SABTU, 23 NOVEMBER: Graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Muzik, Agnes Ku Chun Moi tidak menjadikan faktor usia sebagai penghalang dalam hidup untuk mengecapi kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Berusia 73 tahun, anak jati dari Membakut, Sabah yang juga merupakan pensyarah separuh masa dalam program Seni Muzik (HA05) di UMS menjadikan anak didiknya dalam program Seni Muzik, Fakulti Kemanusiaan, Seni danWarisan (FKSW) sebagai pendorong beliau untuk lebih maju ke hadapan.

“Pelajar-pelajar Seni Muzik inilah penguat hati saya dalam menamatkan pengajian ini di samping melihat rakan sekerja yang turut bersama-sama menamatkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Saya amat bersyukur dapat menamatkan pengajian walaupun mengambil masa enam tahun, iaitu sejak 2013 untuk menamatkan pengajian,” katanya.

Agnes turut berpesan kepada para pelajar UMS agar lebih bekerja keras dan sentiasa berhubung dengan mana-mana pensyarah untuk mendapatkan pandangan atau pendapat yang lebih tepat.

“Saya sentiasa mengingatkan mereka untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu tugasan yang diberikan dan berjumpa dengan pensyarah bagi mendapatkan lebih kefahaman terhadap sesuatu perkara,” ujar Agnes.

Agnes merupakan antara 538 graduan yang menerima Ijazah PhD, Ijazah Sarjana, Diploma Pascasiswazah dan Ijazah Sarjana Muda yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-21 di Dewan Canselor UMS.

(Artikel disediakan oleh Cik Rickfonylin Podirik, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

SABTU, 23 NOVEMBER - Para graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi tonggak kekuatan dan cerminan kepada perkara yang bakal berlaku kepada negara pada masa hadapan.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seru Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin berkata sedemikian kerana generasi lama bakal pergi dan akan meninggalkan generasi baru sebagai pewaris dan penerus kepada kegemilangan kepada bangsa dan negara.

“Sebagai bakal pemimpin kepada negara ini, para graduan haruslah peka dengan perubahan semasa.

“Jadilah individu yang positif dan berintegriti, dan dengan sikap yang utuh dan kental ini para graduan akan mampu untuk meneruskan kegemilangan negara Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMS ke-21, hari ini.

Tambah beliau, ilmu sangat penting kepada masyarakat kerana individu yang mencari ilmu akan dipandang setinggi-tingginya sejak zaman berzaman serta menjadi rujukan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Berlangsung di Dewan Canselor UMS, acara pengurniaan ijazah berlangsung dalam enam sidang, dengan Tun Juhar merasmikan majlis pada sidang pertama dan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Diploma Pascasiswazah kepada 538 graduan.

(Artikel disediakan oleh Maxwell Atan Hillary Saing, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

RABU, 27 NOVEMBER - Seramai 30 pelajar cemerlang pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan pada Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2019 yang dirasmikan oleh Naib Canselor Profesor Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin bertempat di Hotel Hilton, baru-baru ini.

Menurut Profesor Datuk ChM. Dr Taufiq, para graduan cemerlang mempunyai peranan penting dalam memastikan UMS terus relevan sebagai pusat pengajian tinggi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat.

“Sekecil-kecil peranan yang anda boleh lakukan ialah dengan membawa imej baik UMS di mana juga anda bekerja atau berada. Tonjolkan ketajaman minda dan karisma kepimpinan anda yang selama ini dicungkil dan digilap semasa mengikuti pengajian di UMS.

“Segulung ijazah yang anda peroleh hari ini adalah milik anda dan keluarga. Semoga ia akan dipergunakan sebaik mungkin dengan memberikan sumbangan yang tidak berbelah-bahagi kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Terdahulu beliau menyatakan hasrat untuk menjadikan UMS sebagai sebuah kampus yang mengamalkan budaya pendidikan berteraskan pemupukan rasa kecintaan dan pemerkasaan sikap hormat menghormati dalam kalangan warga kampus.

Katanya usaha tersebut akan meningkatkan darjah kegembiraan kepada pihak pelanggan iaitu pelajar dan masyarakat dan juga para kakitangan.

“Dengan kata lain pendekatan-pendekatan seperti inilah yang akan menjadikan perjalanan menuntut ilmu itu walaupun mencabar akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.

MAP mula diperkenalkan pada tahun 2011 bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar pascasiswazah yang cemerlang dan juga meraikan sumbangan para pensyarah terhadap penyelidikan dan penulisan tesis pelajar.

Antara anugerah yang diberikan adalah Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Penyelia Terbaik dan Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Profesor Dr. Hajah Arsiah Bahron.

RABU, 20 NOVEMBER - Seramai 69 pelajar daripada Program Geografi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah telah menjayakan Program Komuniti bersama warga Rumah Panjang Jelian di Siong Pasai baru-baru ini.

Program yang diiringi oleh pensyarah FKSW, Dr Mohammad Tahir Mapa itu diadakan bersempena dengan program Explorasi Alam dan Khidmat Masyarakat yang menuntut mereka melakukan kerja lapangan lima hari empat malam di sekitar kawasan bandar Sibu.

Menurut Pengarah Program, Cecelia Ejah Anak Nicholas, program tersebut diadakan bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat berkenaan adat dan suasana di rumah panjang terutama kaum Iban di samping mengeratkan silaturahim bersama warga Rumah Panjang Jelian.

“Besar harapan saya agar program ini mampu memberi pengalaman dan ilmu baru kepada kami, sekali gus mampu membina satu hubungan yang baik bersama komuniti rumah panjang”.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak khususnya urus setia program dan penduduk Rumah Panjang Jelian kerana sudi menerima pelajar dari UMS untuk melaksanakan program di samping memberi layanan yang sangat baik,” kata Cecilia.

Sebelum program bermula, semua pelajar sempat mengadakan pertemuan bersama wakil pihak Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di Pejabat Wisma Sanyan sebagai pendedahan awal berkenaan pengurusan sisa dan program yang dijalankan di sekitar Sibu.

Dalam pada itu, Tuai Rumah, Tuan Jelian Anak Nayor memberi penghargaan atas komitmen pihak UMS yang sudi bertandang ke rumah panjang sekali gus melaksanakan aktiviti sukaneka komuniti yang begitu meriah.

“Kami berasa sangat bertuah kerana pihak UMS memilih Rumah Panjang Jelain sebagai tempat program dan berharap program ini mampu memberi kesedaran kepada warga rumah panjang berkenaan kepentingan mengurus sisa dengan lebih baik demi kebaikan komuniti di sini,” kata Tuan Jelian.

Selain aktiviti sukaneka komuniti, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Jelian turut membuat pameran berkenaan pakaian adat, hidangan ringan dan kraf tangan hasil buatan penduduk.

Pihak UMS melalui dua orang pelajar turut berkesempatan berkongsi rasa dan pengetahuan berkenaan pengurusan sisa di kawasan rumah panjang, sebelum program diakhiri dengan penyampaian hadiah cenderahati sempena sukaneka yang dijalankan.

 

RABU, 20 NOVEMBER - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan “Disability Awareness Training (DAT)” yang diadakan di Bilik Mesyuarat Wan Rafaei, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini.

Menurut Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, program latihan itu antara lain bertujuan untuk  menunjukkan kesedaran kepada masyarakat tentang halangan-halangan persekitaran dan sikap yang dialami oleh orang kelainan upaya (OKU) sepanjang mereka berada di institusi atau di mana-mana sahaja serta cara-cara yang boleh dikenal pasti bagi mengatasi halangan-halangan tersebut.

“Latihan seperti ini sangat penting kerana dapat memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengenali OKU dengan lebih mendalam melalui komunikasi yang inklusif dan bukan bersifat eksklusif.

“Latihan sebegini juga memberikan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam tentang konsep ketidakupayaan kepada masyarakat umum agar mereka tidak menghakimi golongan OKU tanpa sebab,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris, program ini juga memberi peluang kepada golongan OKU dan bukan OKU untuk mengetahui tentang perundangan yang menyokong OKU sekiranya hak mereka dicabuli oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Program sehari itu disampaikan oleh  konsultan Syarikat Inspirize Consulting PLT, Fariz Hj Abd Rani yang juga merupakan pengerusi kepada Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu, dan dihadiri oleh pensyarah dari beberapa buah fakulti di UMS, pelajar pascasiswazah dan prasiswazah di UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.