SELASA, 13 OGOS – Sejumlah tujuh ekor lembu dikorbankan bersempena dengan Majlis Ibadah Korban dan Akikah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Perkarangan Masjid UMS, pagi tadi.

Menurut Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul, Pusat Islam UMS telah diamanahkan untuk melaksanakan ibadah korban bagi 10 ekor lembu pada tahun ini, dengan dua ekor telah disumbangkan ke kawasan yang lebih memerlukan di Kota Marudu.

“Manakala seekor lembu hasil sumbangan Pusat Islam sendiri telah disembelih sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tujuan jamuan sempena acara ibadah korban yang telah menjadi tradisi di UMS setiap tahun.

“Objektif penganjuran program ini adalah bagi warga UMS bersama-sama untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan baik daripada UMS mahupun kepada masyarakat di luar UMS, selain bagi melaksanakan syiar Islam sebagai lambang perpaduan dan kesatuan umat Islam khususnya dalam kalangan warga UMS,” katanya ketika ditemui media pada acara tersebut.

Tambah Dr. Sarip, daging korban yang telah siap dilapah akan diagihkan kepada kakitangan UMS yang berkelayakan serta masyarakat sekitar UMS.

Pada program tersebut, lebih 60 kakitangan universiti termasuk ahli Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS) telah terlibat membantu dan menjayakan kerja-kerja penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban. 

 

 

SELASA, 13 OGOS - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA) dan Persatuan Pelajar Perubatan UMS (MEDSTAS) menganjurkan program Healthy Heart Run sempena Hari Jantung Sedunia 2019 pada 29 September ini.

Pengarah acara larian itu, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, Healthy Heart Run bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyakit kardiovaskular (CVD), termasuk penyakit jantung dan strok, yang merupakan punca utama kematian 17.5 juta nyawa setiap tahun di seluruh dunia. 

“Penganjuran acara ini juga merupakan satu usaha menggalakkan penyertaan anggota masyarakat khususnya pelajar supaya bersama-sama bertanggungjawab dalam usaha menerapkan gaya hidup sihat sekali gus menyumbang ke arah pencegahan terhadap penyakit kardiovaskular.  

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-19 sambutan Hari Jantung Sedunia yang menyaksikan tema yang berbeza akan dipilih pada setiap tahun untuk mempromosikan langkah pencegahan yang berbeza dan perubahan dalam gaya hidup bagi menghindari penyakit ini. 

“Pada tahun ini, Hari Jantung Sedunia 2019 membawa tema, Jantung Ku, Jantung Mu,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.  Prof. Dr. Mohammad Saffree yang juga Dekan FPSK berkata, antara aktiviti yang diadakan dalam acara tersebut termasuklah larian 3 km (Fun Run), larian 6 km dan 10 km.  

Selain daripada itu katanya, turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, senaman Zumba, pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan asas. 

“Pemenang bagi setiap kategori iaitu 6 km dan 10 km masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.  

“Selain daripada itu, basikal Mountain Bike yang merupakan hadiah utama cabutan bertuah juga bakal menjadi rebutan peserta,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dipelawa untuk mendaftar bagi menyertai program Healthy Heart Run 2019 melalui pautan https://forms.gle/pCDqELUdM8ptXf1Y7

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Rina Norgainathai di talian 0165181023 atau Marilyn Jane Yong di talian 0122437701.

RABU, 7 OGOS - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Emerald Review Writing Competition  bertempat di Bilik Multimedia Perpustakaan hari ini.

Pertandingan itu antara lain bertujuan untuk mempelbagaikan kegunaan sumber rujukan yang dilanggan oleh UMS dalam pangkalan data Emerald serta memberikan kemahiran membuat semakan artikel (review article) kepada peserta. 

Dalam masa sama pertandingan itu juga bagi meningkatkan keyakinan dan kemahiran penulisan peserta serta memastikan pihak pembekal atau penerbit memberikan perkhidmatan selepas jualan seperti yang dijanjikan.

Seramai 15 peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada pensyarah fakulti dan pelajar pascasiswazah UMS.

Terdahulu, satu sesi ceramah turut diadakan di Auditorium Perpustakaan yang bertajuk “How to Critically Evaluate a Manuscript.”

Dihadiri seramai 30 pelajar dan pensyarah, ceramah itu disampaikan Penolong Profesor Kanan Universiti Brunei Darussalam, Dr. Mamunur Rashid.

Dr. Mamunur turut menjadi juri Emerald Review Writing Competition  bersama Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dan Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMS.   

SELASA, 06 OGOS - Sempena pembukaannya yang dijadualkan pada tahun 2020, Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH UMS) menganjurkan Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020 dengan menawarkan hadiah bernilai RM10,500.

Penyelaras pertandingan, Prof. Madya Dr. Humin Jusilin berkata, tema pertandingan adalah bebas namun karya tersebut  harus berkaitan dengan  Borneo terutama Negeri Sabah.

“Ia bagi memberi peluang kepada pengkarya untuk meneroka dengan lebih mendalam keunikan pelbagai aspek sosiobudaya yang terdapat di kawasan Borneo terutama yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat dan alam sekitarnya.

“Kami mengharapkan melalui penyertaan daripada para pengkarya dalam pelbagai bidang seperti pelukis dan pembuat arca, ia akan dapat menghasilkan sebuah karya yang unik dan berbeza seterusnya dapat menarik masyarakat untuk menikmati dan menghargai karya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Humin, karya yang terpilih sebagai pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM4000, manakala tempat kedua RM2000 dan tempat ketiga RM1000.

Di samping itu katanya, penganjur juga menyediakan hadiah sagu hati untuk 10 pemenang bernilai RM350 setiap satu selain sijil penyertaan kepada semua peserta.

“Setiap karya terpilih juga akan dipamerkan melalui program khas sempena perasmian Galeri Azman Hashim UMS yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai GAH UMS, Dr. Humin memberitahu, galeri tersebut merupakan sebuah lagi ruang yang memberi peluang kepada para pengkarya dan penggiat seni terutama di Sabah untuk mempamerkan hasil-hasil karya mereka kepada masyarakat.

“Bangunan galeri tersebut juga akan menjadi sebuah mercu tanda baru Sabah yang berkonsepkan edu-tourism bagi menarik pelancong untuk menghargai keunikan sosiobudaya masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik melalui pelbagai aktiviti seperti pameran karya seni dan persembahan kebudayaan.

“Bangunan GAH UMS yang berbentuk bulatan sangat unik kerana reka bentuknya seperti gong yang merupakan alat muzik penting di Sabah,“ tambahnya yang juga Pensyarah Program Teknologi Seni Visual, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS.

Sehubungan itu mereka yang berminat dan mempunyai bakat dalam seni halus dan teknologi seni adalah dipelawa untuk menyertai dan menghantar karya ke Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh menghubungi Dr. Humin (019-8626696), Faez Huzaini (014-9559787) dan Noor Fazlilawaty Ghulamdinn (011-59764576) atau dengan melayari Facebook Galeri Azman Hashim UMS.

 

 

SELASA, 6 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi konvensyen 1st  Malaysian Universities National Convention (MUNCH) 2019 buat julung kalinya yang diadakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS bermula kelmarin.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 140 peserta yang mewakili Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi 20 Universiti Awam di Malaysia, selain penyertaan wakil dari hospital dan agensi swasta.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, konvensyen ini diharap akan dapat mengumpul dan menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan bidang kesihatan secara optimum agar dapat memanfaatkan peserta dan PKU yang diwakili.

“Penyebaran pengetahuan berkaitan isu-isu semasa dalam bidang kesihatan khususnya di Universiti Awam akan disusun semula oleh ahli-ahli profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi manfaat kepada kampus universiti secara keseluruhannya.

“Kemajuan dalam penyediaan penjagaan kesihatan di universiti sering memerlukan perubahan minda, yakni minda inovatif yang sanggup memecahkan halangan yang menyekat kemajuan tidak kira sama ada anda ahli akademik atau penyedia penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian konvensyen tersebut, yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul di Auditorium FPSK.

Justeru menurut Prof. Dr. Taufiq, penganjuran konvensyen ini adalah tepat pada masanya dalam membantu  memfokuskan dan menyusun semula objektif bagi memastikan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan mengekalkan kesihatan optimum bagi semua warga universiti.

“Dengan menggabungkan usaha pelbagai disiplin dari universiti yang berlainan, kita dapat belajar dari pengalaman dan pencapaian masing-masing, serta meningkatkan standard dan kualiti penjagaan kesihatan kepada warga universiti,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital UMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang; Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia, Prof. Dr. Durrishah Idrus; dan pengerusi penganjur konvensyen, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.