ISNIN, 12 OKTOBER – Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan program Gotong Royong Perdana Kolej Kediaman, kelmarin.

Program tersebut berjalan serentak di seluruh kolej-kolej kediaman termasuk UMS kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

Acara yang bermula pukul 7.00 pagi itu disertai kira-kira 3,000 pelajar bersama kakitangan dan felo kolej kediaman serta syarikat pembersihan kolej.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Ismail Ali, program tersebut akan dimasukkan dalam takwim tahunan Jabatan HEP.

“Acara sebegini dapat menyatupadukan setiap penghuni-penghuni kolej khasnya pelajar UMS bersama pengurusan kolej sekali gus mewujudkan ikatan silaturahim yang erat di samping menyumbang kepada suasana persekitaran yang bersih dan nyaman,” katanya.

Turut diadakan, acara senamrobik sebagai pemanas badan sebelum gotong royong dimulakan.

Hadir sama Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat.

Sumber : Norhana Nordin HEP

ISNIN, 12 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempergiat usaha untuk menambah bilangan alumni dan pelajar antarabangsa melalui penglibatan dalam World Education Expo Indonesia 2015 (WEEI) yang berlangsung di Jakarta, baru-baru ini.

Selain UMS, pameran yang berlangsung selama dua hari itu turut disertai oleh empat universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak serta 24 institusi pengajian tinggi swasta.

WEEI dianjurkan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang akademik secara global serta mempererat hubungan di antara para alumni dan universiti.

Pameran tersebut turut menyediakan bengkel dan seminar khas untuk para pelajar yang bakal meneruskan pengajian di peringkat universiti serta membantu bakal siswa siswi untuk mengembangkan pengetahuan akademik mereka.

WEEI 2015 turut menyaksikan penglibatan daripada 25 negara antaranya Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, Rusia, Korea dan Jepun. – ZMD/MAH

Foto : Johaidi Ismail

ISNIN, 12 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempergiat usaha untuk menambah bilangan alumni dan pelajar antarabangsa melalui penglibatan dalam World Education Expo Indonesia 2015 (WEEI) yang berlangsung di Jakarta, baru-baru ini.

Selain UMS, pameran yang berlangsung selama dua hari itu turut disertai oleh empat universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak serta 24 institusi pengajian tinggi swasta.

WEEI dianjurkan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang akademik secara global serta mempererat hubungan di antara para alumni dan universiti.

Pameran tersebut turut menyediakan bengkel dan seminar khas untuk para pelajar yang bakal meneruskan pengajian di peringkat universiti serta membantu bakal siswa siswi untuk mengembangkan pengetahuan akademik mereka.

WEEI 2015 turut menyaksikan penglibatan daripada 25 negara antaranya Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, Rusia, Korea dan Jepun. – ZMD/MAH

Foto : Johaidi Ismail

Oleh Salbinous Saribun

JUMAAT, 09 OKTOBER - Sebuah Proton Saga akan menjadi hadiah utama Pertandingan Golf Amal Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dianjurkan Pusat Alumni UMS, 17 Oktober depan.

Berlangsung julung kalinya sejak penubuhan pusat itu pada 2012, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah memaklumkan, kereta tersebut merupakan tajaan The W Group untuk hadiah pemenang Pukulan Selubang.

“Sebagai makluman, kita meletakkan sasaran untuk menarik penyertaan 30 ‘flights’ atau 120 pemain, yang mana setakat ini lebih separuh daripada jumlah itu telah diisi,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS.

Ujar beliau, kejohanan bertempat di Nexus Golf Resort Karambunai itu bakal disemarakkan lagi dengan penyertaan Yang Dipertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun (Dr) Haji Juhar Haji Mahiruddin yang telah mengesahkan kehadiran untuk bermain sama.

“Bagi pihak UMS, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas sokongan padu sekali gus pasti akan memeriahkan lagi suasana pertandingan,” katanya.

Datuk Harun turut memaklumkan, sebanyak empat kategori akan dipertandingkan sepanjang kejohanan itu berlangsung.  

“Antaranya ialah kategori ‘Gross’ dan kategori ‘Nett’ yang masing-masing menawarkan lima hadiah, serta kategori Wanita dan Senior (atas umur 60 tahun) yang masing-masing menawarkan tiga hadiah.

”Pihak penganjur juga menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Motosikal sebagai hadiah utama,” tambahnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang terdiri daripada alumni UMS, syarikat-syarikat pembekal, orang perseorangan, termasuk Pengerusi Eksekutif Syarikat Pemaju Hartanah The W Group, Dato’ Tony Wong.

Penganjuran golf amal itu merupakan sebahagian inisiatif Pusat Alumni dan pihak universiti dalam usaha mengisi Tabung Dana Alumni untuk membiayai pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan universiti.

Sehubungan itu, mereka yang ingin mengambil bahagian boleh berhubung terus dengan Dayangku Rozlina Datuk Pg. Aliuddin (010-944 0388), Jane E. Ading (012-836 8698) dan Mohd. Khairuddin Ahmad (012-833 2445).

Yuran Penyertaan adalah RM1,600 untuk satu ‘flight’ manakala RM400 untuk individu.

 

 

KHAMIS, 8 OKTOBER - Kontinjen Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menduduki tempat kedua dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kemahiran sempena Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke-62 TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin tahun 2015 yang telah diadakan di Padang Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Kontinjen Polis Bantuan UMS  Insp.(PB) Rakam Singh A/L Karam Singh berkata, kekuatan seramai 30 orang anggota yang menyertai Kontijen Polis Bantuan daripada UMS telah berusaha sedaya upaya menggunakan kekuatan yang sediada, bersungguh-sungguh dengan semangat berpasukan telah menghasilkan satu komitmen yang terbaik walaupun sekadar mendapat tempata kedua.

Sememangnya terdapat banyak kontinjen yang segak dan berdaya saing dengan semua pasukan di dalam acara berkenaan namun Pasukan Polis Bantuan UMS mempunyai kelebihan yang terbaik walaupun hanya menggunakan masa yang singkat untuk membuat latihan.

“Saya amat berpuas hati dengan kegigihan semua anggota yang menyertai acara perbarisan kali ini dan saya ucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen tinggi mereka dalam memartabatkan nama baik UMS,“ kata Insp.(PB) Rakam Singh.

Dengan kejayaan itu, pasukan UMS membawa pulang sebuah piala, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Tambah Insp Karam lagi, dengan mengambil kira segala kelemahan yang yang sudah dikenal pasti sudah tentu pelbagai usaha akan dilakukan untuk memperbaiki segala kekurangan berkenaan agar boleh mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan UMS khususnya kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Ketua Bahagian Keselamatan, Lt Kol Abdul Talib Ariffin serta Pemangku Pendaftar UMS, No’man Datuk Ahmad kerana telah memberikan kepercayaan yang terbaik kepada pasukan Polis Bantuan UMS untuk mewakili UMS ke perbarisan tersebut.

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL