ISNIN, 4 NOVEMBER - Kolej Kediaman Excellent (KKE), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan penganjuran Kejohanan Silat Pahlawan Dirgahayu yang berlangsung di Dewan Taekwondo, UMS baru-baru ini.

Menurut kenyataan daripada Kelab Silat Kalimah Malaysia KKE selaku penganjur kejohanan, acara tersebut yang berlangsung selama empat hari bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk menunjukkan kemahiran dan membuktikan kebolehan masing-masing dalam sukan pencak silat.

“Kejohanan ini juga adalah sebagai usaha memberi pendedahan kepada peserta dan penonton mengenai kepelbagaian gerak dalam seni silat, selain membantu dalam meningkatkan ketahanan mental dan fizikal peserta melalui pertandingan yang diadakan.

“Ini juga mampu menjadi platform dalam merapatkan hubungan antara pesilat-pesilat dalam kalangan ahli Kelab Silat Kalimah dari seluruh Malaysia,” demikian menurut kenyataan itu.

Kejohanan tersebut dibahagikan kepada 11 kategori untuk lelaki dewasa, tujuh kategori untuk wanita dewasa, 10 kategori untuk lelaki remaja, dan tiga kategori untuk perempuan remaja melibatkan pesilat dari seluruh negara dan Brunei Darussalam.

Hadiah bagi pemenang setiap kategori disampaikan oleh Penolong Pendaftar Kanan UMS, Matusup Hj Rasid.

 

ISNIN, 4 NOVEMBER – Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan pelbagai usaha dalam memupuk dan menerapkan budaya mencintai dan melestarikan alam sekitar dalam kalangan murid-murid prasekolahnya.

Antara usaha tersebut termasuklah menjalinkan kerjasama erat dengan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS melalui Program Rakan Borneensis Junior melibatkan murid-murid PML berumur 5 hingga 6 tahun yang diadakan pada awal bulan Mac tahun ini.

Demikian menurut Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Graduasi PML kali ke-9 yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS baru-baru ini.

Kata Vina, Program Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Guru baru-baru ini juga menyaksikan PML telah mengadakan kerjasama dengan Pusat Pengurusan EcoCampus UMS bagi menjalankan aktiviti berkaitan kelestarian alam.

“Usaha ini layak diberi pujian kerana pengisian program tersebut secara tidak langsung menunjukkan sokongan kita terhadap agenda EcoCampus seterusnya memberikan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar kepada murid-murid PML.

“Ini juga merupakan satu proses pembelajaran yang dapat mendidik anak-anak kita untuk menghargai alam sekitar dari awal usia dan diharapkan akan terus tersemat di jiwa mereka sehingga dewasa,” katanya.

Vina menambah, tema Majlis Graduasi PML, iaitu Keajaiban Rimba Tropika juga adalah sangat sinonim dengan usaha PML untuk mempelbagaikan kaedah pembelajaran yang bukan hanya tertumpu di dalam kelas semata-mata tetapi pembelajaran berasaskan Nature Learning.

“Usaha PML dalam meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid PML juga harus dibanggakan, kerana pada tahun ini, PML telah melaksanakan cadangan untuk memasang papan pintar atau Smart Interactive Board untuk pengajaran dan pembelajaran di Tadika. 

“Ini bermakna PML telah selangkah ke hadapan bersama-sama pihak universiti dalam menyahut seruan Transformasi IR4.0, dan merupakan langkah yang bijak bagi terus meningkatkan kecemerlangan pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan objektif penjenamaan semula PML untuk menjadikannya sebagai pusat rujukan dalam bidang tersebut,” ujar Vina.

Pada majlis tersebut, Vina turut menyampaikan sijil graduasi kepada 32 murid-murid PML berumur 6 tahun yang bakal menjejakkan kaki ke peringkat sekolah rendah tahun hadapan.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap wakil daripada Rumah Kebajikan Kota Kinabalu, Norjanah Yusof; Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Prof. Madya Dr. Patricia Matanjun; Pengarah PML, Aidah Nordin; Pengerusi Jawatankuasa  Modul PML, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok; Ahli Jawatankuasa Pelan Pemakanan PML, Dr. Yasmin Ooi Beng Houi dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru PML, Samsuidin Nurdin.

JUMAAT, 1 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Czech ke Malaysia, Milan Hupcej, kelmarin.

Kehadirannya di UMS disambut Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony bersama Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG), Prof. Dr. Ho Chong Mun.

Dalam pertemuan itu, Milan antara lain menyampaikan hasrat kerjasama akademik beberapa universiti di Republik Czech dengan UMS.

Beliau turut menyuarakan pandangannya terhadap UMS yang disifatkannya sebagai sebuah EcoCampus yang menarik dan mesra alam.

Sementara itu, Prof. Dr. Marcus dalam pertemuan itu mengalu-alukan hasrat tersebut dan menyatakan UMS sentiasa terbuka kepada sebarang kerjasama akademik yang boleh memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.

Beliau turut memberi taklimat tentang latar belakang, pencapaian dan perkembangan semasa universiti kepada rombongan tersebut.

Selain Milan, rombongan itu turut disertai Penasihat Ekonomi Kedutaan, R & D dan Pendidikan, Lenka Tomanova; dan Konsul Kehormat Konsulat Kehormat Republik Czech, Vincent H.K. Tan.

Hadir sama, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Raman Noordin,  Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, Dr. Jakaria Dasan; dan Timbalan Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

JUMAAT, 1 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk membuat penyelidikan bagi merungkai kunci rahsia di sebalik perpaduan dan kerharmonian dalam kepelbagai etnik di Sabah.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, semua pihak sudah sedia maklum tentang keunikan di negeri ini, namun resepi di sebalik perpaduan itu masih belum dirungkai sehingga mempunyai kekangan untuk memindahkannya ke tempat lain serta berhadapan masalah bagaimana mengekalkan resipi keharmonian berkenaan.

“Jadi saya berfikir, sudah sampai masanya UMS sebagai satu-satunya universiti utama di Sabah merungkai isu ini secara penyelidikan dan akademik kerana perkara ini sangat penting dan perlu diarusperdanakan.

“UMS akan menggagaskan satu usaha di mana kita akan kumpulkan penyelidik-penyelidik pelbagai disiplin, dan membuat kajian yang mungkin bersifat fundamental untuk mencari rahsia atau kunci dan bagaimana kunci itu dapat digunakan untuk membuka pintu-pintu keharmonian dan perpaduan di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pertemuan Bersama Sasterawan dan Ilmuan Negara di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr. Ramzah, penyelidikan itu akan dibuat pada tahun hadapan menggunakan sekitar RM100,000 – RM150,000 geran penyelidikan dalaman UMS.

Ujarnya, geran yang akan digunakan itu adalah daripada RM10 juta yang telah diperuntukkan sebagai geran penyelidikan dalaman UMS bagi tahun 2020 seperti yang diumumkan Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebelum ini.

“Oleh kerana kita mempunyai lebih 800 penyelidik dengan pelbagai kepakaran, saya tidak fikir bidang kajian ini hanya terbatas dalam bidang sains sosial dan bidang kemanusiaan sahaja, mungkin juga ia akan merentas kepada bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Justeru, kita akan akan buka penyelidikan bagi merungkai resepi keharmonian di Sabah ini kepada semua penyelidik UMS dan kita akan pilih berdasarkan penilaian terhadap kertas cadangan penyelidikan yang terbaik,” katanya.

KHAMIS, 31 OKT - Untuk mencapai kemajuan dalam era Revolusi Industri 4.0, (IR 4.0), kesihatan mental yang baik untuk semua perlu diberi penekanan, terutama di tempat kerja kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Katanya kesihatan mental yang baik, mampu membantu seseorang individu menampung tekanan di tempat kerja.

"Tempat kerja harus menjadi tumpuan dalam menguruskan isu-isu kesihatan mental serta menangani aspek-aspek lain dalam kerja, yang bertujuan mengurangkan ketidakhadiran dan meningkatkan produktiviti," katanya di majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Psikologi, Kaunseling dan Pendidikan (ICPCE) Kali Kedua, di Universiti Malaysia Sabah, hari ini.

Persidangan tiga hari itu bertujuan memudahkan kolaborasi penyelidikan dan rangkaian profesional dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan dalam kalangan pakar psikologi, kaunselor, pendidik, pengamal kerja sosial dan penyelidik.

Yusof berkata secara umum, kesihatan mental telah mendapat perhatian dari golongan profesional, penyelidik dan orang ramai dan penyakit tersebut boleh menyebabkan kerugian kepada ekonomi dalam pelbagai peringkat termasuk individu, keluarga, organisasi dan juga di peringkat kebangsaan.

Sementara itu Pengerusi ICPCE, Dennis Relojo-Howell berkata persidangan yang bertujuan untuk melihat penyelidikan dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan disertai perwakilan dari Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Filipina, United Kingdom dan Malaysia yang akan membincangkan isu-isu dalam ketiga-tiga bidang itu.

Sumber : BERNAMA

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.