SELASA, 18 JUN – Siswa program Perniagaan Antarabangsa (HE09) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan ‘Hope Project 3.0’, satu projek khidmat komuniti yang memfokuskan masyarakat B40 sebagai penerima sumbangan utama dan penghuni di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Menurut pensyarah FPEP, Chan Hak Liong, program tersebut merupakan kesinambungan daripada Charity Run yang telah diadakan sebelum ini untuk tujuan mengumpul dana bagi menjalankan program-program khidmat komuniti.

“Hope Project 3.0 ini diadakan adalah sebagai obligasi sosial siswa-siswi terhadap masyarakat B40 di kawasan pedalaman Sabah, dengan lokasi yang dipilih pada kali ini adalah di Sekolah Kebangsaan Kinaluan, Tambunan.

“Selain untuk membantu dan meringankan beban masyarakat di kawasan terpilih, para pelajar juga turut berkesempatan menggunakan peluang dengan merapatkan silaturahim bersama masyarakat pedalaman serta rasa keprihatinan terhadap mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, beberapa aktiviti telah diadakan di sekolah tersebut antaranya aktiviti gotong-royong serta penanaman pokok-pokok herba bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kinaluan, Halina John Jinuli dan para ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari sekolah tersebut, selain penyampaian sumbangan seperti beras dan keperluan utama kepada murid-murid dalam golongan keluarga B40.

Selain program di Tambunan, Hope Project turut diadakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, dengan antara aktiviti yang diadakan adalah melawat ibu dan kanak-kanak yang berada dalam wad serta memberi sedikit sumbangan berupa goodies kepada kanak-kanak yang akan menjalani pembedahan, dengan tujuan untuk membawa keceriaan kepada penghuni hospital tersebut terutamanya kanak-kanak.

 

KHAMIS, 13 JUN - Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima RM180,000 Geran Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Tempat Kerja Sektor Awam, baru-baru ini.

PML menerima geran tersebut bersama empat agensi kerajaan lain iaitu Pejabat Pentadbiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN), Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan, dan Jabatan Penjara Negeri Sabah.

Majlis penyampaian replika cek geran disempurnakan TSKN, Patrick Tan @ Tan Su Teck mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, di Bilik Mesyuarat Pejabat SKN, di sini dengan disaksikan Timbalan Pengarah Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Hajah Dayang Rugayah Awang Besar.

PML dalam satu kenyataan berkata, kejayaan mendapatkan geran peruntukan itu merupakan satu pengiktirafan agensi pusat terhadap kemampuan UMS untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan, pengajaran dan pembelajaran awal kepada anak-anak kakitangan UMS. 

“Geran yang disalurkan ini akan digunakan untuk tujuan menyelenggara, mengubahsuai dan membeli peralatan yang diperlukan bagi memulakan operasi perkhidmatan Taska di UMS Kampus Sandakan selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang inginkan penubuhan Taska di tempat kerja mulai Januari 2019.

“Pemberian geran penubuhan Taska di tempat kerja sektor awam adalah bertujuan untuk penyediakan perkhidmatan asuhan kepada kanak-kanak di bawah umur empat tahun, mengurangkan kerisauan ibu bapa yang bekerja supaya lebih fokus kepada pekerjaan mereka, menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kepada Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memberikan asuhan dan didikan awal kanak-kanak selaras dengan dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak kebangsaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada majlis tersebut, PML diwakili pengarahnya Aidah Noordin bersama Penolong Pendaftar Kanan, Faddili Kasin; Penyelia Taska, Aminah @ Bibiana Idris; serta Penyelia Daycare dan Transit PML, Jaini Sapirai.

Untuk rekod, PML menyasarkan cawangan Taska di Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan beroperasi bermula pada Ogos depan.

 

 

ISNIN, 03 Jun – Seramai 28 anak yatim dari Rumah Amal Kasih Asnaf Kingfisher telah diraikan dalam Majlis Iftar anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), dan Alumni FSSA, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta berkata, majlis yang julung kalinya dianjurkan itu bertujuan berkongsi kegembiraan dan meraikan golongan yang kurang bernasib baik itu pada bulan Ramadan al-Mubarak.

“Biarpun sederhana, majlis ini berseri dengan senyuman yang terukir di wajah anak-anak yatim tersebut.

“Kita mahu meraikan mereka dengan cara istimewa, selain mahu kegembiraan yang kita ada ini dikongsi bersama dengan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Prof. Dr. Baba berkata, majlis itu juga dalam masa yang sama sebagai satu usaha merapatkan silaturahim antara alumni dan warga FSSA.

“Turut diadakan Ceramah Tazkirah Ramadan yang disampaikan Ketua Program Pendarasan Islam, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan UMS, Dr. Issraq Ramli,” tambah beliau.

Bertempat di Kompleks Perhutanan fakulti berkenaan, lebih 110 orang hadir menjayakan majlis tersebut termasuk kakitangan akademik, kakitangan pentabdiran dan pelajar antarabangsa FSSA.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Baba turut menyempurnakan penyampaian sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim.

Sumber : Kenny Uwai dan Razuan Mathew (Gambar)

 

RABU, 29 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) telah mengadakan Majlis Iftar Ramadan Alumni bersama Anak Yatim Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (Mawis) bertempat di Hotel Horizon, baru-baru ini.

Majlis tersebut bertujuan meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Mawis di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan rakan-rakan alumni UMS.

Pengarah PKA, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, PKA bersama-sama dengan alumni UMS mengambil inisiatif untuk mengadakan Majlis Iftar Ramadan seumpama itu setiap tahun bagi meraikan kemeriahan Ramadan bersama anak-anak yatim Mawis.

“Selain dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan derma, program seumpama ini juga diharap dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim di samping dapat mendekatkan jurang antara anak yatim dan orang ramai.

“Saya amat berharap dengan sokongan semua pihak, kita dapat membantu jika tidak semua anak-anak ini, setidak-tidaknya menyokong mereka dalam aspek pembelajaran supaya menjadi insan yang dapat bergelar pemimpin pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

 Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said yang juga merupakan alumni UMS; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Ali; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kamisah Husin serta Pengetua Mawis, Sakinah Yusof.

RABU, 29 MEI- Nasib keluarga salah seorang alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Norellyana Rubaui yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini di Kampung Sungai Gading Batu 15, mendapat perhatian UMS melalui Pusat Kerjaya dan Alumni untuk melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Lawatan tersebut bertujuan untuk membantu, memberi sokongan moral dan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa yang juga merupakan alumni UMS tahun 2018, graduan Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa, UMS sentiasa prihatin terhadap musibah yang melanda warganya termasuk para alumni UMS.

“Biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberi semangat baharu dan meringankan sedikit beban mangsa.

 “Justeru, sumbangan ini diharap mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh alumni kita yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

 Sementara itu, UMS turut melawat sekali gus menyampaikan sumbangan kepada seorang lagi graduan tahun 1999, Ramlan Ali yang mengalami masalah kesihatan iaitu separa strok.

 Menurut Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng, Ramlan Ali merupakan seorang usahawan dalam bidang rumpai laut dan beliau juga mempunyai perniagaan ‘home stay’.

 "Beliau seorang alumni yang aktif dan pernah menyumbang kepada tabung dana Alumni UMS,” jelasnya.

 Selain sumbangan wang tunai, biskut dan kuih raya turut diberikan kepada kedua-dua alumni ini.

 Turut serta dalam kunjungan ini, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Datin Hajah Nurlaila Said; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ismail Ali dan Penolong Pendaftar Kanan, Victor Gondipon.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.