JUMAAT, 6 DISEMBER - Acara Kebudayaan (Cultural Event) anjuran  Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung gilang-gemilang di sini, kelmarin.

Program yang melibatkan pelajar mobiliti antarabangsa dari Thailand, China dan Gabon serta beberapa tetamu disambut meriah Kursus Budaya dan Warisan Pelancongan.

Pensyarah Kursus berkenaan merangkap penganjur, Roseni Ariffin berkata, pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan termasuk nyanyian dan tarian.

“Antara persembahan tarian yang disukai oleh para pelajar mobiliti antarabangsa adalah  Sumazau, Ngajat, Hula Dance dan Bollywood. Ia dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu-lagu popular tempatan masa kini.

“Selain itu, program ini turut menyajikan makanan berkonsepkan tradisional seperti ambuyat, kari ayam, hinava, pinasakan, acar, basung goreng, linopot, sambal belacan, kangkung belacan, buah tembikai dan minuman beraneka jenis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Roseni, dalam acara tersebut para pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang turut mengambil bahagian termasuk dalam persembahan tarian dan nyanyian.

Katanya, para pelajar Thailand dan China juga turut serta membuat persembahan.

“Konsep seumpama ini dapat memupuk minat para pelajar mobiliti antarabangsa untuk lebih gemar dan menghayati keunikan etnik kaum di Malaysia, khususnya di Sabah,” jelasnya.

Seramai 64 orang pelajar menjayakan program tersebut yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,  Prof. Madya Dr. Raman Nordin, dan Pemangku Dekan FPEP, Dr. Arif Kamisan Pusiran.

Hadir sama Penyelaras pelajar mobiliti antarabangsa FPEP,Datu Razali Datuk Datu Hj. Eranza, dan Andy Lee Chen Hiung; Pengarah Program Cultural Event, Hasnoniaty Rudding.

ISNIN, 9 DISEMBER - UMS Investment Holdings Sdn. Bhd (UiNVEST) telah mengadakan Sesi Prospek Inovasi Produk Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertempat di Hotel Grandis, baru-baru ini.

Sesi tersebut antara lain merupakan laluan peluang perniagaan baharu serta usaha kerjasama di antara para penyelidik UMS bagi produk-produk yang telah dihasilkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, adalah penting bagi pihak universiti dan industri untuk bekerjasama secara proaktif agar lebih banyak produk UMS dapat dihasilkan yang menepati cita rasa pemain industri.

“Penganjuran program hari ini akan memberi peluang kepada pemain industri untuk menjadi antara kumpulan terawal mengetahui produk-produk yang dihasilkan oleh UMS.

“Saya percaya UMS mempunyai banyak produk yang baik dan kita memerlukan UiNVEST sebagai platform untuk memasarkan produk kita dengan lebih luas,” ujarnya.

Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu juga akan terus dijalankan dan ditambah baik dari semasa ke semasa sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini.

“Penyelidikan dan inovasi akan menjadi salah satu bidang penting dalam pertumbuhan ekonomi di Sabah melalui kepelbagaian produk yang boleh dipasarkan,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar Kumpulan UiNVEST, Yusak Yumboris berkata peranan dan aspirasi UiNVEST adalah untuk menyediakan platform bagi penyelidik UMS dan industri untuk mewujudkan sinergi yang kuat dalam meningkatkan pembangunan produk dan inovasi baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“UiNVEST telah berjaya mengkomersilkan beberapa perkhidmatan UMS seperti perniagaan yang berkembang untuk UMS Centre for Education (UCEE), menyediakan perkhidmatan perundingan dan pakar kepada pelbagai organisasi kerajaan dan korporat, produk ‘Reinstanted Reality’ dari Fakulti Komputeran dan Informatik, serta yang terbaru ekopelancongan kampus dalam UMS sendiri.

“Kami berharap dapat membawa lebih banyak produk dan perkhidmatan Universiti ke dalam industri, antara lain dengan menganjurkan sesi prospek hari ini untuk inovasi produk UMS, sebagai bukti komitmen kami kepada universiti dan industri,” katanya.

Pada sesi tersebut, sebanyak 16 produk diperkenalkan yang merangkumi bidang perubatan dan kosmetik, makanan dan minuman, teknologi maklumat dan komunikasi, persekitaran serta pertanian.

Turut hadir, Pengerusi UiNVEST, Johan Amilin Datuk Abdul Samad.

RABU, 4 DISEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Shukutoku, Jepun memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Kerja Sosial hari ini.

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin manakala Universiti Shukutoku diwakili oleh Presiden, Profesor Tetsuya Isooka.

Majlis yang berlangsung di Dewan Bandar Itabashi, Tokyo itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

UMS melalui Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jalinan MoU sebagai langkah yang tepat bagi mempertingkatkan bidang Kerja Sosial di Malaysia.

“Negara Jepun, peneraju teknologi dan inovasi baru-baru ini telah merangka pelan tindakan bagi masyarakat semasa yang dipanggil Masyarakat 5.0 (Society 5.0) iaitu sebuah usaha ke arah masyarakat terpintar (super-smart society).

“Malaysia sebaliknya ingin meneliti idea Society 5.0 dan sejauh mana ia sesuai dalam pelan, program dan strategi nasional negara. Justeru, melalui kerjasama MoU ini UMS berhasrat untuk menerajui penyelidikan dalam impak Society 5.0,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, UMS melalui Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah memulakan kerjasama dengan universiti ini sejak tahun 2017.

“Universiti Shukutoku telah ditubuhkan pada tahun 1965 dan mewujudkan Jabatan Kebajikan Sosial, Fakulti Kebajikan Sosial sebagai jabatan sendiri di universiti tersebut.

“Universiti itu kemudiannya secara berperingkat membuka Kolej Fakulti Kemanusiaan Bersepadu dan Kebajikan Sosial, Kolej Pengajian Komuniti, Sekolah Siswazah Shukutoku Kemanusiaan Bersepadu dan Kebajikan Sosial (Kampus Chiba), Kolej Komunikasi Silang Budaya dan Perniagaan, Kolej Pentadbiran Perniagaan, Kolej Pendidikan (Kampus Saitama), Kolej Kejururawatan dan Pemakanan, Sekolah Siswazah Kejururawatan (Kampus Chiba Ke-2) dan Kolej Kemanusiaan (Kampus Tokyo),” jelas kenyataan itu.

Manakala UMS melalui Program Kerja Sosial FPP berhasrat untuk menghasilkan individu yang mampu membantu dan memberikan perkhidmatan kepada orang lain dengan harapan agar pelajar boleh membawa perubahan dan impak kepada komuniti.

Program Kerja Sosial FPP UMS juga merupakan ahli berdaftar dalam Asia and Pacific Association for Social Work Education (APASWE).

JUMAAT, 6 DISEMBER – Ibu bapa dan masyarakat awam merupakan individu yang bertanggungjawab untuk melindungi mangsa jenayah seksual dan berperanan besar dalam usaha mengatasi masalah gejala sosial ini daripada berlaku ke atas mana-mana individu.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari, ini kerana mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual mudah mengalami gangguan emosi dan trauma sekiranya mereka diperlakukan dengan perlakuan yang tidak sepatutnya apatah lagi perlakuan tersebut dilakukan oleh orang yang dikenali.

“Gangguan Emosi yang berlaku ke atas seseorang bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan terutamanya terhadap kanak-kanak.

“Gangguan emosi yang terlampau boleh mengundang padah dan membawa maut sekiranya tidak dibendung dengan segera,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Kesan Jenayah Sosial: Gangguan Emosi dan Trauma” bersempena dengan program Kempen Kesedaran Jenayah Seksual yang berlangsung di Institut Perguruan Keningau baru-baru ini.

Tambah Dr. Muhammad Idris, masyarakat tidak seharusnya mengamalkan sikap ‘menjaga tepi kain sendiri’ kerana menjaga keamanan dan keselamatan adalah tugas semua orang.

Dalam pada itu, program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah itu diadakan bertujuan untuk memupuk masyarakat untuk terlibat dan bekerjasama dengan PDRM Sabah dalam membanteras jenayah seksual yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Program tersebut dihadiri oleh lebih 800 orang yang terdiri daripada masyarakat yang berada di sekitar Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

 

 

RABU, 4 DISEMBER – Tiga orang kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri satu bengkel bertajuk “Kerangka Inklusif untuk Meningkatkan Kemasukan Pelajar OKU ke Universiti Awam (UA)” yang bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mereka adalah Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare; Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Thomas George Timin; dan Pegawai Psikologi Kanan, Adzmil Abidin.

Menurut Dr. Muhammad Idris, bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk berkongsi tentang Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif MyU-OKU dan memperkenalkan sistem pangkalan data yang boleh digunakan oleh OKU tanpa menghadapi sebarang masalah.

Selain itu, peserta dalam bengkel ini turut didedahkan dengan indikator-indikator yang perlu digunakan untuk memudahkan OKU membuat permohonan untuk memasuki UA dan seterusnya mengikuti pengajian seperti rakan mereka yang lain.

“Bengkel ini sangat penting kepada para peserta kerana mereka didedahkan dengan pelbagai maklumat yang merangkumi aspek kepentingan OKU dan juga menjadi satu garis panduan kepada peserta dalam mendepani OKU.

“Untuk menjadi sebuah UA yang bersifat mesra OKU, semua pihak perlu berganding bahu agar dapat menyediakan prasarana yang terbaik untuk golongan ini,” ujar Dr. Muhammad Idris.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri 150 orang melibatkan peserta yang terdiri daripada pihak pengurusan atasan universiti, staf pentadbiran dan juga siswa OKU dari UA seluruh Malaysia.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.