Sempena bulan Ramadan tahun 2023/1444H, Pusat Alumni dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) bergabung tenaga menyediakan 300 hingga 350 pek juadah iftar setiap hari Jumaat sempena program Berkongsi Rezeki Ramadan.

Pek juadah iftar ini diagihkan secara percuma kepada para pelajar UMS yang berada di sekitar kampus.

Dalam program tersebut, kakitangan Pusat Alumni serta ahli-ahli UMS 4WDVC bergotong-royong memasak bagi menyediakan juadah bermula dari pukul 2.00 petang sehingga waktu berbuka.

Pengarah Pusat Alumni, Dr. Arif Kamisan Pusiran berkata, program diadakan setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan dengan menyasarkan para pelajar UMS.

“Kami berharap dengan penganjuran program ini sedikit sebanyak dapat berkongsi rezeki selain membantu sebahagian pelajar mendapatkan juadah berbuka puasa secara percuma.

“Program julung kali ini membabitkan aktiviti menyediakan pek juadah berbuka, air dan kurma hasil sumbangan daripada alumni UMS serta syarikat swasta dan pihak penganjur bercadang untuk meneruskan program ini di masa hadapan ekoran sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar.

“Para pelajar juga menyambut baik inisiatif yang diadakan oleh pihak penganjur untuk menyediakan juadah berbuka secara percuma selain menjimatkan perbelanjaan pembelian juadah harian mereka,” katanya yang juga Pengarah Projek Berkongsi Rezeki Ramadan 2023.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Samasudin Hj.Yusop; Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin, serta Presiden UMS 4WDVC, Prof. Dr. Shahril Yusof turut sama mengagih-agihkan pek juadah iftar Ramadan.

 

Persidangan Kualiti Hidup Borneo kali Ke-3 bakal diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 23 hingga 26 Mei depan.

Persidangan yang bertemakan ‘Kehidupan Berkualiti Untuk Semua’ itu turut dijalankan secara dalam talian bagi memudahkan peserta seluruh dunia menyertainya.

Menurut kenyataan UMS berkata, Persidangan itu akan menghimpunkan cendekiawan, pengamal, dan individu untuk membincangkan cara meningkatkan kualiti hidup di rantau ini.

Katanya, Persidangan itu merangkumi pelbagai topik berkaitan kualiti hidup, termasuk isu kelaparan, keselamatan makanan, pertanian mampan, penyakit tidak berjangkit, kemiskinan, pendidikan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Persidangan ini akan mengubah pemikiran bagi sesiapa yang berminat untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan di rantau ini.

“Barisan penceramah termasuklah Profesor Datuk Taufiq Yap Yun Hin, Profesor Dilip V. Jeste, dan Dr Ravivarma Rao Panirselvam,” katanya.

Katanya, ia juga merupakan peluang untuk berkumpul berkongsi pengetahuan dan pengalaman, bekerjasama serta membentuk komuniti dalam membuat perubahan positif di dunia.

“Pendaftaran persidangan ini dibuka sekarang dan sebarang maklumat boleh rujuk di laman web persidangan https://bqolc.ums.edu.my/,” katanya.

 

 

 

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Iftar Perdana @UMS yang diadakan di Pusat Islam UMS malam tadi.

Pada majlis itu, Juhar yang juga merupakan Canselor UMS bersama-sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyaksikan penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM34,500.00 oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada UMS.

Sumbangan zakat tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Agihan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Ustaz Saffruddin Manshuruddin kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Juhar turut menyaksikan acara penyerahan zakat wakalah Bank Islam Berhad berjumlah RM40,000.00 kepada UMS yang disampaikan oleh Pengarah Bank Islam Negeri Sabah, Nona Baria Sarudin.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada wakil pelajar dan wakil kakitangan UMS yang layak.

Sejumlah 1,198 pelajar dan 24 orang kakitangan UMS layak menerima agihan zakat tersebut, dengan bantuan zakat pelajar daripada golongan asnaf merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, yuran asrama, dan bantuan untuk menjalani latihan industri.

Hadirin pada majlis tersebut kemudian mendengar sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Datuk Haji Abdul Manap Haji Lakaribah, sebelum berbuka puasa selepas berkumandangnya azan tepat jam 6.26 petang.

Juhar kemudian menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih di Masjid UMS bersama kira-kira 300 kakitangan dan pelajar UMS.

 

Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Bengkel Semakan HIRARC Kluster Kolej Kediaman sebagai langkah awal dalam memastikan sebarang risiko keselamatan di kolej kediaman UMS dapat dikenal pasti.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, semakan terhadap HIRARC (Hazard Identification , Risk Assessment and Risk Control) adalah penting bagi mengenal pasti bahaya dan cadangan langkah kawalan bahaya tersebut.

“Selain itu, bengkel ini juga diadakan bagi mengenal pasti, mengurus dan mengurangkan sebarang risiko yang terdedah di kolej kediaman, di samping memberi kefahaman dan latihan kepada kakitangan dalam menyediakan dokumen HIRARC.

“Usaha ini sekali gus dapat mengurangkan risiko dalam kalangan pelajar terutamanya yang tinggal di kolej kediaman dan seterusnya meningkatkan kualiti terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kediaman pelajar,” katanya.

Hasmi turut menyampaikan penghargaan kepada Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) yang diketuai oleh pengarahnya,  Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman yang hadir untuk memberi bimbingan kepada kakitangan PNRF khususnya dalam penyediaan dokumen HIRARC.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Bilik Seminar, Pusat Islam itu dihadiri lebih 15 orang warga perumahan pelajar yang terdiri daripada Pengetua, Timbalan Pengetua, kakitangan pengurusan Kolej Kediaman dan kakitangan PNRF sendiri.

 

Seramai 39 peserta mengambil bahagian pada Festival Kesenian Islam 2023 (FKI'23) peringkat Kebangsaan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kesemua peserta terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah, serta pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Program yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Serbaguna KKTF dirasmikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, kelmarin.

Menurut Dr. Kasim, penganjuran FKI’23 amat signifikan dengan keperluan generasi pada masa ini.

“Program ini memberi pendedahan meluas mengenai kesenian dalam Islam merangkumi pelbagai aspek seperti seni suara, pertahanan diri, sukan, tulisan dan sebagainya.

“Program kerohanian seperti ini juga membuka peluang kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dengan Islam dan menambah ilmu seni kebudayaan Islam.

“Ia juga merupakan platform bagi membincangkan hal-hal berkaitan isu agama yang dihadapi oleh generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar,” katanya.

Dr. Kasim turut mengalu-alukan penganjuran program tersebut yang disifatkannya mampu menerapkan seni warisan Islam dalam institusi masyarakat.

“Saya sangat mengalu-alu program seumpama ini dan berharap penganjurannya akan terus berkesinambungan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Nurhikmah Kasiran ketika dihubungi berkata, sebanyak enam pengisian telah diadakan sepanjang FKI’23.

“Antaranya, pertandingan Tilawah al-Quran, laungan azan, seni khat, pidato umum, sirah nabi dan acara ‘merewang’ memasak bubur lambuk.

“Kita juga telah mengadakan Quran Hour secara hibrid sempena Nuzul Al-Quran pada 8 April 2023,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Raffie Hj. Janau; dan Pengetua KKTF, Dr. Khair Beddu Asis.