Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Terbaru, UMS menerima kunjungan delegasi dari East China Normal University (ECNU), Shanghai, China sebagai satu inisiatif dalam meneroka kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak.

Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden East China Normal University, Profesor Zhou Aoying (周傲英, 副校长) dan disertai oleh Presiden The Federation of Chinese Associations Malaysia (Huazong) dan The Federal of Chinese Associations Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C Goh disambut oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Bangunan Canselor, UMS pagi tadi.

Turut serta dalam delegasi dari ECNU, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Confucius Institute, Prof. Zhou Yong (周勇, 孔子学院办公室主任); Profesor di School of International Studies, Prof. Zhang Jianmin (张建民, 国际汉语文化学院教授); Profesor di School of Communication, Prof. Wu Zhiyong (武志勇, 传播学院教授); dan Pegawai Bahagian Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa, Xu Cheng (许诚, 国际合作与交流处项目官员).

Menurut Kasim, UMS berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama ECNU dalam bidang-bidang seperti Ketamadunan Cina, Sains Data, Komunikasi dan Pendidikan.

“Pihak universiti menjangkakan lebih ramai pelajar antarabangsa akan datang ke UMS untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam program pascasiswazah, termasuk pelajar dari China dan Indonesia.

“Justeru, UMS melihat kolaborasi bersama ECNU adalah satu peluang bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kecemerlangan akademik di universiti masing-masing, serta mengukuhkan nama universiti di peringkat antarabangsa sekali gus menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Hasrat kerjasama tersebut turut dimeterai melalui satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak dalam sesi pertemuan tersebut.

Melalui LoI yang ditandatangani, kedua-dua universiti berhasrat untuk mengadakan kerjasama melalui pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, kolaborasi dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pengajaran, serta penganjuran aktiviti kokurikulum berkaitan pembangunan pelajar seperti persidangan, kursus latihan jangka pendek, pembelajaran atas talian, program mobiliti, khidmat komuniti, dan sebagainya.

Dalam pada itu, T.C Goh dalam sesi pertemuan tersebut memaklumkan ECNU merupakan antara universiti yang ternama di Shanghai, China.

“UMS merupakan destinasi pilihan pertama ECNU untuk mengadakan kunjungan serta kerjasama selepas pembukaan semula sempadan negara pasca pandemik Covid-19.

“Justeru, pihak FCAS melihat kedua-dua universiti mempunyai potensi besar untuk mengadakan kerjasama bagi manfaat bersama,” ujar beliau.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Asmady Idris; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Dr. Lai Yew Meng; Pengarah Confucius Institute UMS, Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin; dan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

 

 

Penganjuran Pertandingan ‘North Borneo Intervarsity Surgical Quiz Competition’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi platform terbaik bagi pelajar untuk menimba dan berkongsi ilmu berkaitan bidang pembedahan.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, pertandingan anjuran bersama UMS dan Sabah Surgical Society itu disertai oleh pelajar perubatan dari enam universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Segi University, International Medical University (IMU), dan UMS.

“Kita mahu pastikan para peserta mendapat manfaat daripada pertandingan ini bukan sahaja melalui belajar di universiti tetapi memperoleh ilmu melalui pengalaman pertandingan sebegini.

“Ini sekali gus membolehkan mereka menambah pengetahuan baru serta berkongsi dengan para rakan dan pensyarah di universiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas acara pembukaan pertandingan tersebut di Auditorium FPSK, UMS.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Surgeri FPSK, Prof. Madya Dr. Mohd. Firdaus Mohd. Hayati memaklumkan setiap universiti menghantar empat atau lima pelajar bagi menyertai pertandingan tersebut.

“Kita mengharapkan para peserta bertanding secara sihat dan menjawab dan berbincang serta bersama-sama berkongsi informasi berkaitan pembedahan dengan baik,” ujar beliau.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, kumpulan pelajar dari UPM telah berjaya memenangi pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1,000.00.

Mereka menewaskan kumpulan pelajar dari IMU selepas mengharungi lima pusingan individu dan lima pusingan buzzer.

Kumpulan pelajar dari IMU membawa pulang hadiah berjumlah RM500.00 selepas kejayaan mereka mara ke pertandingan akhir.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah menandatangani surat niat (LoI) dengan Sabah Rugby Union (SRU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam Program Sains Sukan UMS.

UMS yang diwakili oleh Dekan FPP, UMS Prof. Dr. Murnizam Hj Halik menandatangani LoI tersebut bersama Timbalan Presiden SRU, Nelson W. Angang bertempat di fakulti itu, baru-baru ini.

Menurut Murnizam, kerjasama itu kolaborasi sulung antara UMS dan SRU dalam bentuk khidmat kepakaran pensyarah sains sukan serta kebenaran penggunaan fasiliti di fakulti tersebut terutamanya bagi pengujian prestasi, program pencegahan dan pemulihan kecederaan atlet.

“Selain itu LoI yang ditandatangani ini juga mencakup kepada kerjasama berkaitan aktiviti, penyelidikan dan projek berkaitan sains sukan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Di samping itu, LoI ini turut menumpukan pada usaha mewujudkan persefahaman hubungan antara pihak universiti dan industri, menyediakan ruang latihan industri kepada pelajar sains sukan, dan kerjasama dalam bidang berpotensi yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, menurut Nelson pihaknya menyambut baik kerjasama tersebut dan menyampaikan penghargaan kepada FPP atas kepercayaan yang diberikan.

“Kami telah melihat fasiliti yang terdapat di FPP, kami yakin dan percaya bahawa dengan kolaborasi ini akan memberikan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” ujarnya.

Manakala Pengarah Perubatan SRU, Dr. Kiran Kandiah berkata agenda pertama dalam kolaborasi ini akan melibatkan ujian pra-kejohanan untuk pemain ragbi 7s negeri Sabah.

“Ujian tersebut termasuklah ujian kekuatan otot menggunakan mesin Isokinetik, kecergasan aerobik (VO2max), kecergasan anaerobic (Wingate), pengukuran komposisi tubuh (BIA) dan beberapa ujian kemahiran lain.

“Data yang diperolehi daripada ujian ini akan digunakan untuk mengenalpasti pemain yang lemah dan menyusun program khas untuk mereka. Ini akan membantu mengurangkan risiko kecederaan dan pada masa yang sama meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Turut hadir dan menyaksikan majlis tersebut, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bahari @ Bullare; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr. Dyg Norizah Kiflee @ Dzulkifli dan Naib Presiden 1 SRU, Terrance Baduk.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan dalam Huawei ICT Competition Global Final 2022-2023 yang berlangsung di Shenzhen Bantian Huawei Base, China, baru-baru ini.

UMS diwakili oleh tiga pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Lau Liyi, Ng Chi Yan dan Soh Hiu Man dan dipimpin oleh pensyarah kanan FKI, Dr. Tan Soo Fun.

Selain muncul naib johan, UMS turut menerima anugerah khas ‘Women in Tech’.

Menurut Tan, pengiktirafan ‘Women in Tech’ itu diberikan bertujuan memberi inspirasi kepada peserta wanita untuk terlibat secara aktif dalam inovasi teknologi, menggalakkan pertumbuhan industri ICT serta mempromosikan keterangkuman sosial.

Selain itu katanya pengiktirafan itu bagi menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta mewujudkan masyarakat yang lebih pelbagai serta inklusif.

“Pertandingan yang berakhir pada 27 Mei yang lalu telah menyaksikan penyertaan seramai 120,000 pelajar dari lebih 2,000 universiti dan kolej yang merangkumi 74 negara dan rantau.

“Pencapaian Pasukan UMS dalam pertandingan ini diharap akan memberi inspirasi kepada semua pelajar di samping memberi penekanan pentingnya mempromosi kepelbagaian gender dalam bidang teknologi.

“Dengan dedikasi para peserta, pasukan UMS tidak hanya telah membawa pengiktirafan kepada diri mereka sendiri tetapi juga telah memacu reputasi universiti dan negara di arena global ICT,” katanya.

 

Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan gabungan tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai dalam satu Majlis Jalinan Mesra, baru-baru ini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan satu inisiatif fakulti dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Rekreasi FSSA (KRiS), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar dalam usaha memupuk kerjasama dan saling menyantuni antara satu dengan yang lain.

“Semangat kerjasama yang diterapkan merupakan tonggak utama kejayaan pelaksanaan majlis ini dalam mewujudkan kemeriahan di kalangan pelajar dan kakitangan fakulti.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Majlis Jalinan Mesra FSSA 2023,” katanya.

Bertemakan kelestarian warisan budaya berbilang kaum di Sabah dan Sarawak, majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian oleh kumpulan pelajar FSSA, persembahan nyanyian kumpulan Buskers UMS, serta Pertandingan Gerai Terbaik dan Pakaian Tradisional Tercantik kategori pelajar dan staf.

Turut hadir Pegawai-pegawai Utama, Dekan Fakulti, Pusat, Institut di UMS serta kakitangan akademik, pentadbiran dan pelajar-pelajar dari sembilan program pengajian di FSSA.