KHAMIS, 9 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) kekal berada pada tahap cemerlang dalam aspek amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Demikian hasil dapatan audit yang dijalankan selama seminggu yang dibentangkan oleh Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rozaimi Ismail pada sesi penutupan audit EKSA UMS di Bilik Bakat, Jabatan Pendaftar.

Melalui audit yang dijalankan di sekitar pejabat di kampus induk UMS yang dibahagikan kepada tujuh bahagian, kampus induk UMS memperoleh markah 94.03%, iaitu masih pada tahap cemerlang.

Pemeriksaan dijalankan dengan mengambil kira enam komponen, iaitu Keperluan Utama Pelaksanaan, Ruang Tempat Kerja atau Pejabat, Tempat Umum, Keselamatan Persekitaran, Kawasan Persekitaran Jabatan, dan Tempat-tempat Khusus.

Dalam pada itu, Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof ketika mengulas hasil keputusan itu menegaskan bahawa walaupun mendapat keputusan yang baik dalam sesi audit tersebut, masih terdapat banyak perkara yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan oleh setiap kakitangan.

“Masih terdapat jabatan yang tidak mencapai tahap pemarkahan cemerlang, dan ini sesuatu yang perlu dilihat, kerana kemungkinan ini disebabkan terdapat kakitangan yang kurangnya tanggungjawab dalam menjayakan usaha amalan EKSA, serta tabiat negatif tidak kemas dan tersusun yang bermula dari rumah sendiri.

“Oleh itu, saya telah bersetuju dalam satu Mesyuarat Pengurusan Kualiti bahawa kita akan menjalankan audit secara dalaman dan memberikan penarafan bintang kepada setiap jabatan, fakulti, pusat dan institut sebagai satu usaha bahawa kita memandang serius terhadap kewajipan pelaksanaan amalan EKSA di setiap pejabat di kampus UMS,” katanya.

Ujar Vina lagi, setiap kakitangan perlu memulakan usaha memperbaiki setiap kelemahan yang telah didapati dalam siri audit baru-baru ini sebagai persediaan UMS untuk menerima audit semula oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi pembaharuan semula penarafan cemerlang bagi amalan EKSA pada tahun hadapan.

 

KHAMIS, 9 MEI - Bank Makanan Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan dilancarkan  esok oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Objektif Bank Makanan Siswa ini adalah untuk membantu menyediakan kemudahan makanan kepada siswa-siswi UMS yang kurang berkemampuan khususnya pelajar B40 dan fakir miskin.

Dalam masa sama, ia juga bagi menerapkan budaya dan semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

Bank makanan ini merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa di seluruh Universiti Awam untuk berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Di UMS, bank makanan ini akan diselaraskan Majlis Perwakilan Pelajar dan sukarelawan mahasiswa di bawah pemantauan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

 

 

RABU, 8 MEI – Penganjuran pameran Matrix Show 2019 oleh pelajar tahun akhir program Teknologi Seni Visual Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi saluran terbaik kepada siswa-siswi UMS untuk terus menghasilkan karya seni yang mampu bersaing di peringkat yang lebih jauh.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Datuk Kamal D.E Quadra berkata, usaha ini adalah amat penting dan mampu memberi impak terhadap pembangunan pelajar di universiti.

“Melalui projek akhir dan pameran ini, siswa-siswi telah dilatih untuk menghasilkan karya-karya seni mengikut bidang-bidang yang dipilih.

“Saya percaya usaha ini sekali gus melahirkan siswa-siswi yang mempunyai kemahiran insaniah atau soft skill yang tinggi,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Galeri Seni FKSW.

Terdahulu, Dekan FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi berkata, tema pameran Matrix Show iaitu Light of Borneo yang merujuk kepada keistimewaan yang terdapat di bumi Borneo mampu memperkenalkan lagi budaya, adat, kaum dan kepercayaan di kawasan Borneo melalui karya yang dihasilkan.

“Hasil karya pelajar mempamerkan keunikan budaya di Borneo yang diterjemahkan dalam pelbagai bentuk visual seperti seni arca, catan, cetakan, seramik, batik, lukisan, identiti korporat, media baharu, pengiklanan dan filem,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan pameran hasil karya seramai 66 pelajar tahun akhir program Teknologi Seni Visual FKSW.

Hadir sama pada program tersebut penyelaras program, Dr. Zaimie Sahibil dan pengarah program, Dayang Maszianah Sidek.

RABU, 8 MEI – Makmal Analisis Kualiti Makanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Sijil Akreditasi Makmal MS ISO/IEC 17025: 2017 di bawah skop Ujian Pengesanan DNA Bagi Makmal Analisis Kualiti Makanan oleh Jabatan Standard Malaysia, sekali gus menjadi makmal akreditasi pertama yang menjalankan ujian DNA bagi tujuan pengesahan halal di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, ini menjadikan UMS kini mempunyai tiga buah makmal yang telah diakreditasi, iaitu Makmal Haemostasis Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Makmal Analisis Air Fakulti Sains dan Sumber Alam untuk pengujian kimia, dan terbaru Makmal Analisis Kualiti Makanan untuk pengujian Asid Nukleik.

“Dari segi inisiatif Makmal Panel Halal pula, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan Makmal Panel Halal (MPH) bagi mempercepatkan proses permohonan Pensijilan Halal Malaysia, dan antara syarat utama untuk menjadi MPH adalah perlu mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025: 2017.

“Dalam hal ini, Makmal Analisis Kualiti Makanan mempunyai potensi besar untuk menjadi makmal pertama di Sabah yang akan dilantik sebagai Makmal Panel Halal JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil beliau, Pengarah Perancangan Strategik Jabatan Standard Malaysia, Hussalmizar Hussain dalam satu majlis penyampaian sijil akreditasi tersebut di Dewan Bankuasi UMS.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts Dr. Ramzah Dambul yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin pada majlis itu berkata, inisiatif FSMP mendapatkan akreditasi makmal bagi analisis DNA untuk pengesanan halal adalah tepat dan sejajar dengan pembangunan industri halal negara.

Menurut beliau, dengan adanya tenaga kepakaran di FSMP, usaha-usaha untuk menyokong dan memperkasakan industri halal di Sabah khasnya dapat ditingkatkan.

“Melihat kepada peluang dan potensi industri halal, pemain industri tempatan di Sabah seharusnya mengambil inisiatif untuk mengukuhkan pembangunan kapasiti dalam kalangan pengeluar dan pengeksport Malaysia.

“Pihak universiti akan terus memainkan peranan bagi menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman dan mewujudkan peluang kerjasama antara agensi-agensi dan pihak berkepentingan dalam industri halal terutamanya di Sabah,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah turut menyaksikan penyampaian sijil akreditasi oleh Hussalmizar kepada Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

RABU, 8 MEI - Para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul empat pingat emas dan dua perak dalam penyertaan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2019, baru-baru ini.

Pingat-pingat itu diperoleh melalui penyertaan enam penyelidikan pada pameran tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur. 

Penyelidik yang telah menyumbangkan pingat emas ialah Prof. Madya Dr. Rayner Alfred dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) melalui inovasi bertajuk RTFaceDeep: A Real Time Multiple Faces Recognition for Video Surveillance Using a Deep Learning Architecture.

Berasal dari fakulti yang sama, pingat emas kedua pula diperoleh melalui Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng dengan inovasi bertajuk DeColourAR: An Augmented Reality Colouring Book for UMS Aquarium and Marine Museum.

Turut meraih emas ialah Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee (Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS) dengan tajuk penyelidikan ALPHAMATE™: Pet Food As A Solution for Food Wastes Management in Kota Kinabalu Prison Centre, Sabah, Malaysia; dan Dr. Chee Fuei Pien dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) melalui penyelidikan bertajuk AIRMATE: Integrated Real Time Particulate Matter Measuring Instrument for Micro Environment Monitoring.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman turut meraih kejayaan berganda apabila penyelidikan beliau yang bertajuk TrichogreenTM: Biofungicide Formulated from Food Waste dinobatkan sebagai penerima anugerah pingat perak.

Pingat perak selebihnya disumbangkan seorang lagi penyelidik dari FKI, Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng melalui inovasi bertajuk An Interactive Augmented Reality Smart e-Learning System on Technical Vocational Education and Training (TVET) in Malaysia using Augmented Reality.

Pameran pertandingan inovasi dan teknologi bertaraf antarabangsa itu merupakan pameran tahunan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS).

Lebih 1,000 reka cipta dari pelbagai universiti, badan-badan korporat serta individu dari pelbagai negara ASEAN dan Asia seperti Australia, Korea dan Taiwan dipamerkan pada ITEX kali ke-30 itu.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.