ISNIN, 28 MAC – Program Charity Book Run and Ride 2016 yang dianjurkan di sekitar UMS pada Sabtu mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih 150 penyertaan.

Aktiviti anjuran gabungan kerjasama Jabatan Perpustakaan, Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) serta Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah itu menyaksikan para peserta perlu berlari sejauh 7 kilometer dan berbasikal sejauh 12 kilometer.

Pustakawan Jabatan Perpustakaan UMS, Mohd. Adam Sabri Magi selaku wakil penganjur berkata, program itu antara lain bertujuan memupuk semangat kebersamaan  antara warga UMS dengan masyarakat sekitar sambil membudayakan akitiviti sihat melalui riadah dan menyemai keinginan untuk berkongsi ilmu melalui sumbangan buku.

“Program berkonsepkan sukan sambil menderma ini menyaksikan para peserta  menyumbang sekurang-kurangnya dua buah buku bersifat ilmiah atau novel yang ditempatkan di Perpustakaan UMS di samping didermakan ke sekolah-sekolah dan institusi sekitar Kota Kinabalu,”  katanya ketika ditemui wakil Media UMS.

Adam menambah, 20 peserta terawal yang berjaya menamatkan perlumbaan memenangi hadiah berupa medal dan sijil.

Pelepasan peserta disempurnakan Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad di Perkarangan Dewan Canselor.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan merangkap Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah, Zawawi Tiyunin; Pengarah JPP, Kamisah Husin; Pemangku Bendahari, Zallifah Shadan dan Pengarah JTMK, Noor Hapipah Samat. -SM-

Foto: Johaidi Ismail

KHAMIS, 24 MAC – Tiga pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD)  akan mewakili UMS dalam Pertandingan Tesis 3 Minit (3MT) peringkat kebangsaan setelah memenangi pertandingan itu di peringkat UMS, kelmarin.

Mereka ialah Ruslan Mapeala, Lai Yun Mei dan Lorita Angeline, yang masing-masing akan mewakili UMS di bawah kategori Sains Sosial, Sains dan Teknologi dan kategori Kejuruteraan.

Kesemua mereka akan bertanding di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 10 Mei depan bagi merebut slot sebagai wakil Malaysia di pertandingan peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pertandingan peringkat UMS semalam menyaksikan seramai lapan peserta dari pelajar PhD tahun tiga mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan Pusat Pengajian Pascasiswazah.

Atas kemenangan itu, Ruslan, Lai Yun Mei dan Lorita menerima hadiah RM200, manakala peserta lain menerima sijil penghargaan.

Berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS, pertandingan itu dihakimi Ketua Perhubungan UMS-Timor Leste, Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng; Pensyarah Kanan, Professor Madya Dr. Nurmin Bolong dan Dr. Yasmin Ooi Beng Houi. - FL (ss)

KHAMIS, 24 MAC - Enam pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara 100 perserta yang menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS ASEAN anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) selama hampir tiga minggu, yang berakhir 8 Mac lalu.

Mereka adalah Mohd Farhan Firdaus Jeffri, Glenna Mouren, Siti Nurhidayah Samsudin, Aina Nasuha Azman, Mohd Afi Haziq Sapili dan Saibie Saiba.

Projek tersebut telah memberi peluang kepada para peserta untuk menyumbang tenaga membaiki kemudahan-kemudahan awam di beberapa kampung seperti Kampung Batang Lupar, Kampung Nyimoh dan Kampung Nanga Temalat yang terletak di daerah Song.

Antaranya, mendirikan pintu gerbang di setiap kampung, laluan pejalan kaki, mengecat dinding sekolah dan bilik makmal serta menceriakan kawasan sekolah dan tuisyen untuk pelajar sekolah.

Majlis Penangguhan Misi Sukarelawan YSS ASEAN ke Sarawak itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, merangkap ahli parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Hajah Rohani Hj. Ab. Karim.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Madya Dr. Ismail Ali turut menyatakan sokongan kepada misi sukarelawan tersebut dan berharap agar misi sama dapat dijalankan di UMS dengan membaiki kemudahan awam sedia ada.

Sumber: Nurlina Arappe

RABU, 23 MAC - Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) meningkatkan kesedaran amalan gaya hidup sihat melalui penganjuran Karnival Sukan, baru-baru ini.

Presiden PPUMS, Azmi Jumat berkata, inisiatif penganjuran itu bagi memastikan para ahlinya yang juga pegawai bukan akademik tidak melupakan penjagaan kesihatan di samping kesibukan melaksanakan tugasan harian.

“Dalam masa yang sama, program ini juga sekali gus mengeratkan silaturahim sesama ahli persatuan melalui beberapa pertandingan sukan seperti bola jaring serta bola tampar dan futsal campuran,” katanya ketika berucap pada aktiviti tahunan persatuan itu di UMS Arena.

Yang turut dihadiri Pendaftar merangkap Penasihat PPUMS, No’man Datuk Hj. Ahmad.

Azmi turut memaklumkan, PPUMS telah merancang pelbagai  aktiviti untuk dilaksanakan pada tahun 2016 seperti persidangan dan program-program berbentuk khidmat masyarakat.

Sebagai rekod, PPUMS mempunyai 210 ahli yang terdiri daripada pelbagai skim dan gred jawatan.

Sumber : Norhana Nordin HEP

Foto: PPUMS

RABU, 23 MAC - Karnival Keharmonian, Integrasi, Toleransi dan Asimilasi (KITA) anjuran Kelab Bahasa Mandarin Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung dengan jayanya di Padang Kawad baru-baru ini.

Karnival selama tiga hari bagi memperkenalkan budaya dan adat resam kaum Cina kepada warga kampus itu dirasmikan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu karnival itu sangat bermakna kerana ia mampu untuk memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan warga kampus yang berbilang kaum melalui penglibatan bersama dalam memeriahkan program berkenaan.

“Karnival ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat peri pentingnya mewujudkan persefahaman dan interaksi kebudayaan antara kaum,” katanya.

Sempena karnival tesebut, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti persembahan pentas daripada pelajar-pelajar UMS, kumpulan Estranged serta tarian singa dan naga.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali.

Sumber : Norhana Nordin, HEP

Foto : Jalani Moksin, HEP