borneensis yang dilancarkan baru-baru ini menjadi satu tarikan baharu buat masyarakat untuk berkunjung sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertempat di aras dua bangunan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), galeri itu menempatkan pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna hasil penyelidikan penyelidik UMS.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dengan disaksikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Pengarah IBTP, Prof. Dr. Charles Vairappan.

Galeri tersebut dibuka kepada umum dengan bayaran masuk yang minima iaitu antara RM5 – RM10. - SS

RABU, 16 MAC - Seramai 47 orang pelajar  tahun dua program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikuti bengkel Adobe Photoshop yang telah dianjurkan oleh pelajar sains sukan UMS.

Menurut pensyarah program Sains Sukan, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, bengkel tersebut dijalankan bertujuan memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para peserta dalam penggunaan aplikasi Photoshop terutamanya bahagian penyuntingan.

“Saya berharap para peserta dapat mengembangkan lagi kreativiti mereka bentuk dan seterusnya mengimplementasikan dalam penerbitan buletin oleh para peserta,” katanya ketika ditemui ketika bengkel.

Jelas beliau, ilmu Adobe Photoshop itu juga mampu memperbaiki sistem pembelajaran dan penyampaian maklumat agar menjadi lebih menarik terutamanya dalam bidang pengiklanan, poster dan banner.

“Photoshop juga memiliki pelbagai fungsi yang boleh membantu pelajar sains sukan memantapkan laporan kajian mereka dengan gambar dan graf dengan lebih jelas dan mudah di faham,” tambah beliau.

Bengkel selama sehari itu dikendalikan oleh Pereka di Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), Ak Ab Hashim Pg Ab Ghani menggunakan kaedah demonstrasi, perbincangan, dan latihan amali.

Sumber: Rasidi Sirukam

SELASA, 15 MAC – Kedai K-Shoppe dan francais KopieSatu yang bakal diwujudkan di kampus Universiti Malaysia Sabah bakal memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami urus tadbir bidang perniagaan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, FAMA memperuntukkan sebanyak RM75,000 untuk menubuhkan kedai K-Shoppe, yang akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) UMS.

“Urus niaga kedai-kedai ini akan dijalankan sendiri oleh pelajar UMS, dan usaha ini bukan sahaja menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, tetapi turut memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan kebijaksanaan dalam mempertingkatkan kemahiran masing-masing.

“K-Shoppe adalah sebuah kedai yang menjual barangan keperluan dan boleh membawa keuntungan baik kepada pelajar mahupun kepada universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Program Ceramah Motivasi Keusahawanan dan Pelancaran Kelab MyAgrosis UMS di Dewan Bankuasi, UMS baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan kedai KopieSatu yang berkonsepkan francais akan dibina selepas penubuhan kedai K-Shoppe.

Menurutnya, KopieSatu adalah kedai minuman kopi tempatan yang mempunyai cawangan di universiti.

“Selepas tamat pengajian, graduan yang mahu menguruskan perniagaan kedai KopieSatu akan dibantu oleh FAMA untuk berniaga,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Tan Sri Badruddin turut menyempurnakan pelancaran MyBestBuy di tapak letak kereta Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah. -MA

Foto: Musaab Umair