SELASA, 28 NOVEMBER - Walaupun sudah lebih setahun kehilangan anak tersayang, ibu kepada Allahyarhamah Nurul Affaizin Ismail, Jiaranah Yahaya tetap menguatkan semangat untuk hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21 bagi mewakili arwah anaknya menerima skrol pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS baru-baru ini.

Jiaranah, 62 tahun, yang hadir bersama bapa dan adik-beradik arwah, terbang dari Perak ke Sabah bagi mewakili arwah anak menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Hubungan Antarabangsa pada sidang kedua majlis tersebut.

Beliau yang ditemui media UMS memberitahu, arwah Nurul Affaizin tidak sempat menamatkan pengajian kerana meninggal dunia pada 9 November 2018 akibat jangkitan kuman pada hati.

“Arwah pernah menyatakan hasrat ingin berkumpul bersama seluruh ahli keluarga dan menyambut hari keluarga apabila majlis konvokesyen di Sabah tiba.

“Walaupun hasrat itu tidak kesampaian, namun kami sekeluarga tetap hadir ke majlis ini bagi menunaikan hajat arwah meraikan kejayaannya mendapatkan segulung ijazah,” katanya dengan nada hiba.

Jiaranah yang ditemani anaknya kelihatan sebak apabila menceritakan sifat arwah anak bongsunya yang manja tetapi mempunyai sifat berdikari sejak di bangku sekolah lagi.

“Arwah seorang yang berdikari kerana sejak sekolah rendah dan sekolah menengah lagi beliau sudah biasa tinggal di asrama, malah semasa cuti semester tiga bulan arwah turut bekerja untuk mencari duit sampingan”, katanya.

Pasrah dengan ketentuan ilahi, Jiaranah tetap berbangga dapat mewakili arwah anaknya menerima Anugerah Anumerta tersebut yang disampaikan oleh Naib Canselot UMS, Prof. Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin

(Artikel disediakan oleh Rosnah Rahim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

 

ISNIN, 25 NOVEMBER - Sepasang suami isteri menjadikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain sebagai pemangkin semangat untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun terkadang mempunyai percanggahan pendapat.

Dzul Fahmi Mohd Husin dan Fara Naila Rusnan yang berumur 30 tahun masing-masing telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah.

Pasangan yang lahir pada tahun dan bulan yang sama iaitu pada 21 September 1989 dan 23 September 1989 merupakan penerima skrol Ijazah Sarjana Kejuruteraan pada Sidang Pertama di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21.

Dzul berkata antara cabaran yang pernah dihadapi sewaktu dalam pengajian ialah mempunyai pendapat yang bercanggah dengan isteri sendiri memandangkan teori kefahaman yang digunakan berbeza.

“Cabaran yang saya hadapi sepanjang dalam tempoh pengajian ini ialah dimana berbeza pendapat dengan isteri sendiri ditambah pula dengan pegangan teori yang berbeza,” ujar Dzul ketika ditemubual semasa Sidang Pertama berlangsung pada Sabtu.

Namun demikian, pasangan ini lebih menumpukan kepada mencari jalan penyelesaian dengan merujuk pensyarah atau penyelia untuk mendapatkan pandangan dan fakta yang berguna dalam menyiapkan tugasan mereka.

Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Dzul yang lebih suka menjawab soalan berkata mereka berdua mempunyai perancangan untuk fokus dengan kerjaya terlebih dahulu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.

“Setakat ini, kami fokus dengan kerjaya masing-masing sebelum menyambungkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Ujar Dzul, mereka berpegang kepada satu perkara utama iaitu tidak berhenti berusaha dan kuatkan semangat untuk lebih maju ke hadapan untuk berjaya.

Majlis Konvokesyen UMS tahun ini melibatkan seramai 4,159 graduan yang terdiri daripada 71 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 396 Ijazah Sarjana, 3,960 Ijazah Sarjana Muda, 2 Diploma Pascasiswazah dan 49 Diploma.

(Artikel disediakan oleh Al Hidayah Awang, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

ISNIN, 25 NOVEMBER - Seorang graduan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Jepun mencuri tumpuan kerana kemampuannya untuk fasih berbahasa Melayu dan Dusun.

Fuyuko Iwasaki, 29, yang berasal dari Chiba, Jepun ketika ditemui media memberitahu beliau mula mempelajari bahasa Melayu dan Dusun ketika menjalankan kerja lapangan di Kampung Buayan, Penampang pada tahun 2013 iaitu ketika beliau menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Gakushuin, Tokyo.

“Pada ketika itu saya menetap selama tiga bulan di Kampung Buayan, dan saya terpaksa bergantung kepada kamus bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai rujukan dan panduan untuk berkomunikasi dengan penduduk kampung.

“Dari situ, saya mula perlahan-lahan mempelajari bahasa tersebut dan dalam tempoh tiga bulan itu saya mampu untuk mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan menguasai sedikit bahasa Dusun,” katanya ketika ditemui di sini.

Minat Fuyoko terhadap bahasa Melayu dan Dusun serta etnik Dusun di Sabah mendorong beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi Sosial di UMS pada tahun 2015 dan ketika itu beliau sudah pun mahir berbahasa Melayu dan Dusun.

“Apabila melakukan kerja lapangan di luar bandar, saya akan berbahasa Melayu dan bahasa tempatan untuk berkomunikasi dengan komuniti tempatan, bahkan saya juga menulis tesis dalam bahasa Melayu selepas mendapat tunjuk ajar daripada penyelia saya,” kata Fuyuko.

Tambah Fuyuko, dengan dorongan serta bantuan daripada pihak UMS terutama penyelianya, beliau akhirnya berjaya menamatkan penyelidikannya sekali gus berjaya bergraduat sebagai graduan Ijazah Sarjana Sastera (Sosiologi dan Antropologi).

Fuyuko merupakan salah seorang daripada 123 pelajar antarabangsa UMS yang bergraduat pada tiga hari berlangsungnya Majlis Konvokesyen UMS ke-21 di Dewan Canselor, UMS.

(Artikel disediakan oleh Gelianah Beling dan Rosnah Rahim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

AHAD, 24 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan tempat pengajian yang menjadi penanda aras dalam ketamadunan intelektualisme mahasiswa sekali gus pembekal sumber manusia yang berkualiti untuk negara dan bangsa.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS merupakan tanda aras ketamadunan intelektualisme iaitu di mana para pelajar mempelajari tentang budaya, menghayati ilmu, mencanai minda dan mewarisi sebuah tamadun bangsa.

“24 November 2019 genaplah usia 25 tahun penubuhan UMS dan pelbagai pengalaman sama ada pahit atau manis yang menggembirakan namun berkat komitmen tidak berbelah bahagi daripada warga UMS universiti ini kekal teguh berdiri hingga ke hari ini.

“Sejajar dengan motto keramat UMS iaitu “Bertekad Cemerlang” yang bererti tekad inilah para pelajar UMS mampu merealisasikan dengan beberapa kecemerlangan yang selama ini ingin dikecapi,” katanya dalam ucapan pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS ke-21 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS, kelmarin.

Datuk Taufiq Yap menambah, UMS merupakan universiti yang unggul dengan membudayakan kecemerlangan bukan sahaja dari segi kokurikulum, bahkan lebih cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan.

“Ini dibuktikan dengan pencapaian UMS mendapatkan kedudukan 801-1000 universiti terbaik di dunia oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings dan pencapaian ini merupakan kejayaan buat seluruh warga UMS.

“Pencapaian daripada para penyelidik UMS turut menyerlah dalam pertandingan penyelidikan peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun ini seperti Pertandingan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA 2019), UMS telah memenangi lima pingat Emas, lima pingat Perak, dan dua pingat Gangsa,” kata Datuk Taufiq Yap.

Pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS, Datuk Taufiq Yap menyampaikan skrol ijazah kepada 820 graduan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan.

(Artikel disediakan oleh Al Hidayah Awang, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

 

AHAD, 24 NOVEMBER - Biarpun mengalami masalah kesihatan dalam tempoh menamatkan pengajiannya, graduan Ijazah Doktor Falsafah Juraidah Manggul merupakan antara penerima skrol pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS kelmarin.

Juraidah yang menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Pendidikan ini berdepan dengan cabaran untuk menyiapkan tugasannya apabila beliau mengalami serangan strok lumpuh separuh badan semasa dalam tempoh pengajian.

Katanya, pembuluh darahnya juga pecah dan darah terus memenuhi otak sebelah kanannya.

“Tetapi berkat sokongan penuh daripada penyelia saya, Dr. Mohd Khairuddin @ Jerry Abdullah yang sentiasa mengunjungi saya di Labuan sehingga saya berjaya menyiapkan tesis, saya terus menguatkan semangat untuk meneruskan pengajian dan akhirnya mendapat PhD.

“Pengaruh orang-orang hebatbdi sekeliling juga menjadi penguat buat saya untuk membuktikan bahawa masalah kesihatan yang dialami ini bukan menjadi penghalang untuk saya mengecapi kejayaan,” katanya.

Berkaitan kesihatan dirinya pada ketika ini, beliau berkata sehingga kini rawatan terhadap masalah kesihatan yang dialaminya masih diteruskan selain turut menjalankan pelbagai kaedah rawatan lain seperti rawatan urutan yang dilakukan di Labuan.

Juraidah merupakan antara 71 graduan Ijazah Doktor Falsafah yang menerima skrol daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

(Artikel disediakan oleh Nur Syazana Ladin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.