transformasi sssRABU, 27 NOVEMBER - Penganjuran Persidangan Transformasi Sosial 2013 sangat bertepatan dengan masa dan usaha pihak kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk memajukan dan mensejahterakan kehidupan komuniti luar bandar secara lestari demi mencapai Wawasan 2020.
 
Demikian ucapan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, ketika merasmikan Persidangan Transformasi Sosial Kebangsaan 2013 anjuran Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan (UPEP), Sekolah Sains Sosial (SSS) UMS, pagi tadi.
 
Menurut beliau, isu perubahan dalam sesebuah sistem sosial masyarakat dan organisasi formal merupakan sesuatu yang sukar diterima secara langsung dan segera oleh ahli-ahli dalam sesebuah komuniti dan organisasi.
 
“Justeru, memberi kefahaman yang berterusan kepada ahli-ahli komuniti dan ahli-ahli organisasi terhadap objektif dan mekanisme pembangunan yang hendak dilaksanakan merupakan komitmen kerajaan yang utama dan berterusan agar ia mampu dilaksanakan jayanya,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri N35 Melalap itu lagi.
 
Katanya, peranan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti UMS bersama agensi pembangunan kerajaan dan swasta berhubung perkara ini amat penting khususnya dalam pelaksanaan kerjasama penyelidikan mengenai transformasi sosial di Malaysia khususnya di Sabah.
 
“Saya yakin data-data dan penemuan hasil kajian baharu, penilaian dan cadangan yang konstruktif boleh dikongsi bersama pada persidangan ini sekali gus mengatasi pelbagai bentuk cabaran dan limitasi yang dihadapi oleh semua pihak yang mampu menghalang kejayaan program pembangunan luar bandar,” jelas Datuk Radin.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, tema Transformasi Sosial: Kelestarian Pembangunan dan Komuniti Mencapai Wawasan dipilih bagi memastikan hasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tercapai.

“Persidangan ini diharapkan boleh menjadi sebagai medan kepada para ilmuan akademik dan juga para ahli pembangunan untuk membincangkan cabaran-cabaran terkini yang menghambat Wawasan 2020 secara langsung atau pun tidak, terutamanya melalui penulisan hasil-hasil kajian di dalam jurnal dan pembentangan kertas kerja,” katanya. 
 
Tambah beliau, persidangan itu akan menitikberatkan isu yang dihadapi oleh komuniti luar bandar dan komuniti bandar yang terpinggir dan miskin.
 
“Ini kerana, tahap pembangunan dan kesejahteraan hidup komuniti luar bandar merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada maju atau mundurnya sesebuah transformasi pembangunan negara,” ujar Datuk Dr. Harun.

Hadir sama, Dekan SSS, Datuk Mohd Hamdan Hj Adnan, Pengerusi Penganjur Program berkenaan, Prof Madya Dr. Rosazman Hussin dan pembentang jemputan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. –SS
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 

Car boot sale speRABU, 27 NOVEMBER – Cuaca terik tidak menghalang para pengunjung untuk hadir memeriahkan Car Boot Sale yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE), Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
 
Tinjauan media Canselori setakat jam 11.00 pagi tadi menyaksikan program anjuran sekolah itu melalui Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKRSPE) nyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada kakitangan dan siswa-siswi UMS.
 
Antara barangan yang diniagakan termasuklah buku-buku, peralatan sukan, pakaian-pakaian terpakai selain buah-buahan tempatan seperti durian.
 
Wakil penganjur, Amer Azlan Abdul Jamal ketika ditemui berkata, program tersebut bukan sahaja dibuka kepada warga UMS malah turut mempelawa masyarakat sekitar untuk sama-sama berniaga daripada kereta masing-masing.
 
Tambah beliau, sejak pukul 8.00 pagi, hampir 500 orang telah mengunjungi tapak perniagaan yang menyajikan pelbagai barangan yang dijual pada kadar harga yang murah dan berpatutan.
 
“Atas sambutan yang di luar jangkaan ini, pada tahun hadapan kita merancang untuk mengadakan program ini secara dua kali setahun,” ujarnya yang juga merupakan pensyarah di sekolah berkenaan.
 
Dalam pada itu, Presiden KKRSPE, Tauffeck Hj. Guntok pula berkata, penganjuran Car Boot Sale bertujuan untuk melatih siswa-siswi dan kakitangan dalam bidang keusahawanan.
 
Ujarnya, sebanyak 26 kereta telah mengambil bahagian untuk menjual barangan masing-masing termasuk beberapa syarikat luar seperti Nestle dan Maggie.
 
Seorang kakitangan akademik, Abdul Latif Lai, turut menyatakan usaha penganjuran program itu adalah sangat baik.
 
Katanya, selain menerapkan budaya keusahawan khususnya dalam kalangan siswa siswi,  ia juga sebagai medan untuk membantu mereka yang memerlukan untuk mendapatkan barangan yang menepati citarasa dan keperluan pada harga yang cukup murah.
 
“Sehingga jam 10.00 pagi tadi, saya telah berjaya menjual 80% daripada barangan rumah yang kini kurang diperlukan. Daripada tidak digunakan, lebih baik kita jual untuk mereka yang memerlukan dengan harga yang jauh di bawah harga pasaran,” jelas beliau yang buat pertama kalinya menyertai program itu. -SS
 
 
 
Bahagian Media
Jabatan Canselori

anugerah pascaRABU, 27 NOVEMBER – Mengaplikasi ilmu yang dikutip daripada hasil penyelidikan dan penulisan tesis yang baik penting bagi menyumbang perkembangan berimpak tinggi kepada masyarakat.
 
“Kemajuan sesebuah negara bukan dilihat sepenuhnya kepada hasil ekonomi yang banyak tetapi sejauh mana rakyat dan pemimpinnya membudayakan kehidupan berteraskan ilmu yang meliputi segenap aspek,” tegas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun bin Abdullah ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pascasiswazah di Auditorium Pascasiswazah, UMS semalam.
 
“Sejarah banyak membuktikan betapa nilai keilmuan yang tinggi menjadi pencetus kepada ketamadunan sesuatu bangsa dan negara,” tambah beliau yang turut menyampaikan anugerah utama kepada pelajar pascasiswazah cemerlang dan penyelia terbaik.
 
Pada majlis tersebut, seramai 65 pelajar menerima anugerah, iaitu Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang, Tesis Terbaik Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D), Pelajar Terbaik Kerja Kursus, Penyelia Terbaik dan Anugerah Aspirasi Pascasiswazah.
 
Dr Humin Jusilin dari Sekolah Pengajian Seni (SPS) merangkul dua anugerah utama iaitu Pelajar Cemerlang gugusan sastera (secara penyelidikan) dan Tesis Terbaik Ph.D (gugusan Sastera). Kejayaan Dr Humin turut dikongsi oleh penyelia tesis beliau, Prof. Madya Dr Ismail Ibrahim, Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) yang merangkul anugerah Penyelia Terbaik Gugusan Sastera.
 
Lain-lain penerima anugerah adalah Dr. William Kasapila dari Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP) bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Gugusan Sains (Secara Penyelidikan), Dolorine Miting dari SPPS bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Gugusan Sastera (Secara Kerja Kursus), dan Dr Takashi Kamada dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) bagi Anugerah Tesis Terbaik Gugusan Sains (PhD).
 
Siew Zhan Wei dari Sekolah Kejuruteraan Dan Teknologi Maklumat (SKTM) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tesis Terbaik Gugusan Sains (Sarjana), manakala kategori Gugusan Sastera dimenangi oleh Chua Yee Chi dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS). Kenneth Teo dari SKTM turut terpilih sebagai penyelia terbaik bagi kategori gugusan sains. -CD-


Bahagian Media
Jabatan Canselori

konvo guruRABU, 27 NOVEMEBR - Ilmu adalah penyuluh hidup. Tiada sempadan masa bagi individu yang ingin mencari dan menuntut ilmu. Sejajar dengan matlamat tersebut, Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mewujudkan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) bagi memberi peluang kepada guru besar atau pengurus sekolah melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
 
Peluang yang diberikan ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan memberikan “peluang kedua” bagi guru-guru besar yang dahulunya ‘terlepas peluang’ melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi agar tahap pendidikan dan keilmuan mereka meningkat.
 
PKPGB yang diwujudkan pada tahun 2005 telah banyak membantu guru besar mendapat ijazah dan sehingga tahun 2013, sebanyak 188 guru besar telah bergraduat.
 
Pada Majlis Konvokesyen UMS ke-15 menyaksikan 33 guru besar menerima Ijazah Sarjana Muda yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun bin Abdullah.
 
Menurut Dekan SPPS, Prof. Madya Dr Ismail Ibrahim, PKPBG bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pengetahuan guru besar, bahkan ia dapat mendorong peningkatan pengetahuan kandungan dan epistemologi pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan dalam sesebuah organisasi pendidikan.
 
“Hasil daripada program ini, guru besar atau pengurus sekolah dapat menaik taraf kerjaya mereka agar kompetitif dengan pembangunan pendidikan serta relevan mengikut peredaran teknologi dan maklumat yang sentiasa bergerak pantas,” tambah Dr Ismail ketika ditemui Media Canselori.
 
Beliau turut berharap agar PKPGB dapat meningkatkan ilmu kepada guru besar, seterusnya impak daripada program ini ialah peningkatan gred perkhidmatan yang lebih baik akan dikecapi oleh semua guru besar yang bergraduat. -CD-


Bahagian Media
Jabatan Canselori

Konvo webSABTU, 23 NOVEMBER - Seramai 4,553 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraihkan pada Majlis Konvokesyen ke-15 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan ijazah kepada 447 graduan pada sidang pertama pagi tadi, manakala sebanyak 452 graduan menerima ijazah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman merangkap Pro-Canselor UMS pada sidang kedua, di sebelah petang.

Selebihnya akan menerima ijazah masing-masing pada sidang ketiga hingga keenam yang bersambung esok dan berakhir pada Isnin.

Semasa merasmikan sidang pertama hari ini, Tun Hj. Juhar berkata, gelanggang persaingan yang ada di depan mata hendaklah diisi dengan keyakinan, pengetahuan dan kemahiran. Katanya, banyak usaha telah diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan dan universiti-universiti awam dengan memberi penekanan dalam meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan memperhebatkan lagi program-program bagi melengkapkan siswazah dengan nilai tambah.

“Salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah kemahiran insaniah. Saya percaya, kemahiran insaniah adalah antara isu yang menjadi fokus utama dalam pengajian di universiti-universiti tempatan, sama ada secara langsung ataupun tidak,” ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, situasi global pasaran kerja pada masa kini memperlihatkan para majikan bukan sahaja memerlukan pekerja yang mempunyai kelayakan akademik semata-mata, bahkan menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, menyelesaikan masalah, kepemimpinan, pengurusan selain bijak dan memiliki kebolehan berfikir, bertindak secara tuntas, pantas dan praktikal.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Datuk Abdul Hamid Egoh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) di samping penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor UMS, Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut mendapat gelaran Profesor Emeritus ialah bekas Pensyarah Sejarah, Sekolah Sains Sosial UMS, Prof. Dr. Sabihah Osman yang tidak berkesempatan hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika berucap dalam sidang kedua menasihatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu sebagai pembudayaan hidup ke arah kebaikan sejagat.

"Ilmu adalah cahaya dalam memberi sinar penunjuk jalan buat menemani hidup yang fana di atas pentas dunia yang bersifat sementara ini. Marilah kita sama-sama mengharungi kesempatan hidup untuk mengamalkan kebaikan sebagai pembentuk citra beradab, sopan santun, saling memahami, menerima kekurangan adalah bukti kesempurnaan ciptaan Tuhan lambang kerendahan hati sebagai orang yang berilmu,” katanya lagi.

Turut hadir, Pro-Canselor UMS, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Yeoh Ting Lay dan Pegawai-pegawai Utama UMS. -SS


Bahagian Media
Jabatan Canselori
 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.