ISNIN, 22 JULAI - Dalam usaha memastikan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilahirkan mampu memenuhi ciri-ciri sumber manusia yang diperlukan oleh majikan pada masa kini, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS telah mengadakan Bengkel Semakan Kurikulum dan Mobiliti Pelajar bagi melihat semula kurikulum pengajaran dan pembelajaran untuk tujuan penambahbaikan.

Menurut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, semakan terhadap setiap kurikulum bagi program yang ditawarkan oleh FPEP ini melibatkan semua pensyarah mengikut bidang program masing-masing.

“Ini adalah satu usaha pihak fakulti untuk menyusun semula kurikulum  pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian dan tuntutan persekitaran masa kini.

“Sikap prihatin kita terhadap kebolehpasaran graduan menerusi bengkel seperti ini perlu terus dibudayakan sesuai dengan keadaan persekitaran yang pantas berubah,” katanya.

Bengkel sehari itu dimulakan dengan sesi forum yang bertajuk 'Enhancing Graduates' Capabilities Toward IR 4.0’ yang dikendalikan oleh pensyarah kanan FPEP, Prof. Datuk Dr. Hj. Kasim Md. Mansur sebagai pemudah cara dan melibatkan tiga ahli panel, iaitu Pengurus SME, CIMB Bank, Rose SP Chong; Ketua Sabah Credit Corporation Cawangan UTC Kota Kinabalu, Zahir Ridwan Zainal; dan wakil pelajar UMS, Wan Azmir Ali.

Dalam forum tersebut, Datuk Kasim berkongsi beberapa fakta berkaitan pasaran kerja yang menjadi semakin terhad pada masa kini, antaranya adalah berhubung dengan model perniagaan yang menyaksikan jumlah pelanggan di restoran semakin berkurangan disebabkan oleh peningkatan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Kebolehpasaran graduan sangat berkait rapat dengan ekonomi negara, jika ekonomi negara berkembang dengan baik, maka lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan.

“Namun senarionya keadaan ekonomi sekarang berada dalam keadaan menguncup yang menanti masa yang sesuai untuk berkembang,” kata Datuk Kasim.

Rose SP Chong pula berkongsi mengenai sektor perbankan yang turut menerima impak hasil dari Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0), yang menyaksikan persepsi tidak tepat masyarakat yang beranggapan kebanyakan cawangan bank ditutup kerana pihak bank mengalami kerugian.

“Ini tidak benar, kerana sebenarnya agensi perbankan juga telah beralih kepada sistem perbankan digital yang lebih memberi keselesaan kepada pelanggan bank untuk berurusan secara atas talian.

“Melihat kepada pasaran perbankan yang bersifat global, adalah amat penting bagi graduan universiti untuk memberi penekanan terhadap kemahiran berbahasa Inggeris serta bahasa antarabangsa lain khususnya bahasa Mandarin,” katanya.

Dalam pada itu, Zahir Ridwan ketika dalam forum tersebut menjelaskan bahawa segala pembelajaran yang dipelajari sebenarnya hanya akan menjadi data kuno, yang disebabkan oleh kepantasan perkembangan teknologi.

Justeru itu, katanya kurikulum pembelajaran pada masa kini perlu memberi tumpuan kepada literasi digital.

“Sumber manusia perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cara bekerja terkini atau mereka menjadi tidak relevan disebabkan oleh teknologi yang berubah.

“Selain itu, kemahiran komunikasi interpersonal dalam kalangan rakan sekerja dan pelanggan juga merupakan satu elemen penting yang perlu dititikberatkan,” kata Zahir.

Sependapat dengan beliau adalah Wan Azmir Ali yang berkongsi pengalaman sewaktu menjalani latihan industri, yang menurut beliau keyakinan dalam berkomunikasi khususnya dalam Bahasa Inggeris tidak dinafikan sebagai suatu kelebihan, tetapi majikan akan lebih tertarik dengan kakitangan yang mampu menyampaikan idea dengan baik dan meyakinkan.

Selain sesi forum, turut diadakan ceramah berkaitan kaedah penilaian yang boleh meningkatkan kualiti pelajar yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Kualiti Akademik (PKPKA), Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook.

Menurut Prof Vincent, penilaian pelajar itu dilakukan sebagai satu usaha untuk meningkatkan daya fikir minda pelajar dan bukannya untuk tujuan pemberian markah semata-mata.

“Sebagai contoh dalam konteks pendidikan berteraskan IR4.0, persembahan pelajar tidak lagi diukur berdasarkan kepada kemantapan pelajar itu membuat persembahan dengan menguasai beberapa elemen merujuk kepada dirinya.

“Sebaliknya, persembahan pelajar hendaklah juga mengambil kira sejauh mana penonton iaitu rakan-rakan sekelasnya faham dengan penyampaian yang dibuat oleh seseorang pelajar itu,” ujar beliau.

Bengkel sehari itu turut diisi dengan sesi-sesi pembentangan program-program lain oleh para pensyarah FPEP yang terlibat.

ISNIN, 22 JULAI - Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran sempena Persidangan Kebangsaan Kokurikulum Universiti Malaysia (NUCC) di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Pingat emas diraih melalui inovasi bertajuk Pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kursus Kokurikulum di PKPP UMS yang diketuai Timbalan Pengarah (Akademik) PKPP Dr. Jurry Foo.

Dibentangkan oleh Penolong Pendaftar PKPP,  Mohd Alwi Osman, pingat gangsa pula diperoleh melalui inovasi bertajuk Holistic Potential Enhancement Program (HOPE).

Dr. Jurry ketika dihubungi media berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di PKKP UMS dalam membentuk dan melahirkan mahasiswa holistik yang mempunyai kemahiran kepimpinan serta menjalankan tanggungjawab sosial.

“PKPP UMS telah diamanahkan untuk mendedahkan kepada pelajar UMS di peringkat awal mengenai kemahiran insaniah melalui kursus kokurikulum berkredit tiga jam bagi kursus biasa, manakala tiga hingga enam jam kredit bagi kursus beruniform, sebelum mereka meneruskan penglibatan kokurikulum tidak berkredit melalui kelab dan persatuan di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar, fakulti dan institut.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran di PKPP adalah bersifat dinamik dan fleksibel dengan mendedahkan pelajar kepada program dan aktiviti yang sesuai dengan keadaan semasa. Pada ketika ini PKPP positif dalam mendedahkan pelajar kepada ekosistem pembelajaran abad ke-21, sesuai dengan gaya hidup terkini dan persekitaran pelajar secara khusus selain sentiasa mengambil kira saranan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar untuk beroperasi dengan lebih efektif,” katanya.

Menurut Dr Jurry, PKPP juga sentiasa mengambil tahu perkembangan  sistem pembelajaran kursus kokurikulum semasa.

“Satu daripada usaha tersebut ialah mengadakan lawatan penanda aras seperti yang dilakukan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini, di samping mengadakan perbincangan berterusan dengan pusat kokurikulum universiti lain melalui Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC),” tambahnya.

Pada persidangan itu, sebanyak tiga buah kertas kerja turut dibentangkan iaitu Co-Curricular Activities … Do They Help Student Development? The Ums Experience oleh Pengarah PKPP, Dr Hasnol Noordin; dan Service Learning (SL) dalam Sistem Pengajaran dan Pembelajaran PKPP UMS oleh Dr. Jurry.

Kertas kerja selebihnya dibentangkan Penyelaras Komponen Kemasyarakatan PKPP, Dr. Colonius Atang dengan tajuk Penguasaan Kemahiran Insaniah Melalui Aktiviti Kokurikulum dalam Kalangan Pelajar Mengambil Kursus Kepimpinan dan Motivasi (Baktisiswa) Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Sebanyak 43 pembentang kertas kerja dan 30 peserta Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Kokurikulum dari 20 Universiti Awam telah menjayakan persidangan tersebut.

Persidangan kali pertama sejak penubuhan UniCC pada tahun 2010 itu dianjurkan UniCC dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

KHAMIS, 18 JULAI - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyerahkan semula blok klinikal Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada satu majlis penyerahan ringkas yang berlangsung di hospital itu, hari ini.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh Dekan FPSK, Profesor Dr. Mohammad Safree Jeffree kepada Pengarah HQE, Dr. William Gotulis.

Profesor Dr. Safree dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak HQE dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang banyak membantu khususnya dalam menempatkan pelajar perubatan UMS di hospital tersebut.

“Sebagai menghargai segala sumbangan dan bantuan pihak HQE selama ini, UMS menawarkan segala fasiliti yang ada di UMS untuk digunakan oleh para pakar dan kakitangan HQE pada masa akan datang secara percuma.

“Selain itu, saya juga telah berbincang dengan Dr. Helen (Ketua Pegawai Eksekutif Hospital UMS) untuk melihat ruang penempatan pakar dari HUMS sekiranya terdapat kekurangan doktor di HQE,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. William turut mengucapkan penghargaan atas kerjasama baik yang diberikan oleh UMS selama ini.

“Pihak kami akan meneliti semula keadaan blok klinikal ini dan ada kemungkinan kita akan gunakan ia sebagai ruang kerja tambahan untuk kakitangan,” jelasnya.

UMS mula menggunakan blok klinikal HQE pada 2004 untuk menempatkan pelajar perubatan selain digunakan sebagai dewan peperiksaan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Pengarah (Klinikal I) HQE, Dr. Yogendra A/L Panchalingam; Timbalan Dekan Akademik FPSK, Profesor Madya Dr. Fairrul Kadir dan Ketua Jabatan Asas Komuniti FPSK, Datuk Dr. Mohd. Yusof Hj Ibrahim.

KHAMIS, 18 JULAI - Seorang pensyarah wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup mencukur rambut bagi memberi sokongan kepada seorang pelajarnya yang menghidap penyakit kanser tulang tahap tiga.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, mengambil keputusan untuk membotakkan kepala bagi melahirkan rasa empati kepada pelajarnya, Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser itu pada hujung Februari lalu.

“Pada awalnya pelajar ini dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut, namun sebelum menjalani rawatan kemoterapi  yang pertama pada awal Mac, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sel kanser telah merebak ke paru-paru.

“Semalam  (16 Julai) dia telah menjalani rawatan kemoterapi kali ke-8, sebelum dua lagi  rawatan susulan dan kita harapkan dia beransur sembuh dan pulih seperti sediakala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, di sini, hari ini.

Menurut Dr Bamini, sebenarnya ada pelbagai cara untuk menunjukkan kebaikan dan sokongan kepada Richelle, tetapi Ketua Program Pemasaran itu lebih memilih untuk mencukur rambut bagi menunjukkan rasa kebersamaannya terhadap pelajar yang berasal dari Beluran Sabah itu.

“Saya mahu pelajar ini tahu bahawa kita semua ada untuknya dan dia tidak bersendirian melalui saat-saat sukar terutama dalam  menanggung kesakitan yang dialami. Tiada niat untuk mencari populariti, saya cuma mahu memberikan dia galakkan dan keberanian untuk terus kekal positif.

“Saya juga ingin mengajak rakan-rakan dan orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bagi pelajar ini,” ujarnya. 

Dr Bamini berkata, Richelle merupakan pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan baik dalam kurikulum.

“Beliau berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang pada peperiksaan Semester 1 dengan  Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.6, dan merupakan anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS).

"Pada kesempatan ini, saya sebagai pensyarah juga ingin merakamkan penghargaan kepada Dekan FPEP  Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif Kamisan Pusiran dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS yang sentiasa menjaga kebajikan pelajar," tambahnya.

 

 

KHAMIS, 18 JULAI - Penubuhan kesatuan pelajar dapat mengembangkan potensi pelajar dalam bidang kepimpinan di samping akademik, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk K. Y. Mustafa.

Beliau berkata pihak UMS menyokong usaha memperkasa peranan pelajarnya melalui penubuhan kesatuan itu di universiti berkenaan.

"Sebagaimana yang pernah disebut dalam Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik awal tahun ini, kesatuan pelajar akan memberi ruang kepada para pelajar untuk memimpin, mentadbir urus hal ehwal pelajar dan terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi universiti.

"Kita sentiasa memberi ruang kepada para pelajar menyuarakan apa jua perkara khususnya berkenaan hal ehwal pelajar kerana kita melihat para pelajar sebagai pemimpin masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ruang Pejabat Kesatuan Pelajar UMS di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Muhd Jivean Johan Wira berkata pejabat Kesatuan Pelajar UMS itu akan beroperasi sepenuhnya pada September ini selepas proses undian ahli diadakan.

Katanya pihak MPP akan menyelenggara dan menyelia organisasi berkenaan sementara waktu sehingga September ini.

Sumber:  BERNAMA

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.