One Health Student Club (OHSC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat U-Science UMS dan Kementerian Sains dan Teknologi Sabah telah melancarkan program ‘Professor@School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan membimbing pelajar sekolah untuk memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.

Menurut penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, pelbagai program telah dirancang dan ianya akan dijalankan selama empat tahun dengan melibatkan pelajar OHSC UMS daripada pelbagai jurusan sebagai mentor kepada pelajar sekolah yang terpilih.

Katanya pendekatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan, inspirasi, dan bimbingan kepada para pelajar sekolah agar mereka lebih bersedia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang STEM.

“Kami mahu menunjukkan kepada mereka bahawa STEM bukan sahaja menarik tetapi juga membuka peluang besar untuk masa hadapan. Dengan bantuan mentor, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana teori diterapkan dalam dunia sebenar.

“Dengan kerjasama erat antara OHSC UMS dan pihak sekolah, program Professor@School dijangka mampu memberi impak yang signifikan kepada pelajar sekolah dan masa depan mereka dalam dunia STEM,” jelasnya.

Majlis perasmian program fasa pertama itu telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Majakir Papar, Zuraidah Salleh.

Menurut Zuraidah, pihaknya berharap agar lebih 80 peratus pelajar yang terpilih untuk program tersebut akan memilih bidang STEM sebagai hala tuju kerjaya masing-masing.

“Program ini adalah peluang luar biasa untuk mendedahkan pelajar kepada dunia STEM melalui bimbingan yang berterusan,” katanya.

Program Professor@School melibatkan sesi bimbingan secara berkala, aktiviti hands-on, ceramah motivasi, dan lawatan ke makmal serta fakulti di UMS.

Pendekatan mentor-mentee ini dirangka untuk membina hubungan yang kukuh antara pelajar sekolah dan pelajar universiti, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menyokong.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusaha menyebar luas pengetahuan berkaitan HIV dan AIDS serta meningkatkan kesedaran berkaitan penularan HIV serta cara-cara pencegahan berkesan.

Usaha menyebar luas tersebut diadakan melalui program Sambutah Hari AIDS 2024 Peringkat UMS yang dianjurkan oleh Jabatan Perubatan Keluarga Hospital UMS (HUMS) dengan tema ‘Take the Rights Path: My Health, My Right!’, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, tema sambutan tersebut menekankan hak individu untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta maklumat yang tepat mengenai pencegahan HIV dan AIDS.

Katanya, tema tersebut mengingatkan bahawa setiap individu berhak untuk hidup tanpa diskriminasi dengan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang sihat dan bebas stigma.

“Melalui sambutan ini, kita memperkukuhkan komitmen bersama untuk membanteras HIV/AIDS dan memastikan semua individu, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang yang sama dalam menjaga kesihatan mereka.

“Statistik tahun 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa peratusan golongan tertinggi yang berisiko menghidap HIV adalah dalam kalangan pelajar universiti.

“Oleh itu, program yang dianjurkan hari ini yang berteraskan pendidikan mengenai pencegahan dan kesedaran terhadap HIV adalah program yang perlu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan warga UMS mempunyai kesedaran tinggi berkaitan HIV dan sekali gus membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko penularan HIV dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2024 Peringkat UMS bertempat di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh.

Tambah Kasim, penganjuran program sedemikian bukan hanya untuk menyebarkan maklumat mengenai pencegahan HIV, tetapi juga membentuk sikap yang lebih positif dan bertanggungjawab dalam kalangan warga UMS terhadap kesihatan diri dan orang lain.

“Justeru, saya mengambil peluang ini untuk menyeru masyarakat supaya sentiasa memberi sokongan terhadap usaha seperti ini agar program kesedaran yang dianjurkan dapat memberi kesan yang positif kepada semua masyarakat terutamanya dalam penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Sambutan Hari AIDS Sedunia 2024 Peringkat UMS turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA), Perkhidmatan Sokongan AIDS Sabah (KASIH), Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Tabung Darah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Turut hadir, Ketua Jabatan Perubatan Keluarga HUMS, Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

 

Teknologi membran merupakan satu penemuan saintifik yang mampu menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh manusia dalam pelbagai sektor.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, teknologi membran telah berkembang pesat sejak 1990-an akibat keperluan mendesak terhadap penjimatan tenaga dan krisis air global.

“Teknologi membran ini tidak begitu menyerlah sehinggalah di awal 1990, iaitu apabila kita mengalami banyak krisis air dan juga kita ingin melaksanakan penjimatan dari segi penggunaan tenaga.

“Teknologi seperti osmosis hadapan membolehkan pemprosesan makanan tanpa merosakkan nutrien, manakala penyulingan membran menawarkan kaedah menghasilkan air bersih menggunakan tenaga rendah.

“Di Sabah, teknologi ini sangat relevan untuk komuniti terpencil, terutama di pulau-pulau yang menghadapi masalah bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk “Sustainability in Membrane Technology” di UMS.

Tambah Rosalam, membran juga digunakan dalam bidang perubatan, seperti teknologi dialisis, pemulihan luka, dan penghasilan membran scaffolding untuk pembinaan semula organ manusia.

“Kami sedang meneroka penggunaan membran untuk menghasilkan organ gantian seperti hati dan tulang, yang menggunakan bahan biokompatibel yang dapat mengurangkan risiko penolakan oleh tubuh,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara universiti, industri, dan kerajaan dapat ditingkatkan bagi mempercepatkan penerapan teknologi tersebut di Malaysia.

“Saya berharap pada masa hadapan, banyak lagi teknologi moden yang menggunakan teknologi membran untuk kemajuan terutama dalam rawatan air,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapan aluannya memaklumkan Majlis Syarahan Perdana seumpama itu adalah satu tradisi akademik yang sangat signifikan bagi seseorang profesor dan dianjurkan sebagai platform untuk menyebar luas ilmu pengetahuan, kepakaran, penemuan inovatif, juga sebagai bukti ketokohan dan kesarjanaan akademiknya.

Penganjuran majlis itu juga katanya adalah sebagai penghargaan serta pengiktirafan kepada profesor sebagai pemikir yang telah banyak memberi sumbangan dan idea khususnya kepada dunia akademik, malah kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melebarkan lagi kerjasama bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia Tenggara apabila memeterai kolaborasi bersama Universitas Muhammadiyah (UNISMUH) Makassar, Indonesia.

Kolaborasi antara kedua-dua universiti tersebut dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan UNISMUH Makassar di UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani MoU tersebut, manakala UNISMUH Makassar diwakili oleh rektor, Dr. Ir. H. Abdul Rakhim Nanda.

Menerusi kerjasama tersebut, UMS dan UNISMUH Makassar akan menjalinkan hubungan dan kerjasama lebih erat dalam pelbagai aspek khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, mobiliti pelajar dan lain-lain.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya memaklumkan, kerjasama antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dan Fakultas Pertanian, UNISMUH Makassar telah dijalinkan semenjak tahun 2023 melalui surat niat (LoI).

“Melalui LoI tersebut seramai 8 orang pelajar dan 3 orang kakitangan akademik FPL UMS telah menyertai program mobiliti Makassar Academic and Culture Heritage Activity yang diadakan di UNISMUH Makassar pada bulan Mei 2023.

“Susulan daripada itu, kedua-dua pihak telah bekerjasama mengadakan International Research Seminar, Kuliah Tamu, Scientific Writing Workshop, Joint Research and Publication, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kampung Batu 12 Sandakan dan program Internasional CSR di Sekolah Indonesia Mekkah pada tahun ini.

“Jalinan kerjasama tersebut berjalan dengan baik, yang mana kedua-dua pihak saling berbalas mengadakan program yang memberikan manfaat kepada warga kedua-dua universiti khususnya pelajar dan pensyarah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rakhim dalam ucapan balasnya merakamkan penghargaan kepada UMS atas kejayaan pemeteraian MoU tersebut.

UNISMUH Makassar juga katanya melihat potensi untuk kerjasama dalam bidang-bidang lain, termasuk bidang perubatan menerusi Fakultas Kedokteran dan Ilmu Kesehatan.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad; Ketua Bahagian Harta Intelek LP3M UNISMUH Makassar, Prof. Dr. Syamsia; dan Pengarah Kerja Sama UNISMUH Makassar, Dr. Maharida Manindar.

 

Penubuhan Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP) di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan komitmen UMS dalam memacu penyelidikan yang mempunyai hasil yang ketara dan bermakna.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, CEDP mempunyai kedudukan unik untuk menyediakan input penyelidikan kritikal bagi meningkatkan penggubalan dasar di peringkat negeri dan Malaysia secara amnya.

“Pusat ini perlu mengembangkan perkongsiannya dengan agensi kerajaan, pemain industri dan institusi antarabangsa untuk mewujudkan ekosistem teguh yang memacu penyelesaian yang memberi kesan untuk Sabah dan Malaysia.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk CEDP agar ia menjadi pemangkin untuk pemikiran inovatif, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan dasar berasaskan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran CEDP dan Seminar Mengenai Ekonomi Kontemporari di Hotelab, FPEP.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim.

Mengulas berkenaan penganjuran seminar ekonomi, Kasim berkata inisiatif tersebut mewakili penumpuan idea, usaha dan aspirasi untuk menangani cabaran ekonomi yang mendesak pada zaman ini.

“Sabah berhadapan pelbagai cabaran ekonomi termasuk kemiskinan dan keperluan untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini adalah peluang untuk membincangkan cabaran ekonomi baru, idea baharu dan membentuk kerjasama yang akan membantu menghadapi perubahan landskap ekonomi,” katanya.

Ujarnya lagi, usaha ini turut berpotensi untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dan dasar yang boleh diambil tindakan dalam menangani isu-isu yang dibincangkan.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung Diskusi Panel yang melibatkan dua ahli panel jemputan, iaitu Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Panglima Hashim Paijan dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Tseu Kei Yue.