APK Sains Sukan 2RABU, 03 JUN - Seramai 59 orang pelajar tahun dua program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikuti Karnival Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) baru-baru ini. Kursus berkenaan bertujuan melatih para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan dengan menggunakan kreativiti serta idea-idea yang baru. Menurut Pensyarah Kanan Program Sains Sukan UMS, Mohd Nizam Nazarudin, penerapan sains sukan dalam APK adalah bertujuan untuk mempromosikan ilmu pengetahuan tentang sains sukan yang dilihat terdapat kekurangan dalam pasaran sukan pada masa kini. “Aplikasi sains sukan dalam APK pada tahun ini membolehkan para pelajar dan pengunjung karnival meneroka dan mempelajari sedikit sebanyak komponen-komponen yang ada dalam sains sukan,” ujar beliau. Pada tahun-tahun sebelumnya, APK kebanyakannya dibanjiri dengan jualan makanan, minuman, pakaian, aksesori, kraf tangan dan sebagainya. Antara permainan yang yang dianjurkan pada APK tersebut termasuklah ujian kecergasan, ketangkasan dan masa reaksi antaranya mystery box, golf destination, ‘panahan asmara’, ‘roda impian’ dan headshot bottle. Bagi salah seorang peserta APK, Fredee Jaulis, dengan adanya program yang menawarkan kursus keusahawanan ini para pelajar sains sukan dapat menerapkan ilmu-ilmu sains sukan yang telah dipelajari semasa kuliah ke dalam bidang keusahawanan.–ZMD
Bahagian Media dan Citra
Sumber: HEP

Kesukma UKM 2RABU, 03 JUN - Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma UKM) mengukuhkan lagi kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui lawatan ke universiti di Negeri di Bawah Bayu itu, baru-baru ini. Lawatan Kesukma UKM Bangi yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Hasnan Musa bersama kira-kira 85 ahli itu mengadakan kunjungan kepada Pemangku Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad yang mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah. Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS), Amat Jutrah Musnih mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kesukma UKM kerana memilih UMS sebagai tumpuan utama lawatan mereka. Katanya, hubungan antara UKM dengan UMS memang sudah lama terjalin dalam kalangan pegawai pengurusan mahupun staf pelaksana memandangkan ramai staf yang bertugas di UMS berasal dari UKM Kampus Cawangan Sabah dahulu.Sementara itu, No’man berharap kesemua peserta lawatan bergembira dengan kunjungan mereka ke UMS.

“UMS kaya dengan sumber alam dan ia amat sesuai untuk anda yang benar-benar menghayati alam semula jadi,” ujarnya. Tambah beliau, kunjungan UKM itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mengadakan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan pengurusan, kakitangan mahupun pelajar. Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn

JAKMAS Sri AngkasaSELASA, 02 JUN – Seramai tujuh pelajar daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Kolej Kediaman Seri Angkasa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universitas Diponegoro (UNDIP) Semarang, Jawa Tengah Indonesia baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai oleh Pengetua Kolej, Dr. Teuku Afrizal Anwar itu berangkat ke Jawa Tengah Indonesia pada 28 Mei lalu untuk program selama enam hari. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKMAS Kolej Sri Angkasa, lawatan tersebut mempertemukan delegasi UMS dengan Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) dan Pejabat Perhubungan Antarabangsa Jabatan Reaktor UNDIP.

Kenyataan itu turut menambah lawatan tersebut bertujuan membincangkan isu berkaitan pemasalahan mahasiswa di kampus, sistem organisasi dan kepimpinan pelajar serta saling bertukar pandangan bagi membentuk kewibawaan dan nilai tambah dalam kalangan mahasiswa.

Pada lawatan tersebut juga, rombongan UMS turut dibawa melawat ke sekitar kampus UNDIP yang mempunyai 11 Fakulti serta tempat bersejarah pasca penjajahan kolonial Belanda di sekitar Semarang.

Turut serta dalam rombongan tersebut, Timbalan Pengetua Kolej Sri Angkasa, Ismail Norazman.-ZMD

Bahagian Media dan Citra
Sumber: JAKMAS Sri Angkasa

PRISEMSELASA, 02 JUN - Program Intelegensi Sekolah Menengah (PRISEM) anjuran Exco Akademik dan Kerjaya Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) sertaSekretariat Kolej Kediaman Tun Mustapha Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melabuhkan tirainya baru-baru ini. Pengarah Program, Mohamad Rahim Abdullah berkata, program itu memberi gambaran awal kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. “Program ini juga merupakan salah satu medium untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran dalam mengurus sesuatu acara di samping dapat memperkenalkan UMS kepada pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui di Kolej Tun Mustapha. PRISEM yang dahulunya dikenali sebagai Program Ilmu Seiring Maju (PRISMA) dianjurkan untuk memberi inspirasi kepada pelajar sekolah bagi memberi input kepada pelajar yang terpilih untuk merasai kehidupan di universiti. Salah seorang peserta, Jannah Dee Julian memberitahu penganjuran program tersebut memberi impak yang positif terhadap dirinya. “Dalam program ini saya telah mempelajari bahawa kerjasama dalam kumpulan seperti aktiviti LDK adalah sangat penting untuk mencapai kejayaan yang diingini,” ujarnya yang berkesempatan merasai kehidupan di universiti selama 3 hari 2 malam di Kolej Tun Mustapha. Pada program tersebut, seramai 45 mahasiswa Kolej Kediaman Tun Mustapha dan 30 pelajar sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort, SMK Badin Tuaran, SMK Perempuan Likas, Maktab Sabah, dan SMK Taun Gusi telah mengambil bahagian.Program itu turutmendapat kerjasama bersama daripada Sabah Electricity Sdn. Bhd, Telekom Malaysia (Sabah) dan Majlis Belia Sabah.-ZMD
Bahagian Media dan Citra
Sumber : HEPA