Siri Ceramah di Bawah Bayu kali ke-26 anjuran Institut Confucius Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) akan mengetengahkan topik “Perjalanan Kerjaya dan Kehidupan Baki Zainal: Inspirasi, Cabaran dan Peluang dengan Bahasa Mandarin”.

CI@UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, ceramah yang berlangsung pada 5 April 2023 di Theatrette Ahmad Nisfu, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) akan disampaikan oleh seorang pengacara, pelakon dan penyampai radio tempatan, Baki Zainal.

“Baki Zainal terkenal dengan kefasihannya berbahasa Mandarin. Beliau sememangnya seorang bakat yang benar-benar melambangkan semangat Malaysia.

“Beliau fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Baki Zainal ialah hos selebriti dan penyampai TV terkenal yang telah mengacarakan banyak rancangan TV dan menerima Anugerah Televisyen Asia,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan CI@UMS turut menambah, ceramah itu memfokuskan kepada motivasi dan cabaran yang dihadapi oleh Baki, selain pengalaman dan peluangnya dalam kemajuan kerjaya apabila dia mempunyai kebolehan berbahasa Mandarin dengan fasih.

“Baki juga akan berkongsi masa sukarnya ketika menghadiri kelas harian di sekolah Cina serta kerja rumah yang perlu diselesaikan.

“Ia adalah masa yang sukar kerana dia tidak mempunyai banyak masa untuk bersosial dan perlu membuat banyak ulang kaji sendiri kerana kebanyakan ahli keluarganya tidak fasih berbahasa Mandarin.

“Dari 2014 hingga 2018 beliau menerima beberapa pengiktirafan seperti rancangan realiti terbaik, Program TV infotaimen terbaik, Hos Radio Terbaik, Hos 10 Terbaik, DJ Radio Lelaki Terbaik, Hos TV Terbaik, Hos Program Majalah Terbaik, Artis Lelaki Pilihan 10 Khalayak Terbaik, Hos Program Majalah Terbaik dan Hos TV Top 5 Paling Popular,” jelas kenyataan CI@UMS.

Program Ceramah di Bawah Bayu akan berlangsung bermula 6:20 petang, dan para peserta akan berbuka puasa bersama Baki.

Ceramah ini akan dikendalikan dalam Bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris. Orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri ceramah ini dengan mengimbas kod QR seperti yang tertera untuk pendaftaran.

 

Sesi menandatangani surat niat (LoI) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dimeterai di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan bakal menyaksikan perkongsian kepakaran dalam bidang pertanian dan agroteknologi.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, bidang pertanian memainkan peranan penting dengan memastikan ketersediaan dan kecukupan makanan agar berada di tahap yang selamat sejajar dengan isu sekuriti makanan atau food security.

“Kepakaran penyelidik di Fakulti Pertanian Lestari akan sentiasa dipergiat untuk memikirkan strategi dan inovasi baharu bagi membantu pengusaha tani meningkatkan hasil pengeluaran, seterusnya meningkatkan sekuriti makanan negara.

“Diharapkan dengan adanya peluang dan kerjasama yang dimeterai bersama UniMAP, insya-Allah kita akan maju setapak ke hadapan dengan mengadakan Perjanjian Persefahaman (MoA) antara kedua-dua universiti, maka segala kepakaran dari kedua-dua pihak dapat dikongsi bersama,” katanya semasa berucap dalam Program Titian Kasih 2023 di FPL baru-baru ini.

Pada sesi menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili oleh Datuk Kasim sementara UniMAP pula diwakili Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman bin Sauli.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniMAP turut berkenan menyaksikan sesi menandatangani LoI tersebut.

“UniMAP yang terkenal dengan bidang teknologi kejuruteraan, diharapkan dapat membantu UMS dalam meningkatkan kepakaran kejuruteraan, mungkin dari segi teknologi pertanian, pembajaan, penanaman dan bermacam lagi yang melibatkan kejuruteraan mekanikal.

“Melalui kolaborasi dan semangat yang tinggi seperti ini antara UniMAP dan UMS, segala visi dan misi yang telah ditetapkan mampu direalisasikan.

“UMS dan UniMAP bersetuju membangunkan kerjasama dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pembangunan akademik,” katanya.

Tambah Kasim lagi, pertukaran maklumat, ahli fakulti, pelajar, khidmat masyarakat, penganjuran seminar, latihan atau kursus, penyeliaan pelajar pascasiswazah dan sebarang

bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama juga turut termaktub dalam kerjasama tersebut.

“Terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan ternyata ini adalah platform yang dinanti-nantikan untuk menggerakkan semua pakar dan penyelidik kita.

“Adalah diharapkan agar segala yang diilhamkan pada hari ini akan tercapai dan menjadi sesuatu yang realiti demi kemajuan dan kejayaan antara kedua universiti dan negeri khususnya, serta negara Malaysia amnya.

Turut hadir pada sesi tersebut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri bin Ramli dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Izizam bin Ibrahim.

 

Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul sembilan pingat dan satu anugerah khas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) yang menyaksikan penyertaan lebih 500 produk inovasi dari 15 buah negara.

Kesemua pingat yang terdiri daripada tiga emas, dua perak dan empat gangsa diraih dalam kategori International Innovation Awards (IIA) dengan menyaksikan 100 peratus kemenangan untuk semua penyertaan UMS, selain peningkatan pencapaian emas 200 peratus berbanding penyertaan pada 2021.

Pingat emas pertama dimenangi melalui produk inovasi bertajuk Interactive Pre-Maths oleh kumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Connie Shin. Produk itu juga turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas (Special Award) daripada Persekutuan Persatuan Pencipta Antarabangsa (IFIA).

Pingat emas kedua diterjemahkan oleh kumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Jinky Jane C. Simeon dengan produk Sompoton Video Assisted Learning (VAL) KIT.

Satu lagi pingat emas dimenangi melalui inovasi bertajuk UMS Transformation Modules for Young Inmates oleh kumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Esther Jawing.

Dalam pada itu, Connie yang turut mengetuai kumpulan penyelidik bagi produk Eco Pre-Maths sekali lagi mengharumkan nama UMS apabila inovasi mereka berjaya menyumbang satu pingat perak.

Pingat perak kedua diperoleh kumpulan penyelidik yang diketuai Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman melalui inovasi bertajuk Integrated STEM-PBL Physics Module.

Empat pingat gangsa masing-masing dimenangi kumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Razak Mohd Ali Lee (WiRSense), Dr. Intan Soliha Ibrahim (UMSfm’s Broadcasting Technology), Junaidah Januin (Prison Learning Project: Enriching Adults Inmates with Communication Modules), dan kumpulan Prof. Madya Dr. Oliver Valentine Boy (Advance Tool for Tourism).

Berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini, kesemua penyertaan penyelidik UMS dikendalikan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP).

Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang. Hadir sama pada majlis penyampaian anugerah ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Pengarah PPIP UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun.

 

Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Gamalux Oils Sdn Bhd bagi menjalankan penyelidikan bahan buangan kelapa sawit yang dikenali sebagai De-Oiled Bleaching Earth (DOBE).

Menurut Dekan FKJ, Profesor Madya Dr. Ismail Saad, kerjasama melalui satu surat niat oleh kedua-dua pihak itu akan mengkaji dan meneroka kegunaan DOBE dalam sektor pembinaan.

Katanya, kajian awal yang dijalankan oleh penyelidik FKJ menunjukkan DOBE mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan dalam penstabilan tanah dan bahan untuk menghasilkan konkrit.

“Penggunaan DOBE sebagai bahan di dalam industri pembinaan dipercayai mampu mengurangkan sisa bahan buangan DOBE yang dihasilkan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit dan juga memberikan impak yang positif kepada persekitaran.

“Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut perlu dilakukan untuk memahami implikasi penggunaan DOBE dalam penstabilan tanah dan penghasilan konkrit bagi memastikan konkrit yang dihasilkan memenuhi tahap piawai yang ditetapkan,” ujarnya.

Tambah Ismail, ketika ini FKJ secara aktif sedang menjalankan penyelidikan melibatkan bahan buangan seperti plastik, tayar dan kaca untuk digunakan sebagai bahan dalam penghasilan bata paver block.

“FKJ juga telah menubuhkan unit penyelidikan yang dinamakan Unit Penyelidikan Bahan Hijau dan Teknologi Pembinaan Termaju (GMACT) yang banyak menumpukan kajian berkaitan bahan hijau untuk digunakan dalam industri pembinaan,” katanya.

Pada majlis menandatangani surat niat itu FKJ diwakili Ismail dan Gamalux Oils diwakili oleh Ketua Fasiliti Kilang, James Thiruchelvam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Benedict Bisono; Ketua Bahagian Kelestarian, Persekitaran Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sabah, Aaron F. Sualim serta Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan kerjasama bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa bidang penterjemahan dan penyuntingan antara kedua-dua pihak.

Jalinan kerjasama tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

ITBM pula diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah dan disaksikan Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Nor Azanizan Anawar.

Kasim dalam ucapannya sempena majlis tersebut memaklumkan, MoU itu antara lain bertujuan meningkatkan bilangan penterjemah dan penyunting bertauliah dalam kalangan kakitangan akademik UMS.

“Kerjasama ini juga adalah bagi mengetengahkan UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Selain itu, kedua-dua pihak juga komited untuk memperkenalkan bidang dan kebolehan terjemahan dan suntingan sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai, berpotensi dan mampu memberi nilai tambah,” katanya.

Menurutnya lagi, UMS dan ITBM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga perkara.

“UMS dan ITBM akan menganjurkan Bengkel Penterjemahan dan Penyuntingan untuk kakitangan akademik UMS bagi memperluaskan bilangan penterjemah bertauliah di UMS, selain membangunkan dan mempromosikan UMS sebagai ITBM East Malay Hub termasuk penyediaan logistik dan khidmat kepakaran oleh ITBM.

“Perkara ketiga ialah dari aspek penerbitan buku, iaitu memberi pendedahan, latihan dan peluang kepada warga UMS untuk menerbitkan buku tanpa kerumitan proses penerbitan dan masalah kos,” kata Kasim.

Beliau menambah, pelbagai impak positif mampu terhasil daripada MoU UMS-ITBM tersebut.

"Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam kemenjadian

UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti dan secara tidak langsung membawa kepada peningkatan keterlihatan dan prestij universiti.

"MoU ini juga bakal mengeratkan hubungan antara UMS dengan ITBM agar dapat saling membantu dan berkongsi ilmu dalam menjayakan program-program yang dikenal pasti,” ujar beliau

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; dan Eksekutif Kanan Komunikasi dan Perhubungan Awam ITBM, Norzaiti Abd Talib