SELASA, 28 Mei – Seramai 76 kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menerima kenaikan pangkat, diraikan dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik Tahun 2019 di Galeri Majlis petang tadi.

Surat kenaikan pangkat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Datuk D Kamarudin berkata, peluang kenaikan pangkat yang diperoleh tidak seharusnya disia-siakan, malah perlu diiringi dengan usaha dan kerja keras bagi membantu mencapai objektif, misi dan visi universiti.

“Kejayaan kenaikan pangkat ini perlu dikongsikan bersama rakan-rakan lain dan bukan bersifat peribadi. Anda juga perlu tingkatkan pencapaian akademik dan cari jalan untuk berkongsi kelebihan ini dengan yang lain,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kakitangan akademik memberikan perhatian terhadap disiplin dan komitmen semasa bekerja dengan memperkemaskan mekanisme aduan serta beriteraksi secara profesional dengan pelajar, rakan sekerja serta masyarakat.

“Kita juga perlu terus memberikan sokongan kepada ketua jabatan dan pengurusan universiti agar segala dasar dan hala tuju yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik UMS dapat dijayakan dengan lebih baik dan lancar,” kata Datuk D Kamarudin.

Terdahulu Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, kenaikan pangkat ini memberikan kelebihan kepada ahli akademik untuk meningkatkan keterlihatan kepada komuniti.

“Kakitangan akademik juga perlu menjiwai tugas sebagai ahli akademik dan perlu melatih dan menjadi mentor kepada ahli akademik muda. Anda perlu menjadi penggalak kepada ahli akademik muda untuk terus memberikan sumbangan kepada kejayaan UMS pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail dan Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd Raffie Hj Janau.

JUMAAT, 24 MEI: Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahirruddin dilantik semula sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah buat kali ketiga.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Negeri pagi kelmarin.

Watikah pelantikan yang telah ditandatangani oleh Yang Dipertuan Agong kepada Tun Juhar diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa.

 Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Hj Mail; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Ali serta Pegawai-pegawai Utama UMS.

ISNIN, 27 MEI - Alumni Fakulti Psikologi dan Pendidikan (AFPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Majlis Iftar Ukhwah AFPP di Hotel Grand Boneo, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Program Hajah Hairuni Kasuagi berkata, majlis itu antara lain sebagai medan perjumpaan para alumni melalui acara berbuka puasa bersama-sama di samping penyampaian sumbangan raya kepada para pelajar B40 dan M40 Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP).

"Dalam masa yang sama, majlis ini turut dianjurkan untuk menyemarakkan sambutan 25 tahun penubuhan UMS sekali gus sebagai satu usaha merapatkan silatulrahim antara alumni, para pelajar dan pensyarah FPP.

“Majlis ini bukan sekadar iftar biasa tetapi dianjurkan untuk berkongsi bersama kegembiraan dengan para pelajar yang kurang berkemampuan dalam menyambut bulan Ramadan," katanya pada majlis tersebut.

Majlis perasmian Iftar Uhkwah AFPP disempurnakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Soon Singh Bikar Singh mewakili Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Dr. Hj. Ismail Ibrahim.

Dalam ucapannya Dr Soon berkata, majlis itu merupakan majlis kali kedua yang dianjurkan AFPP dan merupakan aktiviti tahunan yang ketiga bagi sesi 2019.

"Saya sangat berterima kasih kerana majlis ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, alumni-alumni FPP, orang awam, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), serta para pensyarah FPP.

"Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kerana seramai 76 pelajar FPP yang kurang berkemampuan dari pelbagai latar belakang dan agama turut hadir ditaja oleh Alumni FPP dan orang awam," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi AFPP, Francis Au berkata, majlis seumpama itu boleh dijadikan sebagai platform perkongsian pengalaman bagi memberi motivasi kepada pelajar B40 dan M40 FPP untuk terus cemerlang di universiti.

"Saya berharap majlis ini dapat terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang," katanya yang juga merupakan Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Sabah.

Majlis Iftar Ukhwah turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, penyampaian sumbangan hari raya dan persembahan lagu oleh Farhan Akim.

Ia dijayakan dengan tajaan daripada beberapa pihak termasuk AVON, Hotel Grand Borneo, Ahli Alumni FPP, NGO dan orang perseorangan.

Hadir sama, mantan dekan FPP, Prof. Dr. Hj. Dahlan Haji A. Malek dan Pegawai Psikologi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Muhammad Jumrat.

JUMAAT, 24 MEI - Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari (KKJB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan majlis Khatam Al Quran dengan disertai oleh kakitangan yang telah berjaya menamatkan kelas Talaqqi Al Quran, di bawah bimbingan Ustaz Dr Issraq Hj Ramli, Ketua Program Pendarasan Islam, Fakulti Kemanusiaan Seni & Warisan (FKSW).

Penyerahan sijil penyertaan kepada 11 orang kakitangan tersebut kepada telah disempurnakan oleh Bendahari UMS, Puan Zallifah Shadan selaku penaung KKJB yang berharap agar program kerohanian yang bermula sejak 6 April 2017 ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Dr Issraq Hj Ramli selaku musyrif mendoakan agar ilmu yang diperolehi dapat menjadi panduan di dalam kehidupan selain istiqomah di dalam menuntut ilmu khususnya ilmu Al Quran. Turut hadir di dalam majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Cemerlang (BMC) Jabatan Bendahari adalah Presiden KKJB, Puan Siti Khadizah binti Yaakub dan Puan Nazrah Umdan selaku Biro Kerohanian kelab.

 

 

 

sahur umskalJUMAAT, 24 MEI – Program Jom Sahur peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 1440 Hijrah lebih ceria dengan kehadiran Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Beliau yang diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali bukan sahaja bersahur bersama pelajar tetapi lebih menarik beliau sendiri yang mengagihkan kira-kira 500 pek nasi, buah-buahan dan kurma kepada pelajar yang hadir.

Sejurus tiba kira-kira pukul 1.00 pagi, Dr. Kamarudin bersama Dr. Ismail dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Kamisah Husin terus mengedarkan makanan kepada pelajar di meja makan masing-masing.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr. Kamarudin nyata gembira kerana dapat bersahur bersama pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama.

Beliau berharap program Jom Sahur anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS itu dapat diteruskan bukan sahaja untuk bersahur bersama pelajar tetapi juga merupakan ruang dan peluang pengurusan UMS dan UMSKAL beramah mesra dengan pelajar di UMS Labuan.

“Inilah antara program yang wajar diteruskan kerana pihak pengurusan UMS dapat beramah mesra dengan pelajar di UMS Labuan.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS dengan kerjasama Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMSKAL dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL yang mengambil inisiatif mengadakan program tersebut,” katanya berucap pada majlis tersebut di Kafetaria Beta UMSKAL,baru-baru ini.

Ketika ditemui pemberita, Dr. Kamarudin mahu pelajar memberikan tumpuan dan fokus utama kepada pembelajaran daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Pada masa sama, beliau mahu pelajar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan pihak universiti dari semasa ke semasa.

“Saya juga mahu pelajar sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni termasuk hormat menghormati sesama mereka dan warga UMS Labuan secara keseluruhannya.

“Menerusi program Jom Sahur ini juga dapat memupuk keharmonian dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Di samping itu, Dr. Kamarudin akan mengadakan lawatan dan pertemuan dengan kepimpinan pelajar UMS Labuan untuk menangani masalah yang mereka hadapi.

“Bagaimanapun saya dapati beberapa masalah dapat ditangani hasil kebijaksanaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang dibantu pengurusan UMSKAL dan MPP UMSKAL,” katanya.

Turut hadir Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal.

Sumber: Azri Onn

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.