Pasar Malam  EJUMAAT, 29 MEI – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E melalui Exco Keusahawanan sedang mengadakan program pasar malam yang memberi peluang kepada para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketika dihubungi media, Pengarah Program, Norain Amira Riduan berkata pasar malam tersebut diadakan di Padang Kawad UMS bermula 19 Mei lalu dengan penyertaan seramai 45 penggerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman serta produk hasil kreativiti masing-masing. 

“Ini satu peluang untuk pelajar UMS mendapat gambaran yang positif mengenai bidang keusahawan dan saya percaya ia mampu menarik minat pelajar,” katanya. 

Tambah Norain, turut diadakan persembahan busking daripada kumpulan Kelab Akustik Kolej Kediaman E pada setiap malam untuk menghiburkan para pengunjung. 

Pasar malam @ E boleh dikunjungi  setiap hari bermula pada pukul 5.00 petang hingga 9.30 malam.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui talian 0198857526 dan 0145527726 atau melayariwww.pasarmalamkampunge.blogspot.com.–ZMD

Bahagian Media dan Citra

STEM II FPP

KHAMIS, 28 MEI - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mengadakan Program Komuniti Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) II baru-baru ini bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom.
Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, ia merupakan susulan  daripada STEM I yang diadakan di SMK Badin, Tuaran pada awal Mei lalu.
“Program ini dikelola pelajar-pelajar kumpulan 2 Program Pascasiswazah Sarjana Pendidikan bagi memberi peluang pelajar-pelajar luar bandar mengenali lebih dekat serta mengukuhkan pemahaman mengenai STEM,” ujarnya kepada media UMS dalam satu kenyataan.
Katanya, fokus utama aktiviti – aktiviti yang dijalankan adalah menggalakkan percambahan kreativiti pelajar dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membina keyakinan diri untuk memilih STEM sebagai kerjaya.
Beliau memaklumkan seramai 21 pelajar Sarjana Pendidikan Sains, sembilan pelajar prasiswazah Sains Tahun 2  serta 37 pelajar Tingkatan 4 dan 5 jurusan Sains Tulen telah terlibat dalam program tersebut.
“Pelajar Sarjana Pendidikan Sains bertindak sebagai pelaksana dan fasilitator, manakala pelajar prasiswazah menjadi pemerhati dan fasilitator bagi tiga aktiviti STEM yang telah dijalankan.
“Secara keseluruhannya Program STEM II ini telah mencapai objektifnya berdasarkan maklum balas daripada peserta yang majoritinya menyatakan aktiviti program amat menyeronokkan, membantu mereka untuk memahami konsep sains dengan lebih mudah, dan membantu mereka mengaplikasikan konsep yang dipelajari dalam kehidupan seharian,” tambahnya lagi.
Program tersebut turut dihadiri Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Kemabong, Ng Sui Kiang @ Aylwin. –SS

Bahagian Media dan Citra
Sumber: FPP

 

PERMAPPS2KHAMIS, 28 MEI - Persatuan Mahasiswa Psikologi, Pendidikan dan Sains Sukan (PERMAPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan program ‘Lambaian Menara Gading’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program, Dayang Norlisa Datu Harun, program motivasi selama dua hari itu telah disertai 95 pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah berkenaan. 

“Kami berkongsi kepentingan pendidikan dan pengalaman belajar di UMS bersama adik-adik di sekolah ini dan berharap perkongsian tersebut dapat menjadi penyuntik semangat buat mereka untuk meneruskan pengajian nanti,” katanya ketika ditemui media. 

Terdahulu, Pengetua SMK Beaufort 3, Roslinah Suhailin ketika merasmikan program tersebut berkata pihaknya berharap kolaborasi program motivasi antara sekolah berkenaan dan UMS akan berterusan.

“Program ini sangat bermanfaat dan menyuntik semangat para pelajar sekolah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat pengajian tinggi,” ujarnya. 

Turut hadir, Ketua Program Pendidikan dengan Sains Sosial UMS, Dr. Dayang Norizah Ag. Kiflee.-ZMD

Bahagian Media dan Citra
Sumber: HEP

kokum kal

KHAMIS, 28 MEI - Penglibatan mahasiswa dalam Karnival Kokurikulum mampu membentuk diri menjadi individu yang mempunyai keperibadian yang unggul.
Timbalan Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Prof. Madya Dr. Geoffery Harvey Tanakinjal berkata, hal ini adalah selaras dengan dasar pendidikan tinggi negara untuk melahirkan masyarakat Malaysia dan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. 
Beliau berkata dengan itu matlamat negara untuk mewujudkan siswazah yang tidak sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan kemakmuran negara, sedikit sebanyak akan dapat diperolehi melalui pelaksanaan Karnival Kokurikulum ini dan secara tidak langsung dapat membentuk dan menyediakan tuntutan pasaran kerja masa kini.
“Melalui aktiviti ini, saya percaya pelajar akan dapat mengamati, menghayati, menganalisis dan menyelesaikan sesuatu masalah melalui pendekatan yang lebih sesuai dan wajar dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Proses pembelajaran ini akan menjadikan mereka lebih rasional terhadap sesuatu perkara yang dilalui di samping menjadikan pelajar lebih dinamik dan berwibawa,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik merasmikan Karnival Kokurikulum Semester 2 Sesi 2014/2015 UMSKAL. –SS

 

Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn

 

kanser tulang umsRABU, 27 MEI- “Hargailah apa yang kamu ada, jangan pernah melepaskannya, kerana saat kamu melepaskannya, ada orang lain yang sedang menangis mencarinya, maka itu berusahalah selagi kamu diberikan peluang.”

Demikian kata-kata Rohany Gabi, pelajar program Sejarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS yang menderita Kanser Tulang tahap akhir selama hampir 10 tahun.

Beliau berpesan agar para pelajar perlu  memanfaatkan kesihatan yang ada dengan aktiviti berfaedah seperti menuntut ilmu dan mengelakkan aktiviti yang sia-sia.

“Sejujurnya saya merasa sedih apabila ramai orang yang sempurna, ada ibu bapa, sihat tubuh badan tetapi tidak terlalu menghargai kesempurnaan itu,” tambahnya lagi.

Anak kelahiran Keningau itu disahkan menghidap tahap akhir Kanser Tulang ketika beliau berusia 12 tahun.

Beliau yang disahkan tidak mempunyai harapan oleh doktor kemudiannya terpaksa menjalani pembedahan membuang tulang paha sepanjang 26 sentimeter dan diberi rawatan kemoterapi sebanyak 10 pusingan.  

Selama menghidap penyakit tersebut, beliau turut berhadapan dengan pelbagai cabaran memilukan termasuk pemergian ayah kesayangan kerana terlibat dalam kemalangan di tempat kerja ketika Rohany berumur 14 tahun.

Dalam masa sama, penyakit kansernya turut merebak ke paru-paru serta mengalami kesedihan berganda apabila seorang abangnya turut meninggal dunia dalam satu musibah.

Sering menjadi bahan ejekan dan dipinggirkan rakan-rakan sekolah, semua itu tidak pernah menghalang Rohany untuk kekal positif dalam mendepani penyakit yang amat digeruni itu.

“Pada tahun 2013, saya bersyukur kepada Tuhan atas keajaiban yang diberikan-Nya apabila doktor mengesahkan sel-sel kanser di paru-paru telah hilang dengan sendiri dan saya juga disahkan bebas sepenuhnya daripada kanser tulang,” ujarnya yang turut menjalani pembedahan lebih daripada 10 kali sepanjang tempoh rawatan. -SS

.be" style="font-family: Arial, 'Arial Unicode MS', Helvetica, sans-serif; text-align: justify; line-height: 16.25px; text-decoration: none; color: #949669; font-size: 13px;">
.be


Bahagian Media dan Citra