Mendepani cabaran dalam memperkasa kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan kualiti pendidikan tinggi adalah merupakan salah satu elemen penting dalam memperkukuhkan prestasi organisasi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah jaminan kualiti perkhidmatan dalam organisasi.

Katanya ia melibatkan semua aspek interaksi pelanggan, dari komunikasi awal hingga kepada sokongan selepas perkhidmatan.

“Memberikan perkhidmatan yang konsisten dan berkualiti tinggi adalah refleksi komitmen kita terhadap kecemerlangan dan kepuasan pelanggan.

“Dalam dunia yang semakin kompetitif ini, keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bukan sahaja menjadi pembeza utama, tetapi juga elemen yang membina kepercayaan dan kepuasan pelanggan kita.

“Pembentukan kualiti dalam sesebuah organisasi ini haruslah bermula dengan kesedaran dan kebolehan organisasi sendiri untuk berubah dalam memastikan organisasi berada pada landasan yang memberi impak yang berkesan kepada proses perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti dalam dan luar organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Jaminan Kualiti 2024 anjuran UMS di sini, pada Selasa.

Tambah Kasim, organisasi perlu memahami dengan mendalam berkenaan kepentingan dalam memastikan kualiti perkhidmatan berada pada tahap yang tinggi kerana ini akan memastikan pelanggan berpuas hati dengan pengalaman mereka, yang seterusnya membina kesetiaan.

“Perkhidmatan berkualiti dapat membantu dalam mengurangkan kesilapan, meningkatkan kecekapan, dan mengoptimumkan penggunaan sumber. Jika kita lihat, staf adalah merupakan tulang belakang kepada perkhidmatan kita.

“Latihan dan pembangunan berterusan perlu diberikan kepada mereka bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Komunikasi yang jelas dan proaktif dengan pelanggan dalam memberi maklumat yang tepat pada masanya dan menangani isu-isu dengan segera akan dapat meningkatkan pengalaman keseluruhan pelanggan,” ujarnya.

Persidangan yang julung kali diadakan dengan tema “Kecemerlangan Kualiti Memacu Prestasi Organisasi” itu bertujuan berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan jaminan kualiti akademik dan perkhidmatan, memperkasa pelaksaaan tadbir urus serta menggalakkan jaringan kerjasama pelbagai pihak.

Kira-kira 55 wakil daripada universiti awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan jabatan-jabatan dalaman UMS menghadiri persidangan tersebut.

 

Penganjuran program pengucapan awam seperti Debat Piala Orator (DEBORA) Kali ke-10 anjuran Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan wadah UMS secara berterusan dalam melahirkan siswa-siswi celik berilmu tinggi dan kritis pemikiran.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program seumpama juga mampu membina keyakinan diri pelajar universiti dalam meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan berkomunikasi.

“Program ini juga mampu meningkatkan daya fikiran dan membantu meningkatkan kreativiti siswa-siswi dalam berhujah dan memberikan pandangan.

“Sedekad penganjurannya, DEBORA dilihat telahpun berjaya melahirkan dan memupuk pelajar universiti yang berpotensi tinggi dan berkualiti, baik dari peserta mahupun ahli jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian dan penutupan Pertandingan Akhir DEBORA Kali ke-10 yang berlangsung secara dalam talian menerusi laman rasmi Facebook dan Youtube KKTF.

Kasim turut memaklumkan, penganjuran pertandingan debat pada kali ini telah mendapat penyertaan dari 11 buah Universiti Awam seluruh Malaysia dan 3 buah Kelab Debat dari kolej kediaman UMS sendiri iaitu Kelab Orator Kolej Kediaman Tun Fuad, Kelab Debat Mahasiswa Intelektual Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kelab Seni Orator Kolej Kediaman Tun Pengiran Raffae.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan pendebat iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Pagoh dan pasukan pendebat KKTF yang juga telah mewakili UMS di peringkat akhir pertandingan DEBORA pada tahun ini.”

“Program ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan kerana sentiasa berjaya membuktikan program di bawah penganjuran kolej kediaman juga berupaya mendapat sambutan di peringkat kebangsaan.

“Selama 10 tahun penganjurannya, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) KKTF dapat mengekalkan momentum dan kecemerlangannya dalam melahirkan bakat seni orator dalam kalangan siswa-siswi,” ujar beliau.

Pada pertandingan akhir DEBORA, Pasukan Debat KKTF UMS telah dinobat sebagai johan pertandingan, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1,000, selain pendebat dari pasukan KKTF UMS, Mohamad Fazli Losimin turut terpilih sebagai pendebat terbaik keseluruhan.

Hadir sama secara dalam talian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengetua KKTF, Dr. Abdul Hair Beddu Asis; dan Yang Dipertua JAKMAS KKTF, Mohammad Naufal Jusmin.

 

‘Anak Didik’ Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) cemerlang dalam Kejohanan Akhir Jambatan Cina ke-4 untuk Pelajar Sekolah Rendah Malaysia apabila berjaya menyapu bersih ketiga-tiga hadiah utama bagi kategori pelajar sekolah rendah.

Janice Tsen Yu Xuan dinobat sebagai juara bagi kategori tersebut, manakala Phoebe Chong Zhi Xuen muncul sebagai naib juara, dan Ammar Yusof Izwan merangkul tempat ketiga.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan pelajar dari SJK (C) St. James, Kota Kinabalu telah mengadakan kelas latihan persediaan selama dua minggu bersama CI UMS dengan bantuan guru Jin Jinjin sebagai persiapan menghadapi pertandingan tersebut.

Seorang lagi pelajar dari sekolah sama, Geraldine Amaris Lajawai turut terpilih sebagai penerima Anugerah Pertuturan Terbaik.

Menerusi kejayaan tersebut, Janice Tsen bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan akhir global di China.

Dalam pada itu, Pengarah CI UMS, Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin merakamkan ucapan tahniah atas prestasi cemerlang para pelajar yang mewakili negeri Sabah dalam kejohanan tersebut.

Katanya, CI UMS akan terus menggiatkan usaha memperkenalkan budaya dan bahasa Cina kepada masyarakat tempatan untuk interaksi dan kesejahteraan.

“Usaha institut ini untuk mempromosikan pertandingan Jambatan Cina dalam edisi kali ini serta menyediakan bantuan kepada para peserta telah menarik perhatian dari pelbagai sekolah rendah dan menengah di Sabah.

“Saya percaya hasil bimbingan guru secara teliti serta kerjasama yang erat antara CI UMS dan sekolah tempatan berjaya menjadi pencetus kepada prestasi cemerlang para peserta dari Sabah dalam kejohanan ini,” ujar beliau.

Pertandingan tersebut yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur antara lain merangkumi soal jawab pengetahuan budaya dan bahasa Cina, pengucapan dalam bahasa Cina, persembahan bakat, dan ucapan spontan.

 

Seramai 100 orang peserta telah mengikuti Kursus Sembelihan Halal Perdana 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Bahagian MUIS Halal Hub (Majlis Ugama Islam Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, baru-baru ini.

Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata program itu antara lain bertujuan memberi kesedaran, pendedahan, pengalaman dan latihan berkaitan sembelihan halal kepada peserta yang terlibat.

“Selain itu, kursus penyembelihan biasanya meliputi beberapa aspek penting yang bertujuan untuk memastikan proses penyembelihan dilakukan dengan teknik dan prosedur yang betul, selamat, sejajar dengan tuntutan agama dan undang-undang.

“Alhamdulilah kursus ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang. Semoga tahun hadapan akan dapat diteruskan kursus ini. Saya berharap semua peserta yang terlibat dalam kursus ini dapat menambah pengetahuan dan teknik berkaitan penyembelihan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Hasmadi, penceramah jemputan terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian MUIS Halal Hub (Majlis Ugama Islam Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MUIS Halal Hub, QL Agroventures Sdn. Bhd. dan Desa Plus Sdn. Bhd. yang turut menaja lembu dan ayam bagi tujuan sembelihan oleh para peserta selesai kursus.

Majlis penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan bagi program tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Haji Mohd. Dandan @ Ame Haji Alidin; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Alias Ahmad serta Pegawai-pegawai Kanan Universiti.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjadi sebuah model Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terbukti telah mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan KKP yang telah diiktiraf diperingkat antarabangsa.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas buat UMS di atas pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan KKP sehingga dinobatkan sebagai  pemenang  anugerah  KKP Negara bagi kategori IPT dan sekaligus merangkul kategori CEO.

“Usaha gigih pihak pengurusan UMS dengan kerjasama semua warga UMS telah meningkatkan kesedaran warga UMS tentang kepentingan KKP dalam aktiviti seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OSH Sedunia dan Penutupan Minggu OSH peringkat UMS di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut berharap pencapaian itu akan memberi inspirasi dan contoh kepada IPT awam dan swasta yang lain di Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertubuhan Antarabangsa (ILO) merekodkan sekurang-kurangnya 2.41 bilion pekerja terdedah dengan haba berlebihan di tempat kerja setiap tahun.  

Katanya, setiap  tahun  juga,  terdapat 22.85 juta kecederaan pekerjaan, 18,970 kematian berkaitan kerja yang dikaitkan dengan haba berlebihan.

“Tidak cukup dengan itu, kesan perubahan iklim lain seperti radiasi ultraviolet, peristiwa cuaca ekstrem, pencemaran udara di tempat kerja, penyakit bawaan vektor dan agrokimia juga membawa ancaman kepada kesihatan pekerja.

“Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menggariskan lima kesan kesihatan utama perubahan iklim, iaitu Penyakit berkaitan haba; Penyakit pernafasan; Kesan kesihatan fizikal dan mental;  Penyakit bawaan serangga dan kesan kesihatandisebabkan racun serangga,” katanya.