ISNIN, 23 SEPTEMBER - Pasukan Robotik Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai pemenang tempat ketiga pada kejohanan University Robot Competitions: Kingdom of Champions (U-ROCK 2019) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) di Arau, Perlis pada 21 – 22 September 2019.

Pasukan UMS telah memberikan saingan sengit terhadap 28 pasukan yang bertanding sekali gus berjaya meraih hadiah berupa wang RM1,500, piala dan sijil penyertaan.

Kejayaan tersebut diterjemahkan oleh pelajar tahun 2 Fakulti Kejuruteraan yang dibarisi oleh Tiong Lin Rui, Ong Tun Yau, Nur Faeza Farhana Anggu, Mohd Nur Syafiq Noor, Rahmat Hidayat Arifai, Lee Kin Wai, Soh Chia Seng dan Stanley Ka.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian yang disifatkannya amat memberangsangkan apatah lagi ia merupakan penyertaan buat julung kalinya dalam pertandingan tersebut.

“Kejayaan ini sudah pasti memberi dorongan dan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meraih pelbagai kejayaan lain pada masa akan datang.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pelajar serta Penyelaras Projek, Prof. Madya Ir. Dr. Muralindran Mariappan dan Pengurus Pasukan, Dr. Khong Wei Leong atas usaha dan tungkus-lumus bagi menzahirkan pencapaian yang membanggakan ini,” katanya.

Kejohanan selama dua hari itu itu menyaksikan pasukan UNIMAP A dan UNIMAP B masing-masing muncul sebagai johan dan naib johan.


RABU, 25 SEPT - Pusat Pengurusan EcoCampus (EcoCampus) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah proaktif mengatasi masalah pencemaran plastik dengan menggunakan cara Kitar Semula Tambah Nilai dalam menyahut tuntutan model Ekonomi Pekeliling.

Ekonomi Pekeliling merupakan model ekonomi di mana nilai produk dan bahan dikekalkan dalam pasaran selama yang mungkin menerusi penambahan dan pembaharuan nilai produk dan bahan tanpa pembuangan sisa mahupun penghasilan semula bahan asas.

Langkah proaktif tersebut merupakan kerjasama diantara pihak EcoCampus UMS bersama Persatuan Farmasi Sabah (SPS) serta rakan industri, Upcycled Shack.

Menurut Timbalan Pengarah EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee, sepasukan pelajar UMS telah berjaya menjalankan projek ‘upcycling’ sisa plastik sekali guna untuk dijadikan medal sebagai saguhati sempena acara World Pharmacists Day 2019 Plog Run yang akan diadakan pada 28 September 2019 di Taman Teluk Likas.

Tambah beliau, projek yang bermula pada bulan Jun lalu itu telah mengumpulkan lebih 350 bekas plastik sekali guna (kod 6) dan daripada jumlah tersebut mereka berjaya menghasilkan 300 keping medal melalui proses pembakaran dalam ketuhar.

“Kejayaan projek ekonomi pekeliling menggunakan cara Kitar Semula Tambah Nilai yang julung kali direalisasikan oleh UMS ini amat bermakna dan penting sebagai titik tolak dalam merancakkan projek seumpama itu pada masa akan datang dengan merangkumi skop penglibatan dan impak sosial yang lebih besar,”ujarnya pada Majlis Penyerahan Bahan Kitar Semula Tambah Nilai itu, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Presiden SPS, Hiew Chui Li berkata, pembelian 300 keping medal daripada Kumpulan Pelajar EcoCampus UMS itu akan menjadi satu kelainan pada acara larian anjuran SPS memandangkan corak dan reka bentuk medal tersebut merupakan idea asal kumpulan pelajar berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi UMS), Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan Pengurus Upcycled Shack, Tressie Yap. 

Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah turut menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM 900 yang diserahkan kepada Kumpulan Pelajar EcoCampus UMS oleh SPS.

RABU, 25 SEPT - REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited (RESPOL) menganjurkan bengkel kerjaya untuk pelajar-pelajar tahun akhir dan tahun pertama jurusan kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat kali ketiga, kelmarin.

Menurut Pengurus Kanan REPSOL, Dayangku Marianah Pengiran Mahmuddin, penganjuran bengkel tersebut adalah salah satu cara pihaknya menyumbang semula kepada masyarakat dengan memfokuskan kepada bidang keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan.

“Dalam bidang pendidikan, kami membina bakat-bakat muda generasi kini melalui program biasiswa REPSOL yang telah mula dilancarkan pada tahun 2008. Kami memulakan tajaan biasiswa dengan tiga universiti iaitu Universiti Teknologi Mara (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dana Universiti Malaysia (UM).

“UMS mula menjadi rakan strategik REPSOL pada tahun 2014 diikuti dengan menandatangani perjanjian persefahaman pada tahun yang sama, dengan objektif untuk memanfaatkan bakat muda yang ada di Sabah,” ujar beliau.

Merasmikan bengkel tesebut, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan ilmu yang dikongsikan oleh para penceramah.

“Pada saya, program ini adalah satu peluang pemperoleh ilmu, berkongsi idea, duduk bersama untuk membincangkan isu-isu etika dalam kerjaya dan perniagaan yang saya yakin amat berguna kepada para pelajar terutama apabila masuk ke alam kerjaya kelak,” katanya dalam teks ucapan yang dibcakan oleh Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Marcus Jopony.

Tambah beliau, permasalahan atau konflik di tempat kerja juga sering melibatkan isu etika, yang mana jika sesorang pekerja memegang nilai etika yang positif, ia cenderung untuk menjadi pekerja yang baik, berprestasi cemerlang dan memberi impak yang positif kepada organisasi.

“Adalah menjadi  tanggungjawab anda untuk memastikan ciri-ciri etika dalam pekerjaan atau kerjaya yang dipilih itu menepati landasan moral dan etika agama sebaik-baiknya. Ingatlah ilmu itu makanan jiwa, namun ilmu tanpa etika dan adab pasti akan binasa,” tambahnya.

Kira-kira 300 peserta menyertai bengkel tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Penasihat Perhubungan Kerajaan dan Komuniti (Sabah/Labuan) REPSOL, Datuk Eddie Abdullah dan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Lai Yew Ming.

 

SELASA, 24 SEPTEMBER – Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) cemerlang dalam penyertaan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor apabila reka cipta mereka berjaya merangkul lima emas, lima perak dan dua gangsa.

Menurut kenyataan dari  Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UMS, lima reka cipta yang merangkul emas tersebut adalah rekacipta bertajuk “RTFaceDeep: A Real Time Multiple Faces Recognition for Video Surveillance Using a Deep Learning Architecture” oleh Prof. Madya Dr. Rayner Alfred dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), “DeColourAR: An Augmented Reality Colouring Book for UMS Aquarium and Marine Museum” oleh Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng juga dari FKI, dan“UMS Eco-Solar Dryer oleh Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ).

Dua lagi pingat emas diraih melalui dua penyelidik dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS iaitu Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dengan penyelidikan bertajuk “Trichogreen™: Valorizing Wastes” dan Dr. Nur Athirah Yusof - “Strategies for Soluble Protein Production in E. Coli Using a Psychrophilic Co-Chaperone Expression System”.

“Ini satu pencapaian yang cemerlang kerana UMS yang diwakili delegasi seramai 10 penyelidik yang diketuai Timbalan Pengarah (Inovasi), PPPI Prof. Madya Dr. Homathevi Rahman, membawa sebanyak 12 reka cipta untuk dipertandingkan pada persidangan tersebut dan semuanya telah meraih pingat,” demikian menurut kenyataan tersebut.

PECIPTA 2019 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama UTHM yang berlangsung selama dua hari merupakan program dwitahunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan produk-produk inovasi institusi pendidikan tinggi dan mencipta peluang kolaborasi bersama industri.

Tamat

 

PENERANGAN GAMBAR:

Gambar 1: Penyelidik-penyelidik UMS yang berjaya merangkul medal di PECIPTA 2019

Gambar 2: Delegasi UMS ke PECIPTA 2019

Gambar 3: Penyelidik UMS bersama reka cipta mereka  di ruang pameran penyelidikan.

 

SELASA, 24 SEPTEMBER - Anggota Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertugas di kawasan luar bangunan sekitar kampus UMS dibekalkan Topeng N95 khusus bagi pencegahan jerebu sebagai langkah keselamatan bagi menghadapi cuaca berjerebu tidak sihat yang melanda udara di kawasan Kota Kinabalu pada ketika ini.

Penyerahan topeng tersebut disempurnakan oleh Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof dalam satu acara yang berlangsung di perkarangan pondok pengawal pintu utama UMS baru-baru ini.

Menurut Vina, topeng tersebut dibekalkan kepada anggota keselamatan yang bertugas di kawasan yang berpotensi terdedah kepada pencemaran udara.

“Dianggarkan seramai 60 anggota keselamatan yang bertugas berpotensi terdedah kepada jerebu antaranya pintu utama dan pintu kedua UMS, kawasan pantai ODEC UMS, kolej kediaman dan bangunan-bangunan jabatan dan fakulti di UMS,” katanya.

Hadir sama pada acara tersebut Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman; Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Norti Sirin; dan Ketua Bahagian Keselamatan, Lt. Kol Abdul Talib Arifin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.